Temasek sasar gandakan portfolio pelaburan AI sebanyak 15% jelang 2031
Temasek Holdings mahu meningkatkan lebih daripada dua kali ganda pendedahannya kepada aset berkaitan kecerdasan buatan (AI), menurut pelabur negara itu pada Rabu (8 Jul) semasa mengumumkan hasil tahun kewangannya.
Logo Temasek di lobi Atrium@Orchard pada 28 Ogos 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Pelaburan tertumpu pada AI kini membentuk 6 peratus daripada keseluruhan portfolionya dan syarikat itu merancang meningkatkan jumlah itu sehingga 15 peratus menjelang akhir tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2031.
Temasek menyatakan kemajuan pesat kecerdasan buatan (AI) adalah "fasa penting" yang akan mewujudkan banyak peluang baharu.
Dalam taklimat mengenai pendedahan AI Temasek, ketua pegawai eksekutif (CEO) Dilhan Pillay berkata portfolio itu kini meliputi beberapa perniagaan AI, termasuk Nvidia, TSMC, Anthropic, OpenAI, Microsoft dan Tencent, antara lain.
Pelaburan sedia ada itu boleh dibahagikan kepada lima bahagian: pusat data dan tenaga, semikonduktor, penyedia khidmat cloud, model asas dan aplikasi AI serta infrastruktur sofwe, katanya.
Temasek menyatakan ia akan menumpukan tumpuan pada bidang-bidang itu apabila menyalurkan lebih banyak modal.
"Dalam kelima-lima bidang tersebut, beberapa syarikat adalah peneraju dalam satu bahagian, dan ada yang bersepadu secara menegak merentasi pelbagai bahagian, mencipta kesan roda tenaga (flywheel)," kata Encik Pillay.
Syarikat-syarikat seperti Amazon, SpaceX dan Alphabet beroperasi sebagai syarikat gergasi yang menguasai rantaian bekalan dari awal hingga akhir, menurut firma itu, yang sebelum ini mengumumkan rancangan untuk menggandakan sebanyak tiga kali ganda pelaburan AI daripada AS$25 bilion (S$32.2 bilion) pada masa ini kepada AS$75 bilion (S$96.8 bilion) menjelang 2030.
Encik Pillay menambah pelaburan Temasek mencerminkan pandangan syarikat itu terhadap AI sebagai
pemacu struktur jangka panjang bagi penciptaan nilai.
Encik Chia Song Hwee, ketua pegawai eksekutif (CEO) Temasek Global Investments berkata dalam satu taklimat bersama wartawan bahawa kemajuannya ke arah sasaran 15 peratus tidak bersifat linear, dan ia bergantung pada peluang pelaburan sepanjang tempoh tersebut.
Apabila ditanya bagaimana Temasek menentukan bahagian 15 peratus itu, beliau berkata terdapat jangkaan pertumbuhan semula jadi dan ia merupakan keputusan peruntukan modal yang "realistik".
Sasaran 15 peratus tidak termasuk pendedahan berkaitan AI bagi syarikat-syarikat portfolio Temasek yang berpangkalan di Singapura.
MEMPERCEPATKAN PENGAMALAN AI
Untuk baki 85 peratus portfolio pelabur negara itu, Encik Pillay berkata mereka "harus beri tumpuan terhadap usaha mendakapi AI demi daya persaingan".
"Walaupun penting bagi kita untuk melabur dalam syarikat yang ada inovasi AI - yang berpotensi berkembang menjadi perusahaan berskala besar - ujian sebenar terletak pada pelaksanaan penggunaan AI itu sendiri," katanya.
Pandangan itu disokong oleh Encik Nagi Hamiyeh, presiden Temasek Global Investments.
Apabila melabur dalam mana-mana syarikat, Temasek akan bertanyakan "soalan jelas", katanya.
"Adakah mereka penerima bantuan atau pihak yang ketinggalan dari segi AI?"
"Nilai sebenar akan datang daripada pihak yang mendakapinya, katanya.
Ini adalah syarikat-syarikat yang berpangkalan di Singapura, termasuk CapitaLand, DBS dan Mapletree Investments, di mana Temasek merupakan pemegang saham utama.
Temasek biasanya memegang sekurang-kurangnya 20 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat-syarikat ini.
Presiden Temasek Singapore Png Chin Yee berkata syarikat-syarikat portfolio itu digalakkan untuk memikirkan "secara aktif" tentang maksud AI bagi model-model perniagaan mereka,
bagaimana mereka boleh memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan dan apakah aliran hasil pendapatan baharu yang mungkin muncul.
Para pemimpin syarikat-syarikat itu juga dibawa ke Amerika Syarikat dan China untuk program pendalaman AI, kata Cik Png, yang juga merupakan ketua pegawai kewangan Temasek International.
"Adalah penting untuk kita ketahui apakah kemungkinan itu, tetapi pada masa yang sama, saya berpendapat kita perlu benar-benar jelas bahawa transformasi AI kita mesti melibatkan warga kerja kita bersama-sama," katanya.
Encik Pillay menarik perhatian bahawa syarikat-syarikat portfolio Temasek yang berpangkalan di Singapura menggajikan sekitar 400,000 orang di seluruh dunia.
"Ini bermakna kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kami kekal berteraskan dan dipimpin oleh pekerja, bukan sahaja sebagai sebuah syarikat, malah merentasi keseluruhan ekosistem,: katanya.
"Kami percaya pada potensi AI, namun kami juga memandang serius risikonya. Kami mahu memperkasakan warga kerja kami untuk memanfaatkan AI, bukannya digantikan olehnya."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.