Skip to main content

Singapura

Temasek jual 1.85% saham dalam SIA, kekal pelabur utama

Anggaran Waktu Membaca:
Temasek jual 1.85% saham dalam SIA, kekal pelabur utama

Gambar fail pesawat Singapore Airlines. (Gambar: AFP/Laurent Fievet)

SINGAPURA: Syarikat pelaburan milik negara, Temasek, sedang menjual sekitar S$400 juta sahamnya, atau 1.85 peratus kepentingan syarikat, dalam syarikat penerbangan negara Singapore Airlines (SIA).

Demikian menurut perjanjian tidak terikat yang dilihat Reuters pada Rabu (28 Jun).

Harga saham tersebut ditetapkan antara S$7.202 dan S$7.283 bagi setiap saham, menurut perjanjian itu, iaitu diskaun sebanyak 2.89 peratus dan 3.97 peratus ketika ia ditutup dengan harga S$7.50 pada Rabu.

Temasek akan terus menjadi pemegang saham utama SIA dengan kepentingan 53.5 peratus, menurut kiraan Reuters.

Citi adalah satu-satunya penyelaras penjualan saham itu, berdasarkan perjanjian tersebut.

Citi bagaimanapun menolak untuk memberi sebarang komen.

"Sebagai pelabur aktif, kami sentiasa menyesuaikan diri dan mengimbangkan semula portfolio kami untuk menghasilkan pulangan mampan dalam jangka panjang," kata Juliet Teo, Ketua Pengangkutan dan Logistik Temasek dalam satu kenyataan e-mel ketika menjawab pertanyaan Reuters pada Rabu.

"Kami komited dalam kejayaan jangka panjang SIA dan terus menjamin pemilikan majoriti saham dalam syarikat itu," tambahnya.

Bulan lalu, SIA mengumumkan keuntungan yang memecah rekod sebanyak S$2.16 bilion bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac selepas ia mengalami kerugian tiga tahun berturut-turut.

Syarikat itu menambah bahawa ia menerima lebih banyak tempahan ke China, Jepun dan Korea Selatan sejak larangan pandemik digugurkan seluruh dunia.

Saham SIA juga melonjak hampir 36 peratus pada Jun setakat ini.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita