Teknisyen maut dalam nahas motosikal didapati ambil dadah, etomidate: Koroner
Seorang teknisyen tren yang maut selepas motosikalnya terbabas di Bedok semasa dalam perjalanan ke tempat kerja didapati mengambil dadah termasuk methamphetamine (syabu) dan etomidate, menurut keputusan mahkamah koroner pada Khamis (25 Jun).
Selepas kemalangan, kawan Mohammed Fairuz Razali mencari saksi menerusi Facebook dan rakaman papan pemuka. (Gambar: Facebook/Ekah Arshad)
- Mohammed Fairuz Razali, seorang teknisyen tren, maut dalam kemalangan motosikal di Bedok ketika menuju ke tempat kerja pada 18 Julai 2025.
- Koroner Negara mendapati Fairuz berada di bawah pengaruh dadah seperti methamphetamine dan etomidate, yang menjejaskan keupayaan mengendalikan motosikal.
- Isteri mangsa menafikan suaminya mengambil dadah atau menggunakan vape, namun laporan toksikologi dan penemuan peranti vape membuktikan sebaliknya.
- Kes ini dijadikan peringatan oleh koroner tentang bahaya memandu di bawah pengaruh bahan terlarang, dengan ucapan takziah disampaikan kepada keluarga mangsa.
Kesimpulan ini dibuat meskipun isterinya memberi keterangan bahawa mangsa tidak mengambil sebarang dadah atau menggunakan vape.
Campuran dadah tersebut berkemungkinan besar menjejas keupayaannya untuk mengawal motosikal pada 18 Julai 2025, kata koroner.
Mohammed Fairuz Razali, seorang warga Singapura berusia 38 tahun, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah daripada kemalangan yang tidak melibatkan kenderaan lain itu.
KES
Menurut isterinya, Fairuz keluar dari rumahnya sekitar pukul 10.00 malam pada 18 Julai 2025 untuk bekerja syif malam.
Isterinya teringat bahawa mangsa ada mengambil sedikit ubat selesema sebelum keluar rumah.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Fairuz menunggang di Lorong 1 Bedok North Road sekitar pukul 10.55 malam, menghala ke arah New Upper Changi Road, tanpa kenderaan lain di kawasan berhampiran.
Rakaman memaparkan mangsa condong ke arah kiri sebelum cuba membetulkan kedudukan motosikalnya secara mendadak ke arah kanan. Motosikal itu kemudian terbabas ke kanan, melanggar pembahagi jalan tengah, lalu Fairuz terjatuh ke atas jalan raya.
Seorang wanita yang memandu lalu di kawasan itu tidak lama kemudian melihat motosikal tersebut berada di atas jalan dan Fairuz terbujur kaku di atas pembahagi jalan tengah dengan topi keledar masih di kepala. Selepas memberhentikan kereta-kereta lain yang lalu-lalang, mereka membantu Fairuz dan menghubungi ambulans.
Dia dikejarkan ke hospital, di mana sebuah peranti vape ditemui pada dirinya. Dia disahkan meninggal dunia pada malam tersebut.
Selepas kematian Fairuz, rakannya membuat catatan di Facebook untuk mencari saksi kejadian dan rakaman kamera papan pemuka.
Isterinya, yang mempunyai empat orang anak bersama Fairuz, berkata mangsa menghidap penyakit asma dan sentiasa membawa alat sedut. Beliau menegaskan bahawa suaminya tidak merokok, tidak mengambil dadah atau menggunakan vape.
Beliau juga berkata suaminya berada dalam kesakitan pada pagi itu akibat kecederaan kaki daripada kemalangan lain beberapa hari sebelum itu.
Menurut laporan toksikologi, pelbagai bahan dikesan di dalam darah Fairuz, termasuk amfetamin, diazepam, nitrazepam, paracetamol dan etomidate serta asid etomidate.
Amfetamin ialah bahan baki yang terhasil apabila seseorang mengambil methamphetamine, iaitu sejenis dadah terkawal Kelas A. Diazepam pula digunakan dalam bidang perubatan untuk merawat keadaan seperti keresahan, kekejangan otot atau masalah sukar tidur, manakala nitrazepam ialah ubat terkawal untuk keadaan seperti serangan cemas dan insomnia.
Bahan-bahan yang sama turut dikesan dalam air kencingnya.
Laporan tersebut menyatakan bahawa campuran dadah itu boleh bertindak bersama-sama sehingga mengurangkan keupayaan Fairuz untuk mengawal kenderaannya dengan selamat.
Seorang teknisyen memeriksa motosikal Fairuz dan menyatakan bahawa beliau tidak dapat memastikan sama ada terdapat sebarang kegagalan mekanikal disebabkan tahap kerosakan yang teruk akibat kemalangan tersebut.
Bagaimanapun, sistem brek dan tayar motosikal berada dalam keadaan yang baik.
Hospital Besar Changi (CGH) turut mengeluarkan kenyataan penjelasan bahawa pihak hospital tidak memberikan ubat etomidate kepada Fairuz semasa usaha menyelamat dijalankan.
Isteri Fairuz, yang hadir pada sesi perbicaraan tersebut, menyifatkan suaminya sebagai seorang bapa dan suami yang penyayang serta bekerja keras untuk menyara keluarga.
Beliau menegaskan bahawa beliau tidak tahu tentang pengambilan dadah dan penggunaan vape oleh suaminya, malah tidak percaya bahawa suaminya mengambil dadah.
Koroner Negara Adam Nakhoda berkata tiada bukti yang menunjukkan Fairuz mempunyai keadaan perubatan yang memerlukan pengambilan diazepam atau nitrazepam, yang sekali gus menunjukkan bahawa bahan-bahan tersebut diambil secara haram.
Peranti vape yang ditemui di dalam beg Fairuz disahkan positif mengandungi etomidate, dan boleh disimpulkan bahawa etomidate yang ditemui di dalam darahnya adalah disebabkan oleh penggunaan secara haram.
"Kes ini amat menyedihkan dan menjadi peringatan tentang bahaya sebenar mengendalikan kenderaan bermotor apabila berada di bawah pengaruh bahan terlarang," kata koroner.
"Bahan-bahan ini boleh menyebabkan rasa mengantuk, keliru atau hilang arah, serta menjejas koordinasi motor, melengahkan masa bertindak balas, dan memberi kesan buruk kepada keupayaan seseorang untuk mengendalikan kenderaan mereka dengan selamat."
Beliau menyampaikan ucapan takziah kepada balu Fairuz.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.