Skip to main content

Singapura

Teksi berdaftar Malaysia perlu bayar S$15 bagi setiap perjalanan masuk SG mulai 2027

Anggaran Waktu Membaca:
Teksi berdaftar Malaysia perlu bayar S$15 bagi setiap perjalanan masuk SG mulai 2027

Penumpang menaiki teksi rentas sempadan di Terminal Ban San Street 4 Mei 2026. (Gambar fail: CNA/Mak Jia Kee)

Diterbitkan : 25 Jun 2026 01:15PM Dikemas Kini : 25 Jun 2026 01:16PM
SINGAPURA: Teksi berdaftar di Malaysia yang memasuki Singapura perlu membayar S$15 bagi setiap perjalanan mulai 1 Januari 2027, berbanding kadar semasa iaitu S$2 sebulan, menurut kenyataan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Khamis (25 Jun).

Pelarasan kepada yuran Permit Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSVP) ASEAN itu bertujuan untuk merapatkan jurang kos antara teksi berdaftar di Malaysia dengan teksi berdaftar di Singapura yang beroperasi di Singapura, jelas penguasa tersebut.

LTA mengeluarkan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSVL) dan PSVP ASEAN kepada teksi berdaftar di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan teksi rentas sempadan antara Singapura dengan Malaysia.

Hanya teksi berdaftar di Malaysia yang mempunyai PSVL dan PSVP yang sah sahaja dibenarkan menyediakan perkhidmatan sedemikian.

Yuran yang disemak semula ini dibuat menyusuli perubahan pada perkhidmatan teksi rentas sempadan antara Singapura dengan Malaysia yang mula berkuat kuasa pada 4 Mei lalu, yang membenarkan penumpang diturunkan di mana-mana sahaja di Singapura dan di seluruh Johor.

Skim yang dikemas kini itu turut memperkenalkan tempat mengambil penumpang tambahan yang ditetapkan di kedua-dua buah negara.

"Para penumpang dinasihatkan supaya hanya menggunakan teksi berlesen untuk perjalanan rentas sempadan kerana hanya kenderaan ini yang mempunyai perlindungan insurans yang sah," menurut LTA, sambil menambah bahawa kenderaan tanpa lesen tidak mempunyai insurans sewajarnya dan boleh menyebabkan penumpang tanpa sebarang pampasan jika terlibat dalam kemalangan.

"LTA akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap perkhidmatan pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat yang haram demi melindungi keselamatan penumpang dan mata pencarian pemandu berlesen," tambahnya.

Pada Mei lalu, seramai 14 orang ditangkap dalam operasi penguatkuasaan LTA terhadap perkhidmatan pengangkutan haram rentas sempadan.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita