Teknologi terbukti jadi kunci utama dalam kerja binaan Changi East
Sekitar 90 peratus daripada kerja peningkatan tanah bagi projek pembangunan Changi East sudah selesai dijalankan.
SINGAPURA: Sekitar 90 peratus daripada kerja peningkatan tanah bagi projek pembangunan Changi East sudah selesai dijalankan.
Kawasan itu akan menjadi satu lagi hab penerbangan utama di negara ini, termasuk Terminal 5 Lapangan Terbang Changi.
Kementerian Pengangkutan (MOT) menyatakan kerja-kerja yang sudah selesai dilakukan itu termasuklah mengukuhkan tanah tambak bagi menyokong prasarana yang dirancangkan. Aspek teknologi memainkan peranan utama dalam pembinaannya.
Kerja-kerja binaan di kompleks Changi East amat dekat dengan Landasan Penerbangan 2 Lapangan Terbang Changi.
Malahan, papan-papan merah putih disediakan bagi menandakan zon larangan bagi para pekerja. Memandangkan jarak yang begitu dekat, adalah penting untuk memastikan keselamatan para pekerja.
Para perancang pembangunan juga perlu memastikan agar peralatan binaan serta proses kerjanya tidak mengganggu kegiatan penerbangan. Buat masa ini, kira-kira 3,000 pekerja dan 700 kenderaan beroperasi di tapak projek Changi East yang seluas Lapangan Terbang Changi.
Teknologi digunakan bagi membantu para perancangnya memantau semua urusan kerja projek itu kerana saiznya yang besar dan rumit. Misalnya, mereka sudah mengubah suai sebuah papan putih untuk menjadi peta digital bagi projek-projek yang sedang dijalankan.
Setiap orang dan kenderaan juga dipaparkan dalam masa nyata, dengan bantuan teknologi transponder.
Salah satu sistem juga digunakan bagi membantu memastikan peralatannya berada dalam had ketinggian yang dibenarkan.
Bagi membina landasan penerbangan ketiga, landasan bagi pesawat tentera perlu dipanjangkan bagi menampung pesawat-pesawat komersil.
Selain itu, kerja-kerja saliran juga sedang dilakukan bagi melindungi Changi East daripada kesan perubahan iklim seperti banjir.
Apabila siap kelak, empat sistem terusan sepanjang 10 kilometer dan sebahagian daripadanya akan mempunyai garis pusat selebar 40 meter.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.