Skip to main content

Singapura

Teks pameran kebaya disunting 'bagi mencerminkan warisan berbilang budaya', kata Muzium Peranakan

Anggaran Waktu Membaca:
Teks pameran kebaya disunting 'bagi mencerminkan warisan berbilang budaya', kata Muzium Peranakan

Gambar: Facebook/Peranakan Museum Singapore, Haider Surya Sahle

SINGAPURA: Muzium Peranakan Singapura pada Jumaat (22 Sep) mempertahankan semakannya pada panel teks pengenalan bagi pameran kebaya, dengan menyatakan bahawa ia dilakukan untuk mencerminkan "warisan berbilang budaya" pakaian itu.

"Kami tidak pernah berniat untuk memperkecilkan pengaruh dunia Melayu-Indonesia pada sejarah kebaya apabila kami menyunting teks tersebut," kata seorang jurucakap sambil menambah bahawa "sukar untuk membuktikan dengan pasti asal usul kebaya".
Pameran tersebut, yang berjudul "Her Kebaya", menarik perhatian masyarakat siber selepas seorang pengguna Facebook ternampak teksnya sudah diubah apabila dia melawat kali kedua pada 15 Sep, berbanding pertama kali melihatnya pada 1 Jul.

Satu klausa yang menggambarkan kebaya sebagai "berakar dalam fesyen tradisional dunia Melayu-Indonesia" sudah ditukar kepada "satu bentuk fesyen dan pakaian dengan sejarah yang panjang".

Klausa seterusnya juga telah diubah, daripada menggelar kebaya sebagai "bahagian penting dalam warisan Melayu dan bandar pelabuhan Singapura" kepada "bahagian penting dalam warisan bandar pelabuhan Singapura".

Semasa menjawab pertanyaan Mediacorp, Muzium Peranakan mengesahkan bahawa perubahan-perubahan tersebut telah dibuat pada 15 September, dan dilakukan hanya pada panel pengenalan - yang "seharusnya disaksikan bersama kapsyen yang disertakan bagi pameran itu, yang mengiktiraf pengaruh dunia Melayu-Indonesia pada kebaya".

Menyifatkan pameran itu sebagai mempersembahkan kebaya dari Asia Tenggara dan "kepelbagaian pemakainya", jurucakap muzium itu merujuk kepada "pelbagai teori" mengenai asal usul pakaian itu, yang mempunyai "sejarah yang panjang dan peredaran luas di rantau ini".

"Proses budaya mencampurkan, meminjam, menyesuaikan dan berinovasi biasanya tidak didokumentasikan dengan baik untuk sesuatu yang mempunyai sejarah yang panjang," tambahnya.

"Tanpa kepastian ini, dan sambil menghargai bahawa banyak masyarakat memakai kebaya, serta mengiktiraf pandangan akademik, pihak muzium sentiasa mengetengahkan perspektif kebaya yang lebih luas dan berbilang budaya."
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita