Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Teknisyen kawalan haiwan perosak enggan MC, jalani ujian swab kerana mahu insentif kerja $100

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang teknisyen kawalan haiwan perosak yang mengalami batuk selama tiga minggu berjumpa doktor dan diberitahu supaya menjalani ujian swab COVID-19 dan berehat di rumah semasa tempoh cuti sakit. 

Bagaimanapun, lelaki berusia 60 tahun itu tidak mahu mematuhi arahan tersebut dan memberitahu doktor itu bahawa dia harus mengorbankan insentif kerja sebanyak S$100 jika mengambil cuti sakit. 

Dia terus bekerja pada keesokan harinya dan menghadiri panggilan kerja di lima lokasi, termasuk di sebuah stesen polis. 

A Rahim M Taha dipenjara selama lima minggu hari ini (18 Jan). Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan COVID-19 di bawah Akta Penyakit Berjangkit. 

Mahkamah dimaklumkan bahawa Rahim merupakan seorang penyelia pasukan di sebuah syarikat kawalan haiwan perosak. 

Rahim mengunjungi Poliklinik Yishun pada 5 Oktober 2020 dan memberitahu doktornya bahawa dia mengalami batuk sekitar tiga minggu. Pada waktu itu, suhu badannya berada di 37.4 darjah Celsius. 

Doktor tersebut memberitahu Rahim bahawa dia harus menjalani X-ray dan ujian swab COVID-19. 

Rahim yang pada awalnya bersetuju, menukar fikiran apabila seorang jururawat memberitahu bahawa dia harus kekal di rumah semasa cuti sakit sambil menantikan keputusan ujian swabnya. Rahim mengatakan dia tidak lagi ingin menjalani ujian swab itu kerana mahu bekerja. 

Doktor itu kemudian menerangkan kepada Rahim bahawa penyakit batuk itu merupakan gejala jangkitan pernafasan dan akan diberikan cuti sakit selama tiga hari, yang mana dia tidak boleh meninggalkan rumah sehingga keputusan ujian swabnya itu negatif. 

Rahim kemudian memberitahu doktor bahawa dia tidak mahu menjalani ujian swab. Doktor tersebut kemudian memberitahu Rahim, dia akan diberikan cuti sakit selama lima hari jika tidak menjalani ujian tersebut dan tidak boleh meninggalkan rumah semasa tempoh ini. 

Rahim enggan menerima sijil perubatan dan ujian swab itu. 

Beliau memberitahu doktor bahawa dia tidak akan layak menerima insentif kerja jika mengambil cuti dan bertanya siapa yang akan membayar ganti rugi sebanyak S$100 jika dia menerima cuti sakit itu, kata pihak pendakwa. 

Doktor berkenaan memberi amaran kepada Rahim bahawa jika ia salah di sisi undang-undang jika dia enggan menjalani ujian swab apabila menunjukkan gejala jangkitan pernafasan dan perkara itu akan dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan (MOH). 

Rahim membalas bahawa dia tidak peduli jika dilaporkan kepada MOH. 

Doktor tersebut pun menghubungi MOH dan mencuba sekali lagi untuk meyakinkan Rahim supaya menjalani ujian swab atau menerima cuti sakit selama lima hari itu. 

Rahim sekali lagi enggan dan meninggalkan poliklinik tersebut selepas menerima ubatnya. Bagaimanapun idak diketahui sama ada Rahim dijangkiti COVID-19 pada waktu itu, kerana beliau enggan diuji.

Pada hari yang sama juga, doktor tersebut membuat aduan kepada MOH. 

RAHIM PERGI KE BEBERAPA LOKASI 

Keesokan harinya, Rahim melaporkan diri di tempat kerja dan mengambil seorang rakan sekerja menggunakan van syarikat sekitar pukul 8.30 pagi sebelum bertemu seorang lagi rakan kerja. 

Kumpulan itu pergi ke lima lokasi untuk memeriksa tempat-tempat yang mungkin berdepan masalah tikus.

Apabila mereka berada di Geylang Road, seorang pegawai Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyedari Rahim batuk teruk dan bimbang dia dijangkiti COVID-19.

Pegawai itu memberitahu Rahim supaya pulang ke rumah kerana takut dia akan menjangkiti rakan-rakan kerjanya dan juga pegawai tersebut jika terus bekerja. Rahim memandu pulang sekitar pukul 3.25 petang. 

Pada hari itu juga, para pegawai Jabatan Pemantauaan dan Penguatkuasaan MOH menghubungi Rahim dan memberi arahan kepadanya supaya kekal di rumah semasa tempoh cuti sakit. 

Rahim mendakwa dia berada di rumah, iaitu satu penipuan. 

"Apa yang memburukkan keadaan ialah pekerjaan tertuduh memerlukannya untuk melawat beberapa lokasi. Beliau mengunjungi lima lokasi dalam masa tujuh jam, termasuk estet-estet kediaman, satu tempat kerja dan juga satu stesen polis," kata pendakwa tersebut. 

Pendakwa tersebut juga mengatakan bahawa Rahim berpotensi mendedahkan orang awam kepada risiko COVID-19 dan juga "turut serta dalam kegiatan berisiko tinggi apabila makan tengah hari bersama rakan-rakan kerjanya dalam van syarikat". 

"Ia merupakan satu kegiatan berisiko tinggi kerana anda membuka pelitup semasa makan." 

Tambah pendakwa tersebut lagi, alasan Rahim ingin bekerja tidak penting ataupun mendesak dan dia hanya mahu bekerja semata-mata tidak mahu mengorbankan insentif kerja bernilai S$100. 

Semasa mengemukakan rayuan, Rahim meminta agar hukuman dikurangkan, sambil merujuk kepada penyakit-penyakit yang dialami termasuk satu darah beku, kencing manis, masalah jantung dan juga paru-paru. 

Rahim juga berkata apabila dia akhirnya menjalani ujian swab, keputusannya negatif. 

Atas kesalahan mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan, Rahim boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan