Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tema menarik; cerita sebenar kunci kejayaan 'Kaki Bola' & 'Air Mata Ayah'

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jalan cerita yang diilhamkan daripada kehidupan sebenar menjadi antara kunci kejayaan dua drama Melayu tempatan.

Drama bersiri 'Kaki Bola' dan telefilem 'Air Mata Ayah' mengharumkan nama negara selepas cemerlang dalam  Anugerah Televisyen & Media Korporat Festival Media Sedunia tahun ini.

Ia antara 39 anugerah yang dibawa pulang Mediacorp untuk acara berprestij itu.

Drama bersiri 13-episod 'Kaki Bola' terbitan Millenia Motion Pictures merangkul anugerah emas menerusi kategori Hiburan kategori Keluarga Khas.

Kejayaan itu menjadi rangsangan bagi syarikat penerbitan tersebut untuk menghasilkan lebih banyak karya bertaraf antarabangsa.

"Ia sebenarnya memberi kami kepastian yang kami membuat karya kami dengan cara yang betul. Ini sesuatu yang istimewa sebab 'Kaki Bola' itu sendiri sebuah drama berbilang bahasa mewakili Singapura dalam caranya tersendiri dan bercakap tentang bola sepak," kata pengarahnya, Yahssir M, yang turut menghasilkan karya-karya Tamil, yang pernah dicalonkan di Festival Filem New York.

RESEPI UNTUK MENGHASILKAN SIRI YANG BAIK

Drama TV tersebut yang ditayangkan di saluran Suria tahun lalu menggambarkan kehidupan dan perasaan peminat bola sepak Singapura.

Ia mengisahkan dua bapa muda yang menyokong pasukan bola sepak negara sewaktu era 'Liga Perdana Malaysia' pada tahun 1994.

Malah, dua anak mereka mengambil nama lagenda bola sepak Fandi Ahmad yang dilakonkan Danial Ashriq. Watak Sundram Moorthy pula dimainkan Yuvaraj Krishnasamy.

Menurut pengarah bersama dan penulis skrip, K Rajagopal, jalan ceritanya yang menarik dan berlatarbelakangkan permainan kegemaran ramai menyumbang kepada kejayaan siri tersebut.

"Bola sepak adalah sesebuah permainan yang boleh menjadi amat dramatik. Terdapat banyak politik dan drama dalam bola sepak. Dan ia juga cukup bersemangat sebagai sesebuah permainan. Ia mempunyai semua bahan-bahan untuk membuat siri yang baik," kata K Rajagopal, yang juga terlibat dalam karya-karya bahasa Mandarin.

Selain perlu memahami permainan bola sepak dan futsal itu sendiri, penulis skrip, Umie Isa perlu menulis skrip untuk watak-watak bukan Melayu.

"Sudah tentu, mereka (watak-watak) semua perlu bercakap dalam bahasa mereka sendiri. Dan memahami budaya mereka itu penting bagi saya untuk menyesuaikan dialog dan watak-watak dalam cerita 'Kaki Bola'," kata Umie, yang berharap dapat menghasilkan lebih banyak karya berunsur komedi dan psikologi seram.

BARISAN PELAKON BERBILANG BANGSA

Selain penampilan khas lagenda-lagenda bola sepak negara, ia turut membariskan pelakon bukan Melayu yang hebat seperti Henry Heng, Aaron Mossadeg, Gloria Tan dan Charlie Goh.

Charlie yang pernah terlibat dalam beberapa drama di Suria sebelum ini berkongsi, beliau sebenarnya fasih berbahasa Melayu.

Drama itu  memberinya lebih keyakinan untuk menjayakan drama-drama Melayu akan datang.

"Ia tidak pernah mudah. Namun sekiranya peluang itu timbul, saya akan mengambil cabaran tersebut selagi ia termampu dibuat. Saya rasa saya boleh membawa watak itu dengan adil. Jika ada peluang untuk saya mencuba watak yang berbeza, saya tidak kisah," kata Charlie, yang juga terlibat drama-drama di Saluran 5 dan 8, Mediacorp.

Bagi memberikan keseimbangan di antara drama tentang futsal dan juga realiti kehidupan seharian, Kaki Bola turut menyentuh tentang isu-isu sosial berdasarkan pengalaman seorang pekerja sosial.

"Ia membawa lebih kepada realiti bagaimana keluarga-keluarga itu dan interaksi dan kemungkinan isu-isu yang mereka hadapi. Saya rasa itulah di mana latihan saya sebagai seorang pekerja sosial dapat ketengahkan dalam cerita ini juga," kata penerbit, Rashida Begum Md Udin.

Pelakon Fir Rahman yang membawa watak antagonis dalam drama itu turut berkongsi kebanggaannya di atas kejayaan siri tersebut.

Beliau berharap ia dapat menyuntik semangat kepada syarikat-syarikat penerbitan lain untuk menerbitkan karya-karya bermutu.

"Ia akan membuka peluang InsyaAllah pada produksi-produksi yang lain untuk lagi sedaya upaya untuk membuat karya-karya yang sama baiknya atau mungkin lebih baik pada masa hadapan supaya kita boleh sama-sama naik," kata Fir Rahman, yang baru sahaja selesai penggambaran sebuah drama kolaborasi bersama para pelakon serantau.

ANUGERAH PELUANG TONJOL BAKAT-BAKAT TEMPATAN

Telefilem 'Air Mata Ayah' terbitan Poetry in Motion pula membawa pulang anugerah Perak dalam kategori yang sama.

'Air Mata Ayah' mengisahkan tentang Mahmud, seorang ayah dan guru yang garang dan yakin bahawa cara mendidik anak dengan tegas adalah cara paling berkesan untuk mencegah anak-anaknya daripada menuju jalan yang salah.

"Apabila drama kita dapat memenangi sesebuah anugerah di luar negara, drama Singapura ini kirakan macam boleh berdiri, setanding dengan drama-drama negara jiran atau drama-drama di nusantara. Maknanya kualiti kita pun setanding dengan drama-drama yang mereka hasilkan. Dan selain daripada itu.

"Saya berbangga jika drama-drama kita dapat diketengahkan di luar negara sebab kita boleh menonjolkan pelakon-pelakon kita yang berbakat," kata Pengarah dan Penulis, Seriwahyuni Jaes yang sebelum ini juga pernah menerima anugerah antarabangsa bagi telefilem 'Bonda' dan 'Mamaku Bibikku'.

Jalan cerita telefilem itu berdasarkan pengalaman peribadi penerbit, Nusaibah Abdul Rahim.

"Cabaran pada saya adalah membuat keluarga mertua saya bangga dengan jalan cerita ini kerana ia sebuah tanda penghormatan dari saya," katanya.

Antara pelakon hebat yang menjayakan telefilem itu ialah pelakon mapan Mazlan Amat, yang memegang watak utama.

Mazlan yang mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam dunia lakonan,  menyifatkan anugerah tersebut mengiktiraf kemajuan karya-karya Melayu.

"Kalau dulu, kalau diperhatikan, drama tak habis-habis kisah cinta, kecurangan dan cinta tiga segi. Ini daripada dulu. Tapi sekarang kita melihat penulis semakin baik dan bagus, mereka buat tentang kisah-kisah kekeluargaan, keakraban keluarga. Ini penting kerana penonton akan mengikutnya," kata Mazlan, yang teringin untuk mencabar dirinya untuk membawa watak-watak seperti seorang 'Ketua Mafia' atau 'Ustaz' dalam penerbitan-penerbitan akan datang.

Turut menyuarakan pendapat serupa ialah pasangan pelakon Mazlan dalam telefilem tersebut, Hashimah Hamidon. 

Selain persiapan yang mencukupi, keserasian di antara para pelakon juga katanya membantu meningkatkan lagi potensi drama-drama tempatan.

"Bukan sahaja tentunya kita mempunyai penulisan skrip yang baik, kalau kita tidak ada barisan pelakon yang baik juga untuk membawakan, menghidupkan cerita itu, pun tak akan menjadi," kata Hashimah.

Telefilem khas sempena Hari Bapa itu turut menerima lima pencalonan dalam acara Pesta Perdana tahun ini.

Ia termasuk:
1. Drama Khas Terbaik
2. Pelakon Lelaki Terbaik dalam Watak Utama - Drama Khas/Antologi - Mazlan Amat
3. Pelakon Lelaki Terbaik dalam Watak Pembantu - Drama Khas/Antologi - Fir Rahman
4. Pelakon Wanita Terbaik dalam Watak Pembantu - Drama Khas/Antologi - Hashimah Hamidon
5. Lagu Tema Terbaik.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan