Telefilem khas Hari Bapa 'Belaian Terakhir' singkap pergolakan emosi tiga insan bergelar bapa
Telefilem khas sempena Hari Bapa, Belaian Terakhir oleh Elements Pictures, memaparkan perasaan terpendam tiga orang bapa dari generasi dan latar belakang berbeza. (Gambar: Elements Pictures)
Itulah paparan Belaian Terakhir, sebuah telefilem istimewa sempena Hari Bapa, yang akan disiarkan di saluran Suria pada Jumaat (13 Jun).
BERI SUARA KEPADA GOLONGAN BAPA YANG MENDERITA DALAM DIAM
Bagaimana seorang bapa berdepan kenyataan bahawa anak yang disayanginya bukan dari darah daging sendiri?
Apa pula nasib bapa tiri yang membesarkan anak-anak yang enggan mengakuinya sebagai 'ayah'?
Dan sanggupkah seorang ayah yang hampir kehilangan anaknya sendiri, menyelamatkan bapa lain daripada nasib yang sama?
Kisah-kisah itulah yang membentuk nadi Belaian Terakhir, yang menurut pengarah dan penulisnya Adi Yadoni, mencerminkan perjuangan senyap golongan bapa.
"Mengikuti perjalanan ayah-ayah yang berani untuk mengaku salah dan mengaku untuk meluahkan perasaan dan emosi mereka. Kerana rata-rata, ayah itu seorang yang pendiam. Mereka jarang sekali untuk meluahkan perasaan. Dalam telemovie ini, kita dapat melalui apakah sebenarnya yang dirasakan, apa yang tersimpan dan tersemat dalam emosi mereka selama ini; yang tidak mereka luahkan? Itu adalah satu perjuangan dan satu keberanian sebagai seorang ayah, yang saya hendak paparkan," kongsi Adi Yadoni kepada wartawan Roslinda Rahmat.
Kekuatan cerita menarik pelakon utama kembali berlakon, termasuk Khairul Anwar Salleh yang kembali selepas lebih 25 tahun, dan Nadiputra, yang lebih banyak mengarah selama 20 tahun lalu dan kini berusia 79 tahun.
"Ini pertama, setelah 20 tahun. Itu pun saya macam curiga juga. Pasal setelah 20 tahun itu, sudah 'karat' nak kembali ke lakonan TV. Saya dapat ikuti beberapa penggambaran yang ditangani oleh para pengarah muda. Pendekatan mereka lain. Mereka ada pengalaman yang berbeza dan itu juga merupakan satu tambahan ilmu bagi saya," kata Nadiputra.
"Saya mula-mula agak betul ke Encik Adi nak panggil saya pasal takut saya tidak dapat mencapai harapan beliau pasal saya sudah lama tak terlibat. Tetapi dari segi cerita yang diberitahu pada saya, amat menarik. Tentang tiga bapa yang mempunyai tiga pendekatan, penanganan yang berbeza, pengorbanan yang berbeza.
Dalam sesi wawancara di Studio Bukit Sakti milik pengarah, Encik Nadiputra berkongsi, "Apabila dapat tahu akan berlakon dengan Khairul Anwar, sejak berteater dengan beliau, inilah peluang 20 tahun sejak terakhir berlakon bersama. Tetapi yang bencinya, kami tidak dapat berlakon bersama-sama dalam satu adegan. Mudah-mudahan dengan pemisahan adegan ini dapat memberi kesinambungan jiwa dua watak ini dalam satu kaedah pemaparan kekeluargaan yang menyayat dan menyentuh perasaan," luahnya, terkilan.
'Belaian Terakhir' turut mencabar stereotaip bahawa lelaki mudah "bangkit semula" selepas perceraian, satu naratif yang jarang diselami secara mendalam dalam drama Melayu.
Telefilem itu membuka perbincangan tentang kesihatan mental, maskuliniti dan proses penyembuhan, dengan menekankan betapa pentingnya komunikasi yang jujur dan berterusan dalam sesebuah keluarga.
"Walaupun saya ditangani oleh pengarah muda seperti Adi Yadoni, saya mesti dengar apa katanya, pemikirannya terhadap naskhah yang malah dia tulis sendiri. Jadi hormati karya penulis, hormati penanganan pengarah itu penting. Dan, walaupun saya sudah lama dalam industri ini tetapi kita terpaksa terima hakikat bahawa dunia penggambaran ini sudah banyak berubah. Jadi kita harus belajar. Dan belajar itu tak mengira umur," luah Encik Nadiputra.
"Naratif, cara penceritaan sudah berbeza kerana penonton sekarang sudah berbeza. Kita ada TikTok, kita ada YouTube, jadi elemen-elemen ini memang memainkan peranan penting dalam saya membuat konsep cerita saya ini. Jadi saya lebih tumpukan realisme dalam bercerita itu dan juga struktur-struktur atau babak-babak yang tidak membuang masa kerana rata-rata penonton sekarang nak cepat, dia nak dapat informasi. Terapi kita tak lupakan nilai kesenian, kesusasteraan dan juga lakonan. Formula-formula itu yang saya terapkan dalam telemovie ini," kongsi pengarah, Adi Yadoni.
Beliau juga menegaskan keperluan memberi ruang kepada suara-suara bapa yang sering terpinggir.
"Kita memberanikan diri untuk berkongsi dengan para penonton yang kadang-kadang tidak tahu. Saya harap bila penonton dapat menonton, mereka lebih faham apakah isi hati ayah itu walaupun mereka diam. “Aku buat untuk engkau, dan apa terjadi dekat aku, itu tak penting.” Dan dalam drama ini, saya paparkan di sebalik diam itu apa, apa yang terjadi, apa yang terpendam dalam hati mereka itu. Saya rasa itu lebih penting agar penonton sedar apakah yang ayah mereka lalui selama ini".
Telefilem itu juga menekankan perlunya ruang bagi bapa meluahkan rasa tanpa rasa malu atau takut.
"Masalah komunikasi inilah yang kita harus terima, kerana secara semulajadi memang ayah tidak banyak berbual. Tapi kita sebagai ayah tidak harus takut meluahkan perasaan, menunjukkan bahawa kita juga boleh terusik. Kita manusia biasa yang punya kelemahan, kesunyian, dan perlukan penghargaan dalam hidup," kata Adi.
Penerbitan Belaian Terakhir berharap naskhah ini dapat membuka ruang untuk penonton menyelami jiwa seorang bapa agar mereka tidak terus memendam rasa dan menderita dalam diam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.