Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Teknologi QR untuk pesan hidangan bufet bantu restoran hotel atasi pembaziran makanan

Anggaran Waktu Membaca:
Teknologi QR untuk pesan hidangan bufet bantu restoran hotel atasi pembaziran makanan

Teknologi QR diterapkan untuk pesan hidangan bufet bantu kurangkan pembaziran makanan

BERITAmediacorp: Bufet Ramadan sering menjadi pilihan untuk berbuka puasa bersama teman dan keluarga walaupun ia antara penyumbang terbesar kepada pembaziran makanan. 

Untuk mengatasi isu ini, restoran Peppermint di Hotel Parkroyal Collections Marina Bay menerapkan teknologi QR untuk tetamu memesan hidangan bufet.

Menurut Pengurus Penjualan F&B Parkoyal Collection Marina Bay, Aisha Norwie, pihak hotel dapat menurunkan pembaziran makanan kepada lima peratus daripada 10 peratus sebelumnnya bagi setiap meja. 

Sesetengah hidangan juga hanya akan disediakan dan dimasak oleh Cef setelah pesanan diterima untuk mengelakkan pembaziran makanan.

“Ia telah membantu setiap meja menganggar seberapa banyak makanan yang mereka boleh ambil. Kerana setiap porsi yang dihidangkan kepada tetamu adalah yang kecil, tidak seperti mana yang sebelumnya,” menurut Cik Aisha.

Cik Aisha akur pembaziran makanan turut meningkat sewaktu Ramadan, terutamanya ketika pengunjung restoran dapat mengambil hidangan bufet sendiri. 

“Ia meningkat sebanyak 18 hingga 20 peratus pada bulan Ramadhan. Mereka ambil sesuka hati tanpa mengira berapa banyak makanan itu yang mereka boleh makan,” jelasnya. 

Sejak membuka semula pintunya pada akhir 2020, Hotel Parkroyal Collection Marina Bay komited untuk mengekalkan kemampanan dan sifar pembaziran makanan.

Teknologi QR diterapkan untuk pesan hidangan bufet bantu kurangkan pembaziran makanan

Setiap apa yang di masak atau apa saja bahan yang digunakan di dalam restoran- restorannya tidak akan dibuang. 

Hotel itu memastikan bahawa setiap makanan yang dibuang di restorannya akan menjalani proses pengomposan bagi dijadikan sumber baja untuk semua tanaman.
 
Cik Aisyah menjelaskan: “Bagi setiap sisa makanan seperti daun-daun yang dah kering, kami akan menjadikan dia seperti baja untuk ditanam semula ke dalam ladang kami. Dan juga untuk serbuk kopi yang telah digunakan.”

Hasil daripada ladang Urban Farm membekalkan 20 peratus bahan-bahan masakan di restoran-restoran Hotel Parkroyal Collection Marina Bay

Untuk memastikan kemampanan makanan, hotel itu turut mempunyai ladang Urban Farm. 

Sekitar 60 jenis herba, sayur-sayuran, buah-buah dan bunga yang boleh dimakan ditanam bagi kegunaan di restoran-restoran dan spa di hotel itu.

Menerapkan konsep dari ladang ke meja makan, restorannya, hasil daripada Urban Farm membekalkan 20 peratus bahan-bahan yang digunakan dalam masakan di restoran-restorannya.
 
“Setiap menu akan dirancang dua atau tiga bulan sebelum promosi menu itu akan diadakan. Kami akan menanam bahan-bahan atau sayur-sayuran yang kami gunakan pada dua atau tiga bulan sebelum tempoh promosi itu. Jadi itu salah satu yang dapat membantu daripada membazir,” 

“Kita menggunakan 72 peratus daripada bahan tanaman kami. Setiap pagi, cef akan pergi ke ladang kami untuk mengambil sayur-sayuran yang sudah boleh dimasak,” tambahya. 
 
Menurut perangkaan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Singapura menjana 665,000 tan sisa makanan pada 2020. 
 
Sisa makanan merupakan antara aliran sampah terbesar di Singapura. Jumlah pembaziran makanan di Singapura telah meningkat sekitar 20 peratus sejak 10 tahun. 
 
Sungguhpun bufet menyumbang kepada pembaziran makanan, dengan pengurusan beretika ia dapat dikurangkan.

“Ia seperti satu proses putaran.  Apa yang dihidangkan di pinggan, itulah makanan yang kita ambil daripada ladang kami. Dan apa yang daripada ladang kami, itulah yang makanan yang dibuang daripada tong sampah anda setiap hari. Ia dikitar semula untuk menjadi baja, menjadi sayuran, menjadi pokok-pokok atau tanaman,” jelasnya lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan