Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Teks penuh ucaptama Mufti Dr Nazirudin sempena majlis Sambutan Raya Asatizah bersama Mufti

Anggaran Waktu Membaca:
Teks penuh ucaptama Mufti Dr Nazirudin sempena majlis Sambutan Raya Asatizah bersama Mufti

Gambar: MUIS

Diterbitkan : 09 May 2023 12:13PM Dikemas Kini : 09 May 2023 06:20PM

Berikut ini teks penuh ucapan Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir di majlis Sambutan Raya Asatizah bersama Mufti pada Jumaat lalu (5 Mei) yang berjudul “Asatizah Cemerlang, Masyarakat Gemilang":

Yang dihormati, Al-Fadhil Ustaz Pasuni Maulan, Pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah

Al-Fadhil Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas)

Asatizah dan Ustazat yang dikasihi sekalian

Kain sutera bersulam bunga,
Satu anugerah buat teman,
Hari Raya mari bersama,
Kembali fitrah mengerti kesyukuran

Selamat Hari Raya kepada Asatizah sekalian. Izinkan saya mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan terima kasih kami kepada Asatizah sekalian di atas usaha mendidik umat Islam Singapura dengan baik, khusus di dalam membuat penyesuaian yang perlu untuk menangani cabarancabaran masakini.

Para Asatizah yang dihormati sekalian,

Al-Quran telah memberikan pelbagai gambaran dan perumpamaan bagi kehidupan di dunia ini. Seperti bumi yang segar apabila disirami air hujan kemudiannya layu semula, begitu juga seperti bahtera yang merentasi lautan yang bergelora yang menimbulkan perasaan takut lagi gerun, kemudiannya kembali tenang. Kesemuanya ini memberi peringatan tentang peralihan keadaan manusia, bahawa tiada yang berkekalan. Namun, yang amat kritikal saat diuji adalah prinsip dan nilai-nilai murni yang menjadi pegangan dan panduan.

Masyarakat kita telah banyak mengalami ujian. Memang tiada penghujungnya. Dalam ucapan Perdana Menteri baru-baru ini, beliau telah menggariskan banyak cabaran-cabaran besar yang akan dihadapi Singapura dengan keadaan geopolitik dan ekonomi dunia yang tidak menentu. Kehidupan beragama pasti juga akan terkesan di peringkat individu, keluarga, masyarakat dan negara. Oleh itu, kita harus selalu bersedia. Peranan Asatizah semakin menjadi lebih kritikal dalam mengemudi bahtera kehidupan beragama dalam suasana yang semakin mencabar lagi kompleks. Namun, peranan ini hanya dapat kita jayakan dengan baik jika kita terus membina kekuatan rohani dan membangunkan keupayaan intelek dan pemikiran kita.

Para Asatizah sebagai golongan yang terdidik dalam bidang agama seharusnya berada di barisan paling hadapan di dalam memahami kompleksiti dan kerumitan. Isu-isu yang dihadapi, khusus tatkala berlaku peralihan ataupun perubahan di dalam masyarakat, bukan isu-isu yang mudah. Ia terkait dengan pelbagai dimensi – ada dimensi akidah, akhlak, hukum fiqh, sosial, sejarah dan tradisi, sains dan teknologi, undang-undang, pemerintahan dan pentadbiran negara, antarabangsa dan sebagainya. Amanah ilmiah menuntut agar kita bincangkan dan pertimbangkan isu yang dihadapi dari pelbagai sudut sebelum kita mendidik dan mentarbiyah masyarakat. Kejelasan sesuatu hukum dalam kitab turath, ataupun turath Islam kita, adalah satu perkara. Aplikasi hukum dalam konteks semasa pula adalah satu perkara yang lain, dan interaksi hukum dengan pelbagai aspek kehidupan adalah satu perkara lain juga, kerana hukum tidak wujud dalam kekosongan, atau ia dibuat dari kenyataan semasa, ataupun ‘lived reality'. Dan inilah fiqh al-waqi’ (ilmu hal ehwal semasa) yang sering disebutkan oleh para ulama di zaman ini supaya kita fahami dengan baik.

Lihat sahaja kepada krisis pandemik yang lepas. Jika sewaktu kita mengalami pandemik, kita hanya memberi fokus kepada aspek hukum dan tradisi fiqh sahaja, tanpa mempertimbangkan aspek sains perubatan ataupun impak dan kesan sosial, pastinya kita akan tersilap, sebab fiqh tradisi tidak dibangunkan dalam suasana dan krisis serupa dengan apa yang kita hadapi. Persoalan-persoalan yang dihadapi adalah berbeza. Di antara pengajaran krisis tersebut adalah keindahan dan kesyumulan agama, bahawa ibadat tidak terpisah dari nilai dan prinsip sama sekali. Ada aspek kerohanian individu bersama Tuhannya, dan ada juga hak terhadap sesama makhluk.

Namun, keterbatasan pemahaman yang gagal menilai keterikatan isu dan waqi’, atau realiti semasa, yang akan menyebabkan kepincangan dalam kita menghidupkan ajaran agama. Sebagai contoh, semasa pandemik dan mungkin beberapa bulan yang lalu juga, langkah-langkah untuk memastikan keselamatan dan kerapian ibadat di dalam masjid disalahertikan oleh sebahagian orang sebagai penghalang ibadat. Bahkan, pegawai-pegawai masjid dan juga sukarelawan-sukarelawan di masjid sering dikutuk sebagai menghalang seseorang beribadat dan solat, dan kemudiannya ditakut-takutkan bahawa mereka akan menjawab di hadapan Allah s.w.t. Sama seperti skim ARS, yang disangkakan oleh sebahagian sebagai menyekat usaha-usaha dakwah, bukan mengemas kinikan dakwah kita. Kegagalan membezakan antara prinsip dan furu’iyat (isu-isu cabang), dan kesyumulan sesuatu isu dalam waqi’ (konteks) semasa, walau atas nama ibadat dan agama, boleh menimbulkan kesan jangka panjang pada kehidupan beragama dan sekitarannya. Jika, sebagai contoh, kita gagal memahami dan mengaplikasikan prinsip la dharar wa la dhirar (tidak boleh mudarat dan tidak boleh memudaratkan), kita akan menyebabkan kemudaratan yang menyentuh tujuan-tujuan syariah dan juga alam yang kita diamanah Allah s.w.t. untuk menguruskan. Adalah amat merbahaya tanggapan atau sikap sebahagian orang bahawa Islam tidak perlu kepada sistem, peraturan, kebersihan dan ketelusan. Kita bertanggungjawab memahami dan memahamkan masyarakat akan kesyumulan Islam ini dan juga pada masa yang sama, memahami roh tradisi keilmuan agama yang telah banyak diaplikasikan dalam perbincangan isu-isu ini dengan pelbagai sudut dan aspek.

Sememangnya cabaran masakini bukan hanya berkaitan menyampaikan asas-asas agama, tetapi bagaimana kita menterjemahkannya dalam suasana berbeza dan mencabar masakini. Inilah yang dimaksudkan dengan kompleksiti, kerumitan dan keterikatan. Sebagai Asatizah dan kepimpinan agama di negara kita Singapura, kita tidak akan dapat memberikan panduan serta mengatur visi yang baik lagi berkesan, sekiranya kita sendiri belum lagi mahir dan matang dalam mempertimbangkan segenap dimensi dan aspek yang berkaitan dengan isu-isu yang kita tangani.

Alhamdulillah, kita bersyukur para Asatizah di barisan hadapan amat memahami kerumitan serta kompleksiti isu-isu kepimpinan sebegini, di antaranya Pengerusi ARB, Ustaz Pasuni Maulan, Presiden Pergas dan juga anggota Jawatankuasa Fatwa, Ustaz Hasbi, dan mantan Pengerusi RRG dan anggota Fatwa, Al-Marhum Ustaz Hj Ali Mohamed. Di peringkat fatwa, mereka telah memainkan peranan yang amat kritikal, berkesan dan penuh dedikasi sehingga usaha mereka mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa melalui Ja’izah Imam al-Qarrafi. Asatizah mapan ini juga telah memainkan banyak peranan lain, termasuk mempelopori usaha RRG lebih dari 20 tahun dalam menangani ideologi pelampauan dan keganasan di Singapura.

Ini adalah kerana mereka amat masak dengan konteks kita di Singapura, dan mereka memahami serta menghargai kerumitan. Mereka tidak mudah melatah atau menjatuhkan sesuatu hukum. Mereka memikirkan sesuatu masalah dengan amat teliti, dan berani untuk membuat keputusan yang sukar dan mencari huraian yang mungkin tidak popular. Mereka juga tidak goyah pendirian, mudah berubah kerana tekanan dari pihak luaran atau sentimen masyarakat. Inilah ciri-ciri kepimpinan yang perlu kita lestarikan, terutama dalam mengharungi arus kehidupan yang amat mencabar lagi rencam masakini.

Saya amat menghargai, menghormati dan banyak belajar dari sikap keberanian dan keyakinan mereka berdiri di atas kaki sendiri, di dalam membimbing masyarakat dan mempertahankan pendekatan dan keputusan kita di Singapura. Bukan hanya mengikut orang lain kerana kita takut untuk membuat keputusan yang betul lagi baik buat masyarakat kita.

Lihat sahaja isu penentuan anak bulan (hilal) baik di bulan Ramadan atau pun Syawal. Ada yang mendesak, agar kita mengikuti penetapan negara lain, kerana itu disangkakan adalah lebih tepat atau dekat dengan kebenaran. Manhaj dan pendekatan kita di Singapura sering dianggap inferior dan dipersoalkan.

Imam Al-Subki yang merupakan Ulama’ kurun 8 Hijri menetapkan bahawa kiraan Hisab bersifat hampir kepada keyakinan (Qarīb Min Al-Yaqīn). Sehinggakan sekiranya seseorang mendakwa melihat anak bulan, akan tetapi kiraan hisab menetapkan sebaliknya, maka, beliau berpendapat bahawa penyaksian tersebut dipersoalkan. Dan inilah di antara warisan keilmuan kita yang kurang difahami, tetapi yang menjadi perbualan, perbincangan, bahkan menyebabkan kekeliruan adalah penetapan dari negara-negara lain yang sama juga dipersoalkan oleh pakar-pakar mereka. Sepanjang bulan Ramadan, Pejabat Mufti telah melancarkan siri pendidikan awam agar masyarakat lebih memahami isu-isu seperti ini berpandukan prinsip dan tujuan syariah kaedah-kaedah hukum dan memahami waqi’ (konteks) kita di Singapura, dan bukan hanya mengikut dakwaan-dakwaan yang tidak berasas.

Satu lagi contoh isu yang amat kompleks adalah isu-isu berkaitan LGBT. Pada tahun lepas, Pejabat Mufti telah mengeluarkan panduan (Irsyad) berkaitan isu ini, dengan menegaskan dengan jelas hukum agama mengenai gaya kehidupan homseksualiti. Pejabat Mufti pun telah memberikan panduan pada pendekatan yang harus diambil dalam menangani isu seksualiti dalam konteks Singapura. Irsyad ini dihasilkan setelah Pejabat Mufti berbincang dengan ramai Asatizah dalam banyak sesisesi perbincangan. Setelah dikeluarkan irsyad ini, Pejabat Mufti pun terus memberikan taklimat dan berbincang dengan lebih daripada 200 Asatizah dan termasuk beberapa program-program CPE. Lalu perbincangan selanjutnya dan sehingga ke hari ini, kumpulan asatizah masih terus memikirkan isu ini dari pelbagai sudut dan sedang mengatur langkahlangkah selanjutnya. Ini termasuk bagaimana kita dapat menasihati dan membimbing golongan LGBT yang berhadapan dengan ujian ini, dan keluarga mereka. Bagaimana kita juga berhadapan dengan golongan aktivis dan mendidik masyarakat juga adalah antara perkara-perkar yang dibincang dengan sirius. Muis giat bekerjasama dan berbincang dengan para Asatizah di Pergas kerana matlamatnya sama.

Walapun kita semua jelas dari hukum dan prinsip agama dalam hal ini, para Asatizah yang terlibat dalam semua perbincangan akur betapa rumit isu ini, dari sudut cara untuk mendekati dan menasihati golongan-golongan yang diuji yang masih ingin melalui kehidupan dan amalan agama yang baik, yang menghadapi konflik dalam jiwa mereka sendiri. Pandangan yang serupa, iaitu apakah cara dan pendekatan yang boleh diambil di dalam menangani perubahan sosial berkaitan LGBT di Singapura, ditekankan sekali lagi dalam satu temuramah yang disiarkan baru-baru ini. Malangnya, ada sebahagian yang membataskan peranan saya sebagai seorang Mufti hanya untuk menyatakan hukum agama sahaja, seolah-olah masalah hukum masih kabur, dan itu satu-satunya jalan penyelesaian. Begitupun, saya sendiri telah menyebutkan isu hukum apabila ditanya, dan juga bersama dengan Pejabat Mufti kami menyatakan dengan jelas di dalam Irsyad bahawa Islam melarang segala bentuk hubungan seksual selain dari suami dan isteri yang sah, termasuk semua jenis hubungan homoseksual.

Dari sudut hukum, ia jelas bagi kami, sejelas siang dan malam. Namun, yang bukan hitam atau putih bukan hukumnya, tetapi dalam cara dan pendekatan menangani pelbagai isu-isu sosial berkaitan LGBT ini di dalam masyarakat dan negara kita. Ada yang melontarkan tuduhan bahawa mufti yang seharusnya menyampaikan Al-Quran kepada umat Islam cuai dan menyembunyikan ajaran Al-Quran itu sendiri. Tetapi izinkan saya bertanya kepada Asatizah yang lebih arif sekalian, apakah isi kandung Al-Quran serta manhaj dakwahnya? Apakah nilai-nilai Al-Quran yang mencorakkan usaha dakwah kita dalam masyarakat yang bebas melakukan apa yang mereka inginkan?

Ada yang masih mendesak agar kita tegas dan harus melaungkan sekuat-kuatnya hukum haram homoseksualiti. Bagi saya dan teman-teman Asatizah yang berbincang sama, jika Allah S.W.T. berpesan kepada Nabi Musa A.S. dan Nabi Haron A.S. untuk berbicara dengan Fir’aun yang mengaku dirinya tuhan, dengan cara lembut, apatah lagi perbicaraan dan dakwah kita kepada individu yang sedang merana jiwanya dengan keimanan dan agama yang mereka akur bercanggah dengan keinginan atau identiti seksualitinya. Begitu juga teguran Rasulullah S.A.W. kepada para sahabat yang meminta Allah S.W.T. melaknati seorang dari mereka yang kuat meminum arak, kerana Baginda menyifatkan beliau seorang yang cinta kepada Allah S.W.T. dan RasulNya.

Ada yang menyangkakan para Sahabat seperti Sayyidina ‘Umar r.a. amat tegas, seolah-olah beliau hanya memilih jalan yang keras dalam melaksanakan hukum Tuhan. Lantas, mereka berhujaj kita wajar mencontohi beliau dalam menangani gejala-gejala sosial. Tetapi kita perlu melihat keilmuan, kepimpinan dan kebijaksanaan Sayyidana ‘Umar secara keseluruhan. Sebab Sayyidina ‘Umar juga adalah seorang pemimpin yang faqih, yang memahami dan mempertimbangkan kerumitan dan kompleksiti di dalam mengaplikasikan sesuatu hukum. Beliau dan para pemimpin di kalangan sahabat mengiktibarkan maqasid. Beliau pernah tidak membenarkan membuang orang yang berzina dari tempat tinggalnya, kerana ditakuti akan bercampur ia dengan golongan kuffar lantas terkesan dengan kekufuran. Begitu juga Sayyidina ‘Ali mengatakan, cukuplah pembuangan itu satu fitnah.

Oleh itu, pendekatan dakwah masakini adalah sesuatu yang perlu kita kemaskinikan dan perhalusi. Saya amat khuatir jika kita sebagai Asatizah gagal memahami menerima kerumitan dan kompleksiti, sebab banyak cabaran-cabaran lain amat rumit lagi kompleks menanti kita. Di antaranya isu alam sekitaran dan pemanasan global, isu kos kehidupan dan impaknya ke atas keluarga, Artificial Intelligence, biomedikal perubatan, makanan baru dan sebagainya. Jika Asatizah ingin laungkan hukum sahaja, ChatGPT jauh lebih berkesan hari ini. Kerana itu, hanya dengan mengukuhkan kerohanian dan membina intelek dan pemikiran, barulah kita dapat memupuk keyakinan dalam hidup beragama untuk mengatasi isu-isu yang mencabar ini.

Sebagai persiapan lanjut, isu-isu mencabar ini sudah mula dikaji di dalam Program Kajian dalam Penyelidikan Masyarakat Islam Gemilang (RPCS). Muis amat mengalu-alukan para asatizah untuk menyertai program kajian ini sebagai zamil. Alhamdulillah, sejauh ini, program baru ini sudah mempunyai 9 zamil kajian.

Di dalam suasana yang semakin mencabar ini, kita perlu memastikan bahawa institusi-intitusi keagamaan kita kekal terpelihara dan dipertahankan, bahkan diperkukuhkan lagi. Institusi Asatizah adalah di antara institusi terpenting masyarakat kita. Dalam banyak pertemuan saya dengan kepimpinan negara, saya sendiri selalu menyuarakan kepentingan peranan yang dimainkan oleh para asatizah di Singapura, bahawa ia amat berbeza dari golongan agamawan di negara-negara lain. Oleh itu, ia perlu disokong dengan baik dan terus dibangunkan.

Pihak Muis akan terus berusaha memperkasakan institusi Asatizah. Banyak inisiatif yang sedang diusahakan. Bagi latihan para Asatizah, Muis bersama Pergas membangunkan banyak program CPE yang membantu para Asatizah untuk memahami dan memikirkan isu-isu baru dan mencabar dengan segala kerumitan dan keterikatan dan kompleksitinya. Isu gaji asatizah juga sedang giat dibincangkan dan dinilai kembali melalui pelbagai platform demi mencari panduan terbaik dan adil.

Saya juga akur bahawa Pejabat Mufti dan institusi fatwa juga perlu diperkukuhkan di dalam menangani isu-isu yang amat rumit lagi mencabar. Alhamdulillah, Jawatankuasa Fatwa hari ini dianggotai oleh 28 Asatizah dari pelbagai latarbelakang. Sememangnya ada risiko bagi angka yang besar bagi sesuatu jawatankuasa, tetapi ia perlu demi memastikan segala isu yang dibincangkan adalah teliti dan mengambilkira pelbagai sudutnya.

Saya amat mengharapkan agar para asatizah sekalian juga bekerjasama rapat dalam memperkasakan institusi asatizah di Singapura. Saya berasa teruja dengan kesungguhan para asatizah kita di dalam mempertingkatkan pendidikan dan kelayakan masing-masing. Di antara mereka yang baru-baru ini melengkapkan PhD adalah Ustazah Dr Siti Nur 'Alaniah Binte Abdul Wahid, Ustaz Dr Mohammad Yusri Yubhi Bin Md Yusoff, dan Ustaz Dr Izal Mustafa. Tahniah juga kepada Ustaz Irwan Hadi kerana beliau telah melengkapkan pengajian possiswazah undang-undang (Juris Doctor), di mana beliau adalah Ustaz yang pertama di Singapura yang mempunyai kelayakan guaman yang sempurna, di mana beliau juga boleh menjadi seorang peguam. Kini, beliau bertugas di Mahkamah Syariah Singapura. Di pentas antarabangsa, para asatizah kita juga telah mengharumkan nama negara dan masyarakat seperti Qari kita, Ustaz Muhammad Sadid Abdul Latiff, dan Ustazah Widadul Wahidah Mahamod dalam membuat pencapaian yang amat baik di peringkat tilawah Al-Quran antarabangsa. Di kalangan Asatizah mapan kita juga ada yang terus meningkatkan kemahiran dan kelayakan mereka sambil terus berdakwah. Ustaz Dr Murat Mohd Aris baru-baru ini melengkapi PhD beliau dalam sosiologi Islam. Ustaz Dr Iskandar Abdullah juga terus meningkatkan kemahiran di dalam bidang bahasa Arab dan Al-Quran. Ilmu dan keazaman beliau telah banyak saya sendiri pelajari dahulu. Tahniah saya ucapkan kepada Asatizah kita yang terus mempertingkatkan ilmu dan kemahiran mereka.

Pada masa yang sama, marilah kita mempertingkatkan tahap profesionalisma dan disiplin yang telah para asatizah tunjukkan, dan terulsah bersama kami di dalam memikirkan solusi yang baik bagi setiap permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat kita.

Wa billahit Taufiq wal hidayah, wassalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan