Skip to main content

Singapura

Teknologi baru teras Pesta Pembelajaran di Hab Tampines Kita hujung minggu ini

Bulan Raikan Ilmu yang dianjurkan Yayasan MENDAKI buat kali pertama, menutup tirainya hujung minggu ini dengan acara Pesta Pembelajaran di Hab Tampines Kita.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bulan Raikan Ilmu yang dianjurkan Yayasan MENDAKI buat kali pertama, menutup tirainya hujung minggu ini dengan acara Pesta Pembelajaran di Hab Tampines Kita.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MENDAKI, Rahayu Buang, berkongsi bahawa pelbagai kegiatan berteraskan teknologi baru akan ditawarkan di acara tersebut.

Sebagai salah satu rakan kerja Bulan Raikan Ilmu, BERITAmediacorp ikut serta Pesta itu demi menyokong kempen membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.

LEBIH 60 GERAI MERIAHKAN PESTA PEMBELAJARAN

Lebih 60 gerai disediakan di Pesta Pembelajaran di Hab Tampines Kita hujung minggu ini, menawarkan pelbagai kegiatan pembelajaran bagi setiap lapisan masyarakat.

Cik Rahayu menarik perhatian teknologi-teknologi baru menjadi teras acara penutup tirai Bulan Raikan Ilmu itu.

Related article image

Ini termasuk di kawasan kanak-kanak Playfest yang bertujuan mencetus daya kreativiti kanak-kanak serta menggalak pembelajaran menerusi permainan.

Related article image

"Kami juga menyediakan aktiviti-aktiviti menggunakan teknologi baru seperti realiti tambahan (AR) untuk membangunkan lagi daya kreativiti dan literasi anak-anak sebab anak-anak kita di masa hadapan akan belajar menggunakan pelbagai kaedah teknologi," kata Cik Rahayu.

FORUM DIGITAL BINCANGKAN CARA PEMBELAJARAN MASA DEPAN

Malah, ibu bapa yang menemani anak mereka juga tidak ketinggalan.

Forum Digital khusus buat golongan dewasa akan mengetengahkan cara-cara baru pembelajaran boleh dilakukan.

Ini termasuk mempelajari bagaimana sekolah-sekolah menyulamkan teknologi ke dalam kurikulum dan meneroka teknologi yang disediakan bagi para tutor.

Forum tersebut akan berlangsung pada Ahad ini dari 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

BANTU BELIA TANGANI, BANGUNKAN KEMAHIRAN MASA DEPAN

Bagi golongan belia pula, lebih 10 gerai diperuntukkan untuk membantu mereka membuat persediaan masa depan atau 'Future Readiness'.

Mereka bukan sahaja dapat membangunkan kemahiran relevan buat abad ke-21 dan terdedah kepada teknologi baru, malah berpeluang meneroka landskap kerja masa depan serta laluan pekerjaan baru yang kian membangun.

Related article image

Cik Rahayu berkongsi tentang peranan BERITAmediacorp sebagai rakan kerja: "Pelibatan BERITA amat penting kerana dengan BERITA menyebarkan lagi mesej ini, ini adalah sesuatu yang penting dalam masyarakat kita yang patut kita teruskan bukan sahaja dalam Pesta Pembelajaran atau dalam Bulan Raikan Ilmu tetapi sesuatu yang kita budayakan sepanjang hayat kita."

Pesta Pembelajaran di Hab Tampines Kita berlangsung dari 10.00 pagi hingga 8.00 malam pada Sabtu dan Ahad (2 dan 3 Nov) ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita