Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tema NDP 2022 seru warga S'pura terus maju & bersatu padu

Anggaran Waktu Membaca:
Tema NDP 2022 seru warga S'pura terus maju & bersatu padu

(Gambar: NDP 2022 Executive Committee)

Diterbitkan : 02 Jun 2022 03:28PM Dikemas Kini : 02 Jun 2022 03:29PM

SINGAPURA: Tema Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini, 'Lebih Kukuh Bersama, Majulah', menyeru warga Singapura agar terus maju sebagai rakyat yang bersatu padu dan teguh demi masa hadapan yang lebih cerah.

Demikian umum Jawatankuasa Eksekutif NDP 2022 pada Khamis (2 Jun).

"NDP 2022 bukan sahaja meraikan daya bingkas yang ditonjolkan masyarakat Singapura tetapi juga merupakan seruan agar rakyat Singapura bersatu padu dan maju ke hadapan," kata pengerusi jawatankuasa eksekutif, Brigedier Jeneral (BG) Goh Pei Ming.

"Sedang kita beralih ke arah hidup dengan COVID-19, NDP tahun ini berpeluang untuk menghimpunkan rakyat Singapura secara fizikal dan bertujuan untuk melibatkan masyarakat Singapura melalui sambutan yang menarik lagi bermakna di kedua-dua kawasan kejiranan serta Pentas Terapung @ Marina Bay."

"LEBIH KUKUH BERSAMA, MAJULAH!"

Tema tahun ini mengingatkan rakyat Singapura bahawa "perpaduan dalam kepelbagaian kita menjadikan kita lebih kukuh", kata jawatankuasa eksekutif NDP 2022 dalam lembaran fakta media.

"Masyarakat, keluarga dan rakan taulan yang bersatu membentuk tunjang kekuatan serta kebingkasan negara kita selain membolehkan kita untuk mengatasi cabaran-cabaran."

"Majulah" melambangkan tekad dan aspirasi negara sejak meraih kemerdekaan 57 tahun lalu. 

Ia juga adalah "seruan untuk rakyat Singapura mengecapi masa hadapan yang lebih cerah sedang kita bangkit lebih kukuh daripada COVID-19." 

LOGO LAMBANGKAN CINTA, EMPATI, BELAS KASIH

(Gambar: NDP 2022 Executive Committee)

Logo itu memaparkan ikatan kukuh sesama rakyat Singapura yang berganding bahu untuk membina sebuah masyarakat yang kukuh, inklusif serta prihatin, terang jawatankuasa eksekutif itu.

Bentuk hati pada logo itu melambangkan "cinta kepada bangsa dan negara kita" dan "meletakkan sikap empati serta sifat ihsan di tengah-tengah setiap apa yang kita lakukan".

Logo tersebut juga membentuk angka "57" bagi mengingatkan rakyat Singapura tentang kemajuan yang dicapai sejak kemerdekaan selain cabaran-cabaran yang sudah ditempuhi.

Manakala lima bintang itu mewakili cita-cita demokrasi, keamanan, kemajuan, keadilan dan kesamarataan selain memaparkan betapa Singapura akan maju ke hadapan dengan lebih teguh sebagai sebuah negara apabila kita berganding bahu. 

SAMBUTAN DI SELURUH NEGARA

Sambutan NDP tahun ini akan bermula pada hujung minggu 6 dan 7 Ogos di mana sambutan di kawasan kejiranan, yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Rakyat (PA), akan diadakan di lima lokasi di merata negara. 

Di setiap lokasi, rakyat Singapura akan dapat menikmati pelbagai persembahan dan kegiatan serta melihat pameran-pameran dan "paparan statik" platform oleh Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) serta Home Team.

Pada 7 Ogos, Red Lions akan melakukan aksi terjun bebas di dua tapak di kawasan kejiranan.

Pada Hari Kebangsaan pula, "acara-acara pertunjukan udara" akan menggegarkan kawasan kejiranan. 

Bendera negera akan dibawa berkibar di seluruh negara oleh helikopter chinook manakala jet pejuang F-16 pula bakal melaksanakan acara terbang lalu.

Sedang bunga api dilancarkan di ruang udara Pentas Terapung @ Marina Bay, iaitu lokasi utama perbarisan, ia juga akan dilancarkan secara serentak di kawasan-kawasan kejiranan. 

Butiran lanjut tentang sambutan di kawasan kejiranan bakal diumumkan kelak. 

SAMBUTAN DI PENTAS TERAPUNG @ MARINA BAY

NDP 2022 akan menjemput semula orang ramai untuk menyaksikan acara perbarisan secara fizikal di Pentas Terapung @ Marina Bay, dengan acara Pendidikan Kebangsaan khusus buat murid-murid Darjah 5 disambung semula. Ini selain beberapa pertunjukan bertiket yang diundi bagi orang awam di samping hari perbarisan sebenar itu sendiri.

Butiran untuk permohonan tiket akan diumumkan kelak. 

Perbarisan tahun ini mungkin yang terakhir diadakan di Pentas Terapung sebelum ia merintis jalan bagi pembinaan Dataran NS, yang dijadualkan bermula pada Mac 2023.

Sambutan Hari Kebangsaan pada 9 Ogos akan turut menampilkan paparan pertahanan mutlak serta perbarisan dan upacara.

Prasarana Pentas Terapung akan membolehkan SAF dan Home Team untuk mengadakan pertunjukan-pertunjukan udara, darat serta laut.

Buat pertama kali semasa perbarisan itu, persembahan nyanyian koir secara maya akan ditampilkan di mana ia mendendangkan lagu tema NDP 2022 "Kukuh Bersama". 

Ini akan disusuli dengan segmen pertunjukkan yang akan merangkumi lima persembahan babak secara langsung dan sebuah filem, yang menggambarkan "bagaimana Singapura, sebagai sebuah masyarakat dan negara, bangkit lebih teguh daripada cabaran-cabaran yang ditempuhi".

Selain itu, pek NDP, yang direka bentuk oleh artis-artis kurang upaya, akan merangkumi "makanan dan cenderamata interaktif".

USAHA PELIBATAN ONLINE

Sementara itu, beberapa usaha pelibatan digital oleh NDP 2022 akan menggalakkan rakyat Singapura supaya meyumbang semula kepada masyarakat selain menzahirkan harapan dan hasrat mereka buat Singapura.

#PledgeSG adalah kempen digital yang mengundang rakyat Singapura untuk mengikrarkan sokongan mereka bagi pelbagai tujuan dan/atau meluahkan harapan serta hasrat mereka untuk Singapura. 

Ikrar-ikrar itu kemudian akan dikumpulkan untuk dipaparkan pada satu halaman sosial media.

Pada masa yang sama, kempen #DoingGood, yang akan dilancarkan pada Julai, bertujuan untuk menggalak rakyat Singapura menunaikan ikrar-ikrar bagi tujuan-tujuan insani.

Rakyat Singapura juga boleh mendaftarkan diri untuk mengikuti pelbagai kegiatan #DoingGood yang bakal diadakan selama 22 hari.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan