Skip to main content

Singapura

Teksi rentas sempadan dibenar turunkan penumpang mana-mana sahaja di SG, Johor Bahru mulai 4 Mei

Para penumpang antara Singapura dan Malaysia akan menikmati lebih banyak kelonggaran mulai 4 Mei, dengan teksi rentas sempadan dibenarkan menurunkan penumpang di mana-mana sahaja di Singapura dan beberapa kawasan di Johor, termasuk Johor Bahru.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 Apr 2026 04:38PM Dikemas Kini : 14 May 2026 11:57AM

SINGAPURA: Para penumpang antara Singapura dan Malaysia akan menikmati lebih banyak kelonggaran mulai 4 Mei, dengan teksi rentas sempadan dibenarkan menurunkan penumpang di mana-mana sahaja di Singapura dan beberapa kawasan di Johor, termasuk Johor Bahru.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada penambahbaikan Skim Teksi Rentas Sempadan yang diumumkan bersama oleh Kementerian Pengangkutan kedua-dua negara pada Khamis (30 Apr).

Di bawah peraturan baharu ini, teksi-teksi berlesen boleh menurunkan penumpang di mana-mana sahaja di Johor Bahru, Iskandar Puteri, Forest City, Kulai dan Senai.

Di Singapura, lesen bagi khidmat teksi rentas sempadan yang pertama telah diberikan kepada GrabCar, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam pengumuman berasingan.

Lesen itu sah selama tiga tahun, bermula 30 April.

Ini bermakna GrabCar boleh mengendalikan khidmat teksi rentas sempadan menerusi platform tempahan online yang ditawarkan oleh syarikat itu.

Walaupun teksi-teksi ini boleh terus mengambil penumpang tanpa sekatan di negara asal mereka, pengambilan penumpang di negara asing akan dihadkan kepada tiga tempat baharu yang ditetapkan melalui tempahan secara online atau menaiki teksi dari tepi jalan.

Tempat pengambilan penumpang baharu adalah:

Berhampiran VivoCity (Singapura)

Berhampiran Century Square (Singapura)

Joo Koon (Singapura)

Pusat Beli-belah Toppen (Malaysia)

Mid Valley Southkey Mall (Malaysia)

Angsana Mall (Malaysia)

Setiap negara juga akan menyediakan kuota tambahan sebanyak 100 teksi, menjadikan jumlah baharu kepada sebanyak 300 teksi dari setiap pihak.

Kuota tambahan akan digunakan untuk kenderaan yang lebih besar dan lebih premium - termasuk kenderaan standard 4 tempat duduk, standard 6 tempat duduk dan premium 6 tempat duduk - untuk memenuhi keperluan keluarga dan kumpulan yang lebih besar, serta pelancong perniagaan.

Matlamatnya adalah untuk meningkatkan kuota secara beransur-ansur kepada 500 dari setiap negara, menurut Kementerian Pengangkutan kedua-dua negara.

Tambang untuk menaiki teksi dari Terminal Ban San Street di Singapura ialah S$80 untuk standard 4 tempat duduk, S$120 untuk standard 6 tempat duduk dan S$180 untuk premium 6 tempat duduk.

Tambang untuk menaiki teksi dari Terminal Larkin di Malaysia ialah RM240 untuk standard 4 tempat duduk, RM360 untuk standard 6 tempat duduk, dan RM540 untuk premium 6 tempat duduk.

Caj tambahan dikenakan untuk perjalanan melebihi 35km.

Teksi-teksi berlesen mesti dapat dikenal pasti dengan jelas - melalui warna syarikat teksi, awalan plat lesen yang telah ditetapkan dan papan tanda atas bumbung teksi - untuk menyokong penguatkuasaan terhadap tempahan haram dari satu tempat ke tempat yang lain.

Teksi-teksi juga mesti memasang peranti, seperti yang dikehendaki oleh pihak negara lain, untuk membolehkan penguatkuasaan semasa memasuki negara tersebut. Kenderaan tersebut tidak boleh berusia lebih daripada 10 tahun.

Untuk memasuki negara satu sama lain, teksi mesti membawa sekurang-kurangnya seorang penumpang, kecuali semasa tempoh pengecualian - 12.00 tengah hari hingga 12.00 tengah malam pada hari Jumaat untuk teksi Malaysia ke Singapura, dan 12.00 tengah hari hingga 12.00 tengah malam pada hari Ahad untuk teksi Singapura ke Malaysia.

Buat masa ini, teksi rentas sempadan hanya dibenarkan menurunkan penumpang di tempat-tempat yang ditetapkan - Larkin Sentral di Johor Bahru untuk teksi Singapura dan Terminal Ban San Street di Singapura untuk teksi Malaysia.

Piawai ini sudah wujud selama bertahun-tahun. Tetapi kekurangan pilihan teksi mengehadkan kemudahan, mendorong pengendali haram untuk mengisi jurang itu dan menjejas pendapatan pemandu teksi berlesen.

Pada Disember lalu, Kementerian Pengangkutan Singapura dan Malaysia mengumumkan peraturan baharu yang akan membenarkan teksi berlesen asing menurunkan penumpang di mana-mana sahaja di negara asal mereka.

Walau bagaimanapun, mereka hanya boleh mengambil penumpang di tempat yang ditetapkan bagi menghalang mereka daripada menyediakan perkhidmatan dari satu tempat ke tempat yang lain, menurut kementerian-kementerian tersebut pada masa itu, tanpa menyatakan bila perubahan itu akan dikuatkuasakan.

“Kami dengan sukacitanya mengumumkan penambahbaikan pada Skim Teksi Rentas Sempadan ini, yang akan menyediakan kemudahan yang lebih baik dan ketersambungan yang lebih baik untuk para pelawat dan penumpang antara Singapura dan Malaysia,” kata Ketua Eksekutif Penguasa Pengangkutan Darat (LTA, Ng Lang.

Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat, Ahmad Radhi Maarof, berkata bahawa negara itu berharap dapat mempertingkatkan kerjasama ini dengan mencari lebih banyak cara untuk memudahkan aliran pelancong.

“Pergerakan orang ramai merentasi Tambak Johor penting dalam hubungan dua hala kami, dan kami bertekad untuk menjadikan pengalaman itu lancar dan semudah mungkin,” katanya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita