Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tekanan kos cabaran sejagat namun di SG, pemerintah boleh hulur bantuan: PM Wong

Walaupun kenaikan kos menjadi cabaran di seluruh dunia, di Singapura, pemerintah mampu membantu penduduk menghadapinya, menurut Perdana Menteri Lawrence Wong pada Ahad (23 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Mar 2025 05:56PM Dikemas Kini : 23 Mar 2025 11:02PM
SINGAPURA: Walaupun kenaikan kos menjadi cabaran di seluruh dunia, di Singapura, pemerintah mampu membantu penduduk menghadapinya, menurut Perdana Menteri Lawrence Wong pada Ahad (23 Mac).

"Ia adalah isu sejagat. Tekanan kos, setiap negara sedang menghadapinya, bukan Singapura sahaja," kata beliau semasa melakukan kunjungan ke GRC Aljunied, sebahagian daripada siri kunjungannya ke kawasan-kawasan undi di seluruh negara yang diumumkan sebelum ini.

Kunjungan tersebut adalah yang kedua bagi Encik Wong ke kawasan yang dikendalikan parti pembangkang dalam dua hujung minggu berturut-turut, selepas pengumuman peta pilihan raya baharu pada 11 Mac.

"Namun sekurang-kurangnya di Singapura, kita boleh bekerjasama, kita boleh menghulurkan sebilangan bantuan kepada rakyat Singapura, dan kita semua boleh mengatasi cabaran kita dan bekerja ke arah masa depan yang lebih baik pada tahun-tahun akan datang, dan mengalu-alukan 60 tahun akan datang dan seterusnya, ke arah masa depan dan Singapura yang lebih baik," tambah beliau.

LANGKAH BANTUAN DALAM BELANJAWAN 2025

Encik Wong berkata demikian semasa acara Seniors' Connect @ Kovan Hub, yang dihadiri sekitar 2,000 warga emas dan penduduk.

Merujuk kepada langkah bantuan dalam belanjawan negara tahun ini, seperti Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dan baucar SG60, Encik Wong — yang juga Menteri Kewangan — memberitahu penduduk bahawa beliau berharap langkah-langkah tersebut “setidak-tidaknya dapat menghulurkan sedikit bantuan bagi menangani kos sara hidup anda.”

Dalam ucapannya, Encik Wong turut membincangkan keperluan warga emas.

“Kami sedar terdapat ramai warga emas, kami berharap anda akan terus menua dengan sihat, hidup dengan baik, kekal aktif, dan terus belajar,” kata beliau.

Beliau menggalakkan warga emas agar terus aktif menyertai pelbagai program yang disediakan untuk menyokong mereka.
(Dari kiri ke kanan) Penasihat akar umbi Marshall Lim, Victor Lye, Chua Eng Leong, dan Perdana Menteri Lawrence Wong, serta (dari kiri ke kanan) penasihat akar umbi Alex Yeo, Chan Hui Yuh dan Shamsul Kamar merasmikan pelancaran kapsul masa SG60 pada 23 Mac 2025. (Gambar: CNA/Ili Nadhirah Mansor)
Selain itu, Encik Wong turut melancarkan kapsul masa SG60, yang mempamerkan 60 barangan berkepentingan kebangsaan, budaya atau tempatan dari penduduk GRC Aljunied.

Beliau kemudian menyertai Pengerusi Cawangan Serangoon bagi Parti Tindakan Rakyat (PAP), Chan Hui Yuh, untuk sesi kunjungan di pasar Serangoon North, di mana beliau menyapa dan berinteraksi dengan penduduk selama sekitar sejam.

KEADAAN KAWASAN ALJUNIED-HOUGANG

Sempadan bagi GRC Aljunied yang dikuasai parti pembangkang diubah dalam semakan kawasan undi terkini.

Ia merupakan kali pertama sempadan itu diubah sejak pilihan raya 2011, apabila kawasan tersebut menjadi GRC pertama yang dimenangi pembangkang.

Tiga tempat mengundi dalam kawasan lima anggota tersebut, yang merangkumi hampir 4,000 pengundi, akan dipindahkan ke GRC Tampines dalam pilihan raya akan datang.

Dalam pilihan raya pada 2020, Parti Pekerja (WP) memenangi hampir 60 peratus undi berbanding PAP di kawasan tersebut.

Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Hougang itu dipegang WP sejak 1991, dengan peguam Dennis Tan memenangi lebih 61 peratus undi pada 2020.

Kedua-dua kawasan pilihan raya tersebut telah melalui perubahan dari segi pengerusi cawangan oleh PAP sejak pilihan raya umum lalu.
Perdana Menteri Lawrence Wong semasa kunjungan ke Serangoon North pada 23 Mac 2025. (Gambar: CNA/Ili Nadhirah Mansor)
Encik Adrian Ang, Encik Faisal Abdul Aziz dan Encik Daniel Liu mengambil alih kepimpinan cawangan Reservoir-Punggol Bedok, Kaki Bukit dan Paya Lebar masing-masing di Aljunied pada Februari. Seorang anggota kesatuan pekerja, Jagathishwaran Rajo, diperkenalkan sebagai pengerusi cawangan Eunos pada Ogos lalu.

Peguam Marshall Lim turut dilantik sebagai pengerusi cawangan Hougang PAP pada Februari.

Dengan perubahan-perubahan tersebut, pengerusi cawangan Serangoon, Encik Chan, adalah satu-satunya yang kekal daripada pilihan raya lalu.

Kesemua enam individu hadir bagi acara yang diadakan buat para warga emas pada Ahad.

Sementara itu, WP yang menerajui kawasan tersebut akan mencari anggota tambahan, yang akan menjadi anggota kelima, bagi senarai calon Aljunied, berikutan peletakan jawatan Cik Leon Perera pada Julai 2023 menyusuli isu hubungan tidak wajar.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan