Skip to main content

Singapura

Teknologi, AI jadikan kita semakin 'tergesa-gesa' membaca? Pakar bimbang kesannya terhadap pemikiran kritis

Ada pelajar sekolah menengah yang begitu tergesa-gesa menjawab soalan Matematik sehingga mereka melangkau perkataan atau mula membuat pengiraan sebelum selesai membaca soalan.

Anggaran Waktu Membaca:
Teknologi, AI jadikan kita semakin 'tergesa-gesa' membaca? Pakar bimbang kesannya terhadap pemikiran kritis

Telefon menyediakan akses mudah kepada maklumat dan hiburan tanpa henti, namun pakar berkata membaca secara berterusan memerlukan tahap tumpuan yang berbeza. (Gambar: CNA/Ili Mansor)

Diterbitkan : 19 Sep 2026 09:52AM
  • Keputusan PISA 2025 menunjukkan pelajar Singapura masih mendahului bacaan, tetapi skor merosot, selari trend global yang dianggap OECD membimbangkan.
  • Guru seperti Julian Teo, Jennifer dan Kelvin Hong melihat lebih ramai pelajar tergesa-gesa membaca, melangkau teks dan sukar memahami hujah panjang.
  • Pakar NTU dan NIE berkata media sosial, notifikasi dan AI boleh memecah tumpuan serta menggalakkan pelajar menyerahkan proses berfikir kepada teknologi.
  • MOE menekankan penggunaan AI bertahap dan terkawal, sementara sekolah, ibu bapa dan pelajar digalak membina semula bacaan mendalam serta pemikiran kritis.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Ada pelajar sekolah menengah yang begitu tergesa-gesa menjawab soalan Matematik sehingga mereka melangkau perkataan atau mula membuat pengiraan sebelum selesai membaca soalan.

Guru Matematik Julian Teo, 48 tahun, berkata beliau semakin kerap melihat tabiat tersebut dalam kalangan pelajarnya sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, sebahagian pelajar menghadapi kesukaran memahami teks panjang kerana kurang membaca buku, artikel atau bahan bacaan yang panjang.

Keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 menunjukkan pengalaman Encik Teo bukan sesuatu yang terpencil.

Meskipun pelajar Singapura berusia 15 tahun kekal di tangga pertama bagi membaca, purata skor negara merosot lapan mata daripada 543 pada 2022 kepada 535 pada 2025.

Trend serupa berlaku di peringkat global.

Dalam kalangan 760,000 pelajar berusia 15 tahun dari 91 negara, purata skor membaca merosot daripada 476 pada 2022 kepada 461 pada 2025.

Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), yang menjalankan ujian PISA setiap tiga tahun, menyifatkan trend itu sebagai membimbangkan kerana kemahiran membaca menjadi asas pembelajaran dan penting untuk mencari, menilai, mentafsir serta memahami maklumat dalam dunia yang semakin digital.

Malah, jumlah pelajar yang disifatkan sebagai "hasty readers" - iaitu mereka yang membaca secara tergesa-gesa dan memberikan jawapan pantas tetapi salah - hampir berganda antara 2018 hingga 2025.

TEKNOLOGI PECAHKAN TUMPUAN

Kajian turut menimbulkan kebimbangan tentang kesan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan tabiat digital terhadap pembelajaran dan tumpuan.

Satu kajian melibatkan 583 individu berusia antara 13 tahun hingga 25 tahun di Singapura dan Australia mendapati 68 peratus menghadapi kesukaran untuk memberikan tumpuan.

Sebanyak 52 peratus pula mengaku sering terganggu oleh media sosial semasa berada di dalam kelas.

Profesor Annabel Chen, pakar neuropsikologi klinikal dan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan dalam Pembelajaran di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), berkata persekitaran digital boleh memecahkan tumpuan seseorang.

Notifikasi, pertukaran tugas secara pantas dan pelbagai maklumat digital yang bersaing untuk mendapatkan perhatian boleh mengganggu keupayaan seseorang untuk memberikan tumpuan kepada satu perkara bagi tempoh yang panjang.

Persekitaran digital juga membiasakan pengguna mengimbas kandungan, membuka pautan dan mendapatkan maklumat dengan pantas.

Enjin carian dan AI generatif (GenAI) pula boleh mengurangkan keperluan seseorang untuk mencari, menggabungkan, merumus dan menilai sendiri maklumat.

Apabila tugas tersebut diserahkan kepada teknologi, sebahagian proses berfikir turut "diserahkan" kepada alat itu - satu amalan yang dikenali sebagai "cognitive offloading".

Menurut Profesor Chen, ia tidak semestinya membawa kesan buruk dan boleh mengurangkan beban terhadap daya ingatan.

Namun, terlalu bergantung kepada teknologi boleh mengurangkan peluang seseorang melatih proses pemikiran yang diperlukan untuk membina pengetahuan dan pemahaman yang berkekalan.
Related article image
Akses mudah kepada maklumat tidak semestinya bermakna seseorang benar-benar memahaminya, terutama apabila kandungan hanya dibaca sepintas lalu. (Gambar: CNA/Ili Mansor)
Membaca penjelasan yang dijana AI dan kelihatan lancar juga boleh menimbulkan tanggapan bahawa seseorang sudah memahami sesuatu perkara, meskipun pemahamannya sebenarnya masih cetek.

Risiko itu lebih ketara apabila pelajar menerima rumusan atau jawapan AI tanpa menyemak sumber atau cuba memahami sendiri hujah yang dikemukakan.

PELAJAR SEMAKIN KURANG SABAR MEMBACA?

Para pendidik yang ditemui CNA TODAY berkata mereka melihat semakin ramai pelajar menghadapi kesukaran memberikan tumpuan dan memahami teks.

Seorang guru Bahasa Inggeris sekolah rendah atasan, yang hanya mahu dikenali sebagai Jennifer, berkata sebahagian murid berusia 11 tahun dan 12 tahun membaca petikan dengan begitu pantas sehingga melangkau perkataan.

Apabila ditanya mengenai tabiat membaca di luar sekolah, kebanyakan muridnya berkata mereka tidak membaca buku, sebaliknya menonton video online atau bermain permainan.

Ada juga yang mengaku melangkau beberapa bab buku untuk terus membaca kesudahannya supaya mereka boleh beralih kepada aktiviti lain yang dianggap lebih menyeronokkan.

Trend serupa turut diperhatikan dalam kalangan pelajar lebih berusia.

Pengasas pusat tuisyen The Economics Tutor dan Ace GP Kelvin Hong berkata ramai pelajar maktab rendah semakin kurang sabar untuk membaca dalam tempoh yang panjang.

Sebaliknya, mereka lebih terbiasa menatal catatan pendek media sosial, kapsyen, tajuk berita, perbincangan online dan rumusan.

Menurut Encik Hong, lebih ramai pelajar kini menghadapi kesukaran menjelaskan keseluruhan hujah seseorang penulis, memahami nuansa atau menghubungkan idea yang berbeza.

Apabila berdepan artikel panjang atau petikan rumit, sebahagian daripada mereka hanya mencari kata kunci dan bukannya mengikuti hujah dari awal hingga akhir.

CELIK HURUF DALAM ERA AI

Dalam dunia digital, celik huruf bukan lagi sekadar keupayaan membaca dan memahami teks.

Menurut Profesor Chen, ia turut merangkumi keupayaan mencari, memahami, menilai, menggabungkan dan menggunakan maklumat daripada sumber yang dihasilkan manusia serta AI.

Ini menjadikan celik AI semakin penting.

Pengguna perlu memahami keupayaan dan keterbatasan AI, menilai sama ada jawapannya boleh dipercayai serta mengetahui bila dan bagaimana teknologi itu patut digunakan.

Profesor Madya Loh Chin Ee dari Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris, Institut Pendidikan Nasional (NIE), berkata seseorang juga perlu mampu memproses teks bercetak dan digital.

Bagi kandungan digital, maklumat mungkin disampaikan menerusi gambar, video dan grafik daripada pelbagai sumber.

Pengguna kemudian perlu menentukan sama ada maklumat tersebut boleh dipercayai dan sama ada mereka patut bertindak berdasarkan maklumat itu.

Menurut Profesor Madya Loh, tabiat membaca secara tergesa-gesa boleh menyebabkan seseorang lebih sukar membezakan maklumat yang boleh dipercayai daripada kandungan palsu atau mengelirukan.
Related article image
Matlamatnya bukan semata-mata mengurangkan penggunaan teknologi dalam kalangan pelajar, tetapi mengajar mereka bila teknologi boleh membantu pembelajaran dan bila mereka perlu bergantung kepada pemikiran sendiri. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)
AI juga boleh menghasilkan jawapan yang kelihatan lengkap dan penjelasan yang jelas dalam beberapa saat.

Namun, Profesor Madya Loh memberi amaran bahawa pembelajaran boleh terjejas jika AI digunakan untuk mengambil alih proses berfikir seseorang.

Menurutnya, pelajar perlu melalui sedikit kesukaran dalam proses pembelajaran.

Jika mereka mengelakkan proses itu dengan menyerahkan tugas kepada AI, mereka turut kehilangan peluang untuk belajar.

Namun, ini tidak bermakna pelajar perlu berhenti menggunakan AI.

AI boleh menyokong pembelajaran jika digunakan secara terpilih, sesuai dengan usia serta dalam persekitaran yang tersusun.

KEMBALI MEMBACA

Jadi, bagaimana kemahiran berfikir secara kritis boleh diperkukuhkan dalam dunia yang dipenuhi gangguan digital?

Antara jawapannya adalah dengan kembali membaca.

Profesor Madya Loh berkata pelajar perlu meluangkan lebih banyak masa membaca bahan yang panjang secara berterusan, termasuk buku fiksyen dan bukan fiksyen serta artikel berita dan majalah.

Membaca sepintas lalu untuk mencari maklumat berbeza daripada membaca secara mendalam.

Masalah timbul apabila seseorang mula mengelakkan bacaan mendalam kerana menganggapnya terlalu sukar.

Menurut Profesor Madya Loh, menetapkan had masa harian bagi penggunaan media sosial boleh membantu mengurangkan masa skrin, tetapi ia bukan satu-satunya penyelesaian.

Sekolah boleh menyediakan masa untuk membaca dan peluang bagi pelajar melakukan pembacaan secara kritis, manakala ibu bapa dan penjaga boleh memperuntukkan masa untuk membaca bersama anak-anak.

AI SOKONG PEMIKIRAN, BUKAN GANTIKANNYA

Menjawab pertanyaan CNA TODAY, Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan kemahiran celik huruf dibangunkan secara bertahap dalam kalangan pelajar.

MOE mengakui penggunaan teknologi dan AI secara berlebihan atau tidak dirancang dengan baik boleh menjejas pembelajaran.

Bagi murid Darjah 1 hingga Darjah 3, pembelajaran kekal mengutamakan aktiviti secara langsung dan bahan bercetak, dengan penggunaan teknologi dan AI yang terhad.

Murid sekolah rendah atasan pula menggunakan AI secara selamat dan dengan tujuan tertentu di bawah pengawasan guru.

Di sekolah menengah, pelajar secara beransur-ansur menggunakan teknologi itu dengan lebih berdikari menerusi tugasan pembelajaran yang tersusun.

Pada masa yang sama, MOE menyatakan pelajar terus membangunkan sifat manusia yang tidak boleh digantikan AI, termasuk nilai yang kukuh, pemikiran kritis, pengurusan diri dan keyakinan untuk membuat pilihan secara bertanggungjawab.

Di Sekolah Menengah Hougang misalnya, pelajar menggunakan alat AI dalam sesetengah kelas, namun guru turut membimbing mereka supaya berfikir melangkaui jawapan yang dijana AI atau hasil pertama daripada enjin carian.
Related article image
Seorang pelajar menggunakan alat pembelajaran di Ruang Pembelajaran Pelajar Singapura semasa kelas Geografi di Sekolah Menengah Hougang pada 18 September 2026. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)
Ketua Jabatan Teknologi Infokom sekolah itu Javen Gwee berkata matlamatnya bukan untuk menggunakan lebih banyak AI.

Sebaliknya, pelajar perlu mengetahui cara berfikir dengan bantuan AI, bila mereka perlu mempersoalkan jawapannya dan bila mereka tidak seharusnya bergantung kepadanya.

Para pakar turut menekankan bahawa ibu bapa boleh menunjukkan tabiat digital dan penggunaan AI yang baik kepada anak-anak.

Profesor Chen berkata matlamat akhirnya bukan semata-mata untuk mengurangkan penggunaan teknologi.

Sebaliknya, pelajar perlu tahu bila teknologi dapat meningkatkan pembelajaran dan bila teknologi mula mengambil alih proses pemikiran yang sepatutnya mereka lakukan sendiri.
Sumber : CNA/Today/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita