Teksi Malaysia di SG dikehendaki pasang OBU jelang ERP2 mulai 1 Jan 2027
Pemandu teksi rentas sempadan berlesen boleh mengambil dan menurunkan penumpang di Terminal Ban San Street di Singapura. (Gambar: CNA/Erin Liam)
- Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura Jeffrey Siow mengumumkan teksi Malaysia wajib memasang OBU untuk sistem ERP 2 sebelum 1 Januari 2027.
- Pemasangan OBU diwajibkan bagi semua kenderaan berdaftar di Singapura, dengan teknologi satelit digunakan untuk pemantauan dan penguatkuasaan.
- LTA menyatakan lebih 93 peratus kenderaan di Singapura telah memasang OBU, dan peringatan terakhir akan diberikan mulai 15 Februari 2026 kepada pemilik yang belum memasang.
- Pemilik yang gagal memasang OBU selepas tempoh percuma akan dikenakan bayaran, manakala pelanggaran serius boleh didenda sehingga S$20,000 atau penjara sehingga 12 bulan.
SINGAPURA: Semua kenderaan berdaftar di Singapura diwajibkan untuk memasang "on board unit" (OBU) bagi sistem Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) 2 sebelum pelaksanaan penuhnya pada 1 Jan 2027.
Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura Jeffrey Siow berkata langkah itu perlu bagi membolehkan pemerintah memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan berkenaan jika perlu ketika berada di Singapura.
"Bagi kenderaan persendirian pendaftaran asing, kami menggalakkan mereka memasang OBU untuk menentukan bayaran berasaskan penggunaan, walaupun kami menyedari pelawat sekali-sekala mungkin memilih untuk tidak berbuat demikian.
Kenderaan tanpa OBU masih boleh membayar bayaran rata harian, sama seperti kereta tanpa unit dalam kenderaan (IU) hari ini," katanya semasa bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Pengangkutan Darat dan Perkara-Perkara Lain di Parlimen pada Selasa (3 Feb).
Encik Siow berkata, pemasangan OBU diwajibkan bagi semua kenderaan berdaftar di Singapura, memandangkan ia menggunakan teknologi satelit, berbanding sistem gantri untuk menentukan lokasi kenderaan bagi tujuan tersebut.
Bagi kenderaan privet yang berdaftar di luar negara, LTA menggalak mereka untuk memasang OBU bagi bayaran berdasarkan penggunaan meskipun LTA sedia maklum bahawa para pelawat luar negara ini mungkin memilih untuk tidak berbuat demikian.
Kenderaan tanpa OBU boleh membayar yuran sama rata harian seperti kereta tanpa IU sekarang ini. Teksi Malaysia bagaimanapun dikehendaki memasang OBU kerana ini perlu untuk LTA memantau dan menguatkuasakan bayaran sedemikian bagi teksi dari Malaysia yang masuk ke Singapura.
Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), setakat sehingga 31 Januari, kira-kira 930,000 kenderaan di Singapura atau lebih 93 peratus telah memasang OBU berkenaan.
Dalam kenyataannya, LTA percaya ia berada di landasan yang betul untuk menyiapkan pemasangannya pada tahun ini.
"Bermula 15 Februari 2026, pemilik kenderaan yang telah dijemput untuk memasang OBU tetapi masih belum berbuat demikian akan menerima peringatan terakhir daripada LTA.
"Mereka akan diberikan tempoh tiga bulan dari tarikh peringatan terakhir dikeluarkan untuk memasang OBU secara percuma.
Selepas tempoh itu, mereka perlu membayar S$35 (RM109) untuk motosikal dan S$70 (RM216) bagi kenderaan lain untuk kos pemasangan," menurut kenyataan itu.
LTA turut memberi amaran supaya pihak yang tidak diberi kelulusan tidak menawarkan perkhidmatan berkaitan OBU seperti pemasangan, pembuatan, pengubahsuaian, pengalihan, pembaikan dan pengiklanan.
"Bagi kes serius melibatkan kegagalan pemasangan, pemalsuan atau perkhidmatan OBU tanpa kebenaran, undang-undang memperuntukkan denda sehingga S$20,000 atau hukuman penjara bagi tempoh tidak melebihi 12 bulan, atau kedua-duanya sekali," menurut LTA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.