Teknologi digital, keselamatan makanan antara bidang terima lebih suntikan dana R&D
Menyusuli semakan separuh penggal ke atas rancangan lima tahun sains dan teknologi, Singapura akan menyuntik lebih banyak dana untuk meningkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam tiga bidang utama, iaitu teknologi digital, penghasilan terapi sel dan keselamatan makanan.
SINGAPURA: Menyusuli semakan separuh penggal ke atas rancangan lima tahun sains dan teknologi, Singapura akan menyuntik lebih banyak dana untuk meningkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam tiga bidang utama, iaitu teknologi digital, penghasilan terapi sel dan keselamatan makanan.
Pelaburan tambahan ini akan menyambung "perkembangan baik" yang dibuat di bawah Pelan Kajian, Inovasi dan Keusahawanan 2020 (RIE2020) - satu daya usaha bernilai S$19 bilion dilancarkan pada awal 2016. Demikian menurut Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF) dalam kenyataan media pada Rabu (27 Mac).
Bercakap di sidang media selepas mesyuarat bersama Majlis Kajian, Inovasi dan Keusahawanan (RIEC), Perdana Menteri Lee Hsien loong berkata unsur-unsur kajian, inovasi dan keusahawanan adalah genting bagi kemajuan Singapura.
"Kita mesti dan akan terus melabur dalam sains, teknologi dan inovasi dengan cara yang seimbang, kekal dan mampan. Ini supaya dapat memastikan Singapura kekal berdaya saing dan relevan di persada global dan membuka laluan bagi peluang menarik bagi ekonomi masa depan kita," kata Perdana Menteri.
MELABUR DALAM PERTUMBUHAN MASA DEPAN
Berhubung semakan separuh penggal RIE2020, Encik Lee yang juga merupakan pengerusi RIEC, menambah: "Kami mengesahkan berada pada landasan yang betul, namun kami sedang menajamkan tumpuan dan membuat penyesuaian untuk mencantikkan lagi rancangan."
Demi memastikan Singapura tidak ketinggalan dalam revolusi digital, Pemerintah akan membuat pelaburan tambahan bernilai S$500 juta di bawah pelan RIE2020 untuk memperkukuh kemahiran setempat berhubung teknologi digital dan automasi.
Antara lain, S$200 juta akan diperuntuk bagi meningkatkan keupayaan komputer berpestasi tinggi (supercomputing), manakala S$41 juta akan diperuntuk kepada Program Robotik Nasional untuk mengerahkan lebih banyak teknologi robotik.
Satu lagi bidang yang akan mendapat suntikan tambahan adalah terapi sel - sejenis terapi di mana sel hidup disuntik ke dalam pesakit untuk melawan barah atau membolehkan pemulihan tisu atau fungsi organ.
Dengan melaburkan lagi S$80 juta, Singapura berharap untuk mengatasi cabaran-cabaran sedia ada dalam menghasilkan terapi sel.
Selaras dengan sasaran penghasilan 30 peratus keperluan pemakanan negara menjelang 2030, sekitar S$144 juta akan diperuntukkan di bawah pelan RIE2020 bagi kerja-kerja R&D dalam bidang penghasilan makanan bandar secara mampan, makanan masa depan, serta inovasi dan sains keselamatan makanan.
Untuk melengkapi langkah ini, dua Pusat Inovasi yang menumpukan pada akuakultur dan tenaga akan masing-masing ditubuhkan di Politeknik Temasek dan Universiti Teknologi Nanyang pada Jun dan April.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.