Teknologi, inovasi bantu pertingkat jaminan bekalan makanan S'pura
Teknologi dan inovasi memainkan peranan penting dalam meningkatkan jaminan bekalan makanan di Singapura.

Tempat penternakan ikan di Singapura. (Gambar: Afifah Ariffin)
SINGAPURA: Teknologi dan inovasi memainkan peranan penting dalam meningkatkan jaminan bekalan makanan di Singapura.
Kita di Singapura mengimport lebih 90 peratus daripada bekalan makanan dari sekurang-kurangnya 170 negara dan wilayah.
Memandangkan sebahagian besar makanan kita diimport, maka penting untuk meningkatkan pengeluaran tempatan agar kita kurang bergantung kepada negara-negara lain.
Singapura telah menetapkan sasaran '30 x 30' iaitu menghasilkan sendiri 30 peratus daripada keperluan makanannya menjelang tahun 2030.
Namun dengan hanya satu peratus daripada tanah di Singapura untuk kegiatan pertanian dan ternakan, para pengusahanya perlu menggunakan teknologi dan cara inovatif bagi meningkatkan penghasilan.
Menurut data yang dikumpul oleh Agensi Makanan Singapura (SFA), ladang-ladang ternakan ayam di sini menghasilkan 528 juta telur yang hanya memenuhi 26 peratus keperluan tempatan pada 2019.
Sayur pula sebanyak 12,684 tan manakala ikan 4,693 tan.
Pada tahun itu, ada 220 ladang tetapi jumlahnya sudah meningkat kepada 238 tahun lalu.
Pelbagai pembiayaan turut disediakan bagi membantu syarikat-syarikat perusahaan pertanian meningkatkan keupayaannya.
Malah baru-baru ini, bantuan diumumkan bagi syarikat-syarikat teknologi makanan di Asia.
Pada awal minggu ini juga, syarikat Growthwell membuka sebuah kilang teknologi makanan yang dipercayai boleh menghasilkan antara 4,000 hingga 5,000 tan daging daripada tumbuh-tumbuhan setiap tahun.
Dengan perkembangan teknologi seperti itu, mungkin ada satu lagi kebaikan iaitu lebih banyak peluang kerjaya dalam sektor agromakanan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.