Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Teks ucapan Bahasa Melayu PM Lee Hsien Loong sempena ulang tahun ke-40 MENDAKI

Anggaran Waktu Membaca:
Teks ucapan Bahasa Melayu PM Lee Hsien Loong sempena ulang tahun ke-40 MENDAKI

(Gambar: MCI)

Diterbitkan : 01 Oct 2022 07:38PM Dikemas Kini : 02 Oct 2022 09:10AM

Puan Zuraidah Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan MENDAKI, para tetamu terhormat, saudara-saudari sekalian.

Setinggi-tinggi tahniah kepada Yayasan MENDAKI sempena ulang tahun anda yang ke-40! Sememangnya, ini adalah satu titik pencapaian MENDAKI yang penting. Banyak yang boleh dibanggakan oleh seluruh warga kerja dan sukarelawan MENDAKI.

MENDAKI ditubuhkan 40 tahun lalu sebagai sebuah badan bantu diri. Ia memperjuangkan peranan penting pendidikan sebagai pemangkin kemajuan masyarakat. Para pengasas MENDAKI berpegang kuat kepada prinsip, “bersatu teguh, bercerai roboh”. Mereka menggembleng masyarakat supaya bekerjasama demi mencapai misi MENDAKI, dengan individu yang berjaya turun padang membantu yang lain.

Hari ini, keadaannya jauh lebih baik. Prestasi anak-anak Melayu/Islam kita semakin meningkat. Lihat sahaja bilangan Anugerah MENDAKI yang akan disampaikan nanti. Lebih daripada 400 pelajar akan menerima anugerah masing-masing tahun ini. Jumlah ini adalah satu lonjakan besar berbanding dengan hanya segelintir penerima apabila ia mula-mula diperkenalkan. Syabas kepada semua penerima!

Dengan tahap pendidikan yang lebih tinggi, lebih banyak peluang terbuka kepada masyarakat Melayu/Islam untuk dapatkan pekerjaan lebih baik dan lebih bermakna. Ini sekali gus membolehkan mereka membina kehidupan yang lebih makmur untuk diri sendiri dan keluarga masing-masing. Kadangkala, ada yang memandang remeh kejayaan-kejayaan ini dan menganggapnya mudah dicapai. Tetapi bagi mereka yang melalui jerih payah untuk mengecap kejayaan, mereka hargai betapa besarnya semua pencapaian ini.

MENDAKI memainkan peranan besar dalam kemajuan masyarakat Melayu/Islam. Dengan sokongan Pemerintah, ia terus melaksanakan pelbagai program untuk menyokong masyarakat. Bukan sahaja MENDAKI, malah badan-badan Melayu/Islam lain juga memainkan peranan masing-masing. Begitu juga ramai individu yang tampil menghulurkan bantuan. Ternyata, pendekatan bantu diri ini berjaya mendorong kemajuan masyarakat Melayu/Islam atas usaha anda sendiri dan membolehkan anda berasa bangga dengan apa yang dicapai.

Namun, walaupun masyarakat Melayu/Islam berjaya mencatat kemajuan besar, masih banyak lagi yang perlu diusahakan. Aspirasi dan keperluan masyarakat Melayu/Islam semakin berkembang. Tetapi pada masa yang sama, masih ada sekumpulan anggota masyarakat Melayu/Islam yang memerlukan bantuan tambahan. Kita mesti berusaha sedaya upaya untuk memastikan mereka tidak ketinggalan.

Saya yakin jika kita semua sama-sama berganding bahu, kita akan dapat saksikan kemajuan masyarakat Melayu/Islam yang jauh lebih hebat.

Sekali lagi, tahniah kepada MENDAKI!

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan