Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tema 'kemaafan' filem pendek Hari Raya MuslimSG diharap dapat 'buka hati' penonton

Anggaran Waktu Membaca:
Tema 'kemaafan' filem pendek Hari Raya MuslimSG diharap dapat 'buka hati' penonton

Petikan filem pendek 'Kemaafan' oleh MuslimSG

BERITAmediacorp: Tergerak untuk mula memaafkan kesilapan orang lain.

Itulah antara reaksi penonton setelah menyaksikan filem pendek Hari Raya tahun ini terbitan MuslimSG.

Dalam masa seminggu ia dimuatnaik ke laman YouTube, filem pendek sepanjang 9 minit itu sudah meraih lebih 55,000 tontonan.

Menurut Ketua Editor MuslimSG, Alia Fatin Abdullah, budaya bermaaf-maafan di pagi raya serta sifat pemaaf Nabi Muhammad mencetuskan ilham bagi kumpulan penerbitannya dalam memilih tema untuk projek tahun ini.

"Kami merasakan bahawa kemaafan adalah tema universal yang dekat di hati semua orang, tak kira agama dan latar belakang, dan kami mahu filem kami membawa mesej keamanan dan perpaduan," kata Cik Alia.

Filem itu mengisahkan bagaimana sebuah keluarga menangani ujian yang melanda mereka menjelang Ramadan.

Watak pelajar, Ahmad perlu berdepan dengan waktu yang sukar apabila ibu bapanya terlibat dalam kemalangan jalan raya. Akibat kemalangan itu, ibunya lumpuh dan perlu berkerusi roda.

Disebabkan musibah itu juga, bapanya menjadi seorang pemarah dan tidak dapat memaafkan pemandu kereta yang cuai dan menyebabkan kemalangan itu.

BUKAN SAHAJA DIDIK ANAK TENTANG ISLAM TAPI JADI TELADAN BUAT MEREKA

Melihat ayahnya yang sering marah dan keengganannya untuk memaafkan si pesalah, Ahmad juga meniru sifat bapanya itu.

Apabila berdepan dengan konflik di sekolah, Ahmad tidak dapat memaafkan rakan-rakannya dan menjadi seorang pemarah.

Ini menunjukkan betapa penting peranan yang dimainkan oleh ibu bapa sebagai peran contoh buat anak-anak mereka.

Pihak penerbitan memilih untuk menyelitkan mesej tersebut dalam filem ini kerana akur bahawa anak-anak memerlukan contoh yang baik dari orang dewasa di sekeliling mereka.

"Dalam pembikinan filem ini, kami juga ingin menyentuh akan pentingnya peranan ibu bapa dalam membentuk keperibadian dan akhlak anak-anak. Mendidik anak bukanlah sekadar mengajarkan mereka tentang Islam tetapi juga memberikan contoh nilai-nilai hidup yang baik dan positif bagi mereka teladani," jelas Cik Aliah.

Menariknya juga, filem pendek itu memaparkan beberapa watak berbilang kaum dan agama.

Antara mereka termasuk rakan-rakan Ahmad di sekolah dan juga watak pemandu kereta yang cuai itu.

Cik Aliah berkata, "Kami mahu filem kami mencerminkan realiti kehidupan masyarakat Singapura dengan mengetengahkan watak dari pelbagai kaum dan agama. Kami berharap usaha ini dapat mendorong keharmonian dan memupuk sifat rahmah dan rasa saling menghormati dalam masyarakat kita."

"Penting bagi kita untuk terus menonjolkan kepelbagaian, tidak kira suara mahupun cerita dalam media, kerana ini bukan hanya memberi manfaat kepada pelbagai kaum atau kumpulan yang diwakili tetapi juga memperkayakan pemahaman kolektif kita terhadap dunia di sekeliling kita," tambahnya.
 
MAKLUM BALAS POSITIF MASYARAKAT

Di YouTube, filem pendek itu menerima lebih 200 'Likes'.

"Maklum balas yang kami terima sejauh ini adalah sangat positif, kerana tema yang mudah diterima dan dekat di hati semua orang, dan ia memberi kesan kepada mereka yang telahpun menontonnya. Bukan hanya umat Islam yang tergerak oleh karya kami - penonton bukan Islam juga telah memberikan komen mengenai kesan emosi yang ditimbulkan video kami," kongsi Cik Aliah.

Di ruang komen YouTube, pengguna media sosial JM Zhang berkata dia "tersentuh dan sifat memaafkan itu adalah universal".

Bagi seorang lagi pengguna Ang Yvonne, "Saya seorang Cina tapi saya suka sangat filem pendek ini. Terima kasih kerana ingatkan kami, amarah dan kebencian boleh bersarang jika kita tidak buangnya dari hati kita menerusi kemaafan"

Filem pendek terbitan MuslimSG mula mendapat sorotan dalam dan luar negara menerusi terbitan pertamanya pada 2020.

Filem pendek bertajuk 'Jauh Di Mata, Dekat Di Hati' yang mengisahkan tentang bagaimana keluarga Singapura menyambut Hari Raya sewaktu COVID-19 melanda, meraih lebih 1.2 juta tontonan di YouTube.

MuslimSG merupakan platform media online sehenti Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), bagi memperkasa masyarakat Islam tempatan dengan kandungan keagamaan.

Ia juga menjadi penghubung antara masyarakat Islam dengan Rangkaian Belia Asatizah.
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan