Skip to main content

Singapura

Telefon Sylvia Lim tidak digodam agensi negara: Shanmugam

Anggaran Waktu Membaca:
Telefon Sylvia Lim tidak digodam agensi negara: Shanmugam

Menteri Dalam Negeri merangkap Undang-undang K Shanmugam dan Pengerusi Parti Pekerja Sylvia Lim di Parlimen pada Jumaat (18 Feb). (Gambar: CNA)

SINGAPURA: Telefon bimbit milik pengerusi Parti Pekerja (WP) Sylvia Lim tidak digodam oleh agensi negara Singapura, kata Menteri Dalam Negeri merangkap Undang-undang K Shanmugam di Parlimen pada Jumaat (18 Feb).

Encik Shanmugam berkata demikian sebagai menjawab permintaan Cik Lim untuk mengesahkan bahawa telefonnya tidak digodam oleh agensi negara Singapura, selepas beliau berkata telah menerima amaran daripada Apple bahawa telefonnya mungkin di bawah ancaman digodam oleh penyerang tajaan pemerintah.

Cik Lim mengemukakan amaran ugutan itu di Parlimen selepas Menteri Negara MHA Desmond Tan menyebut tentang penggantungan pada teknologi yang diperlukan bagi tujuan keselamatan negara. Cik Lim ingin tahu jika beliau sepatutnya "tidak bimbang langsung" bahawa agensi negara Singapura cuba untuk menggodam telefonnya.

Beliau menambah bahawa Apple berkata ancaman penggodaman tersebut "kemungkinan berlaku kerana statusnya atau tugas beliau".

DATANG KE MHA, DARIPADA "MENGUAR-UARKAN" DI PARLIMEN

Dari masa sejak Cik Lim menyuarakan kebimbangannya itu di Parlimen, Encik Shanmugam berkata beliau sudah menghubungi Divisyen Keselamatan dan Perisikan dan bercakap bagi pihak agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (MHA).

"Pada pandangan saya jika seseorang itu serius tentang ancaman sedemikian, cara yang betul untuk melakukannya, jika anda serius untuk tahu jika telefon anda digodam dan oleh siapa, ialah datang ke (MHA). Kami akan membuat siasatan menyeluruh," kata Encik Shanmugam.

"Jika anda membangkitkan isu itu di Parlimen, maka kami pasti menganggap tujuannya ialah untuk menguar-uarkan hal itu daripada untuk menghuraikannya, dan jelas mengapa ia dihebohkan."

Encik Shanmugam berkata beliau ingin melihat pemberitahuan daripada Apple itu, dan sama ada ia adalah pemberitahuan umum yang dihantar kepada beberapa orang atau pemberitahuan khusus yang hanya dihantar ke telefon Cik Lim.

"(MHA) ingin tahu kerana... ini adalah sesuatu yang sangat kami bimbangkan. Cik Lim adalah seorang Anggota Parlimen (AP). Semua (AP) berpotensi jadi sasaran dan kami ingin tahu dalangnya, siapa yang cuba menggodam telefon beliau," kata Encik Shanmugam lagi.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita