Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tempahan bagi restoran mesra keluarga naik sehingga 50% pada hujung minggu pertama 5 pelanggan boleh makan semeja

Sejak kelonggaran untuk membenarkan isi rumah lengkap divaksin duduk makan semeja bermula pada Rabu (10 Nov), restoran-restoran yang mesra keluarga lebih banyak menyaksikan peningkatan dari segi tempahan pada hujung minggu pertama ini. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak kelonggaran untuk membenarkan isi rumah lengkap divaksin duduk makan semeja bermula pada Rabu (10 Nov), restoran-restoran yang mesra keluarga lebih banyak menyaksikan peningkatan dari segi tempahan pada hujung minggu pertama ini.

Bagi restoran yang mesra keluarga seperti The Straits Teppanyaki, ia menyaksikan satu lonjakan ketara dari segi jumlah tempahan.

Menurut pengurus The Straits Teppanyaki, Intan Armelia, untuk hujung minggu ini sahaja, tempahan meningkat 50 peratus berbanding sebelum sekatan itu dilonggarkan dan ramai yang menempah bagi lima orang semeja.

"Apabila pemerintah sudah memberi kebenaran untuk lima semeja datang menjamu selera di restoran, saya rasa orang ramai secara tidak langsung mendapat mesej bahawa suasana atau keadaan pandemik ini sudah lebih terkawal," kongsi Cik Intan.

"Dengan ini, orang ramai berasa lebih selamat untuk keluar dan tentunya menjamu selera di restoran," tambahnya lagi.

Namun, kesukaran timbul apabila pihak restoran itu perlu memeriksa sama ada mereka yang duduk semeja tinggal serumah.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

"Ada sesuatu yang menjadi tanda tanya: jika mereka datang dengan kanak-kanak, bagaimana cara yang pasti untuk mereka mengesahkan bahawa mereka datang daripada rumah yang sama?" ujar Cik Intan.

"Ini kerana kanak-kanak di bawah umur 15 tahun belum lagi ada kad pengenalan. Jadi mereka terpaksa menggunakan kaedah-kaedah lain seperti sijil kelahiran untuk memastikan mereka ini datang dari keluarga yang sama," menurutnya lagi.

Bagi para peniaga lain yang ditemui, mereka rata-rata tidak mengalami banyak masalah untuk mengambil langkah tambahan itu.

Meskipun para pekerja perlu memeriksa alamat rumah pelanggan untuk mengesahkan mereka tinggal sebumbung dan membenarkan lima orang duduk semeja, rata-rata pemilik restoran di sini melihat langkah tambahan itu tidak menjejas langsung operasi mereka.

TIADA KENAIKAN KETARA, PELANGGAN LAZIMNYA DATANG BERPASANGAN

Bagi restoran dan kafe lain yang berkonsep lebih santai pula seperti Overrice dan Afterwit, mereka tidak melihat peningkatan pelanggan yang begitu ketara.

Ia menyaksikan lebih ramai pelanggan datang secara berpasangan.

Menurut Pengurus The Black Hole Group, Afiq Sulaiman, mereka menyaksikan peningkatan bilangan tempahan sebanyak 20 peratus yang lebih ketara hanya bagi cawangan mereka yang mesra keluarga seperti di timur dan barat.

"Di kawasan Kampung Gelam pula, cawangan-cawangan kami termasuk Afterwit masih dilanggani pelanggan secara berpasangan dan kami tidak melihat peningkatan ketara bagi tempahan untuk lima semeja," kongsi Encik Afiq.

Peningkatan yang tidak ketara ini turut dirasakan oleh pemilik Overrice, Zulhilmi Zailani.

"Jika dibandingkan dengan minggu-minggu yang lepas, memang ada perubahan tetapi tidak ketara kerana walaupun sekatan dilonggarkan, ia masih terhad kepada lima orang yang tinggal serumah," kata Encik Zulhilmi.

Namun, persediaan tetap dilakukan restoran dan kafe di kawasan Kampung Gelam ini bagi menyambut lebih ramai pelanggan.

Ini termasuk latihan yang diberikan kepada para kakitangan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan garis panduan yang kerap berubah.

Para peniaga F&B yang ditemui BERITAmediacorp amat mengalu-alukan kelonggaran baru ini dan berharap keadaan COVID-19 di sini tidak bertambah teruk sehingga langkah-langkah lebih ketat perlu dilaksanakan dan menjejas perniagaan mereka.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan