Tekanan kos ekoran konflik Timur Tengah, peniaga F&B cari keseimbangan harga dan kelangsungan
SINGAPURA: Menaikkan harga atau menyerap kos?
Demi memastikan kelangsungan perniagaan, ini antara dilema yang dihadapi para peniaga ketika kos bahan mentah dan operasi terus meningkat.
Bagi cef selebriti tempatan dan usahawan makan dan minuman (F&B), Encik Shahrizal Salleh, yang lebih mesra dikenali sebagai Cef Bob, keputusan untuk menyerap sebahagian kos bukan sesuatu yang mudah.
Semasa ditemui BERITA Mediacorp, Cef Bob berkata: “Kita akan serap kos. Apa yang kita bolehlah."
Mengakui tekanan kos semakin dirasai dalam operasi hariannya, beliau berkongsi bahawa kenaikan harga bahan seperti santan sahaja sudah mencecah sekitar 34 peratus, manakala kos keseluruhan boleh meningkat antara 10 hingga 20 peratus.
SERAP KOS TAPI ADA HADNYA
Apabila ditanya sama ada beliau akan terus menyerap kos sekiranya tekanan kos meningkat lagi, Cef Bob mengakui langkah tersebut tidak boleh dilakukan berterusan.
"Kalau kita serap lagi, saya makin kering. Kita harus menaikkan harga jualan kitalah," ujar beliau.
Namun, beliau tetap berhati-hati dalam membuat keputusan berkaitan harga agar tidak membebankan pelanggan.
"Saya rasa kalau naikkan pun, bukannya tinggi sangat. Kita pun tidak mahu pelanggan kita terkejut dengan harga yang mereka akan perlu bayar," jelas beliau sambil berharap pelanggan lebih memahami.
Dalam industri F&B, katanya, margin keuntungan sememangnya kecil, malah mencapai sekitar 10 peratus sudah dianggap baik.
KEPUTUSAN BUKA PERNIAGAAN BAHARU TETAP DITERUSKAN
Dalam keadaan mencabar itu, Cef Bob tetap mengambil keputusan untuk membuka sebuah kopitiam baharu bersama rakan kongsi, Kai Emilio, 27 tahun.
Terletak di Alkaff Crescent berdekatan, Rahsia Bidadari sudah mula beroperasi pada 1 April dan akan dibuka secara rasmi pada 1 Mei.
Ia kini beroperasi dari 7 pagi hingga 11 malam, dengan hasrat untuk beroperasi 24 jam, tertakluk kepada kelulusan, kongsi Cef Bob.
Menurut beliau, keputusan tersebut sebenarnya dibuat sebelum keadaan ekonomi menjadi tidak menentu, dan pelbagai komitmen telah pun dimeterai.
“Kita pun tak tahu… ini semua dah dirancang. Kita buat sajalah apa yang kita boleh,” katanya.
Walaupun sudah lapan tahun berkecimpung dalam bidang perniagaan menerusi bazar dan acara, pembukaan kedai fizikal merupakan pengalaman pertama bagi Encik Kai yang merupakan seorang usahawan dan pempengaruh.
Namun, beliau tetap yakin melangkah ke tahap seterusnya, terutama dengan sokongan rakan kongsi yang berpengalaman dalam industri F&B.
“Perkara pertama yang beri saya banyak keyakinan adalah pasukan dan juga rakan kongsi saya, lebih-lebih lagi kita tahu Cef Bob ini seorang yang berpengalaman dalam bidang F&B,” kata Encik Kai sambil tertawa.
BERNIAGA DALAM KEADAAN EKONOMI SEMASA MENUNTUT KESEIMBANGAN
Namun, beliau mengakui keadaan kini merupakan satu cabaran yang berbeza.
Menurut Encik Kai, kenaikan kos sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan kerana perniagaannya sebelum ini banyak bergantung kepada 'hype' dan trend.
Justeru, adalah penting untuk mencari kesimbangan antara kos, harga dan jangkaan pelanggan.
“Mencari keseimbangan itu penting, tetapi bukan mudah. Kita perlu tentukan harga yang sesuai dan pada masa yang sama memenuhi jangkaan pelanggan,” katanya.
Bagi peniaga yang lebih mapan seperti Cef Bob, penyesuaian mungkin boleh dilakukan tanpa menjejaskan aspek lain seperti pemasaran.
Menurut Cef Bob, mereka mempunyai kelebihan dari segi platform dan bilangan pelanggan.
PENIAGA KECIL LEBIH TERHIMPIT, RUANG SERAP KOS TERHAD
Namun, bagi peniaga kecil, ruang untuk berbuat demikian jauh lebih terhad.
Ini memaksa mereka menilai semula perbelanjaan bagi menampung kenaikan kos.
Demikian dikongsi Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) kepada BERITA Mediacorp.
Mengulas lanjut, beliau berkata peniaga justeru terpaksa membuat pelbagai keputusan sukar dalam memastikan kelangsungan perniagaan.
Ini termasuk menaikkan harga, mengurangkan kos operasi, menangguhkan pelaburan atau menilai semula tenaga kerja.
"Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini bagi pihak DPPMS, kami ada rancangan untuk menyokong peniaga-peniaga masyarakat kita dalam bahagian digital," kata Dr Malik.
Dalam tempoh terdekat, DPPMS menjangkakan persekitaran perniagaan akan terus kekal mencabar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.