Teknisyen dipenjara curi pakaian dalam dari jiran
Selama beberapa minggu, penduduk di sebuah flat HDB kehilangan pakaian seperti seluar dalam dan jeans. Apabila polis memasang kamera kecil di luar salah sebuah flat mangsa, mereka berjaya merakam pencuri itu menyembunyikan wajahnya di bawah payung dan secara paksa merentap kamera tersebut.
Gambar hiasan. (Gambar: Jeremy Long)
SINGAPURA: Selama beberapa minggu, penduduk di sebuah flat HDB kehilangan pakaian seperti seluar dalam dan jeans. Apabila polis memasang kamera kecil di luar salah sebuah flat mangsa, mereka berjaya merakam pencuri itu menyembunyikan wajahnya di bawah payung dan secara paksa merentap kamera tersebut.
Polis mengumpulkan rakaman-rakaman video dari beberapa kamera polis dan mengenal pasti pencuri itu sebagai seorang teknisyen hawa dingin yang tinggal di blok berkenaan.
Dia ditangkap dan lebih 50 helai pakaian termasuk 19 pasang seluar dalam wanita ditemui di biliknya. Dia didapati akan memakai pakaian-pakaian dalam itu ketika melakukan aksi seks.
Warga Malaysia Ng Weng Cheong, 38 tahun, dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan dan satu minggu pada Khamis (18 Mac) dan diarah membayar pampasan sebanyak S$95 untuk bagi kamera yang rosak.
Dia mengaku bersalah atas tiga tuduhan mencuri, melakukan perbuatan nakal dan pecah rumah, dengan dua tuduhan lain dipertimbangkan dalam menjatuhi hukuman.
Mahkamah diberitahu bahawa Ng mula mencuri pakaian dari jiran-jirannya pada April 2020.
Dia khususnya mengunjungi sebuah flat sebanyak tiga kali pada sebelah malam untuk mencuri pakaian wanita kerana menyukai salah seorang wanita yang dilihatnya tinggal di flat tersebut.
Dia menghulurkan tangannya melalui pagar utama untuk mencuri coli, seluar dalam dan seluar panjang yang tergantung di galah yang diletakkan antara pintu pagar dengan jeriji tingkap.
Polis menerima beberapa laporan mengenai pakaian dicuri di blok berkenaan antara 23 Sep hingga 13 Okt tahun lalu. Selepas kejadian kecurian tersebut, polis memasang kamera kecil di luar salah sebuah flat mangsa dalam usaha menangkap pencuri itu.
Kamera tersebut merakam seseorang di luar flat pada 2 Disember 2020, pada sekitar 12.50 pagi. Dia menyembunyikan wajahnya menggunakan payung dan mencabut kamera itu secara paksa, namun kotak perakam video digital tidak rosak.
Seorang pegawai siasatan menyemak rakaman video dari beberapa kamera polis di kawasan itu dan mengenal pasti Ng sebagai pencuri bersiri. Dia ditangkap pada 16 Disember 2020.
Atas kesalahan pecah rumah untuk mencuri, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda. Dia boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali atas kesalahan mencuri, sementara bagi kesalahan melakukan perbuatan nakal boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.