Tekad dua pelajar tempuh cabaran penyakit untuk cemerlang dalam peperiksaan GCE 'N'
Tiga tahun lalu, dunia Muhammad Qu'syairie Abdullah, 17 tahun, berubah sekelip mata apabila beliau disahkan menghidap penyakit 'Burkitt Lymphoma' tahap 4, sejenis barah agresif yang menjejaskan urat sarafnya.
SINGAPURA: Tiga tahun lalu, dunia Muhammad Qu'syairie Abdullah, 17 tahun, berubah sekelip mata apabila beliau disahkan menghidap penyakit 'Burkitt Lymphoma' tahap 4, sejenis barah agresif yang menjejaskan urat sarafnya.
Daripada seorang remaja yang aktif bermain sepak takraw, Qu'syairie kehilangan kawalan ke atas pergerakan kakinya akibat penyakit tersebut.
"Bila saya dapat tahu saya ada barah, saya terkejut. Sebab saya tidak ada sejarah keluarga yang ada barah. Jadi, saya rasa sedikit hampa dan sedih pada masa yang sama. Sebab saya tahu ramai pesakit barah tidak akan hidup lama," kata Qu'syairie kepada wartawan Syawal Yusoff.
Penyakit itu juga memaksa Qu'syairie tinggal di hospital selama enam bulan, di mana beliau menjalani rawatan kemoterapi yang intensif.
Rawatan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada fizikalnya tetapi turut menjejaskan pembelajarannya di Sekolah Menengah Bendemeer.
"Rawatan itu memang mencabar, sampai saya terpaksa berhenti sekolah selama setahun," katanya.
"Tidak sesuai untuk saya kembali ke sekolah kerana selama setahun itu saya tidak boleh bergerak. Saya terlantar di katil, dan tidak mampu berjalan akibat kemoterapi," ujar Qu'syairie, satu-satunya anak lelaki dalam empat beradik.
KUATKAN DIRI UNTUK ANAK TERCINTA
Ibunya, Cik Nurqariah Osman, seorang ibu tunggal berusia 42 tahun, menjadi tonggak kekuatan di sebalik perjalanan sukar yang dilalui oleh Qu'syairie.
"Selalunya bila kita dengar tahap 4, macam sudah tidak ada harapan. Jadi, pada waktu itu memang rasa sangat sedih. Doktor juga jelaskan pada saya, saya tidak perlu risau. Penyakit limfoma ini boleh sembuh dalam 80 hingga 90 peratus, bergantung pada tindak balas tubuh individu," kata Cik Nurqariah.
Untuk menjaga hati dan semangat Qu'syairie, Cik Nurqariah sentiasa cuba tampil kuat di hadapannya, meskipun hakikat itu berat untuk diterima.
Meskipun sukar untuk menerima kenyataan bahawa anaknya itu menghidap barah, beliau berkata, sokongan dari guru-guru sekolah anaknya itu banyak membantu.
"Setiap hari kami akan cakap dengan dia, 'Abang kena kuat'. Walaupun saya boleh katakan yang kita laluinya bersama, tetapi dia seorang sahaja yang lalui benda itu kan. Jadi kita kena sentiasa memberinya kekuatan. Pihak sekolah dan guru-guru juga sangat baik. Selain Qu'syairie, mereka kerap mendorong saya, ibarat membangkitkan lagi semangat saya," ujar Cik Nurqariah.
Ketika itu, Cik Nurqariah baharu sahaja memulakan tugas di tempat kerja baharu, namun beliau terpaksa membuat beberapa penyesuaian dalam jadual kerjanya demi menjaga anak tercinta.
"Di hospital, saya bekerja menggunakan meja yang ada, dan pada masa yang sama, saya dapat menguruskannya. Sekiranya saya perlu masuk ke pejabat, saya dan anak-anak perempuan saya akan berkorban masa dan bergilir-gilir," jelasnya.
SUDAH BEBAS BARAH SELAMA SETAHUN
Apabila diberitahu bahawa beliau bebas daripada barah pada tahun lalu, Muhammad Qu'syairie Abdullah tidak sabar untuk menyambung semula pembelajarannya.
Prihatin terhadap keadaannya, pihak sekolah turut mengambil langkah membantu dengan memindahkan bilik darjahnya ke tingkat pertama bagi memudahkan pergerakannya.
Minatnya terhadap sukan sepak takraw serta sokongan padu daripada ibunya menjadi pendorong utama semangatnya untuk kembali ke sekolah.
Beliau kini berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang pembuatan kek dan pastri di Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Minat terhadap bidang itu bermula sejak usia 12 tahun, apabila beliau membantu ibunya membuat kuih untuk perniagaan kecil-kecilan keluarga.
"Saya hendak pergi ke ITE Kolej Barat menyertai bidang pastri dan pembuatan kek. Selepas ITE, saya hendak teruskan dengan diploma kerja-belajar. Kalau boleh, saya mahu buka bakeri dan mahu libatkan seluruh keluarga saya dalam perniagaan itu," ujarnya.
Seorang lagi pelajar yang berjaya mengatasi cabaran hidup dan mencapai kecemerlangan dalam pelajaran ialah Nuha Zahra Suhaiman, 16 tahun, dari Sekolah Menengah Changkat Changi.
Sejak usia lapan tahun, Nuha didiagnosis dengan disleksia dan gangguan hiperaktif defisit perhatian (ADHD), yang memberi kesan kepada keupayaannya untuk membaca dan menulis.
Di samping mengikuti persekolahan biasa, Nuha turut menjalani rawatan di Persatuan Disleksia Singapura (DAS) bagi membantunya mengatasi cabaran tersebut.
Meskipun menghadapi kesukaran untuk bergaul semasa di sekolah menengah, sokongan padu daripada ibu bapa dan guru-guru menjadi tonggak penting dalam pembelajaran Nuha.
"Saya selalu ambil rehat sambil belajar,dan ibu saya sentiasa membantu saya semasa belajar. Bila saya tidak tahu, saya akan bertanya ayah saya tentang matematik," kata anak tunggal itu.
Berkat kerja kerasnya, Nuha berjaya meraih agregat 19 mata dalam peperiksaan peringkat 'N'.
Dengan pencapaian tersebut, beliau bercadang melanjutkan pengajian dalam bidang reka bentuk dan teknologi di Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Nuha juga mempunyai impian untuk suatu hari nanti terlibat dalam kerja-kerja di belakang pentas, yang menjadi salah satu minatnya.
"Saya mahu terlibat dalam kerja-kerja di belakang pentas seperti audiovisual, terutamanya di dewan yang sering mengadakan banyak pertunjukan. Saya suka bekerja di belakang tabir dan selalu membantu orang yang sedang tampil di pentas. Selepas itu, kita bantu angkat dan sediakan peralatan di sana sini," ujarnya.
Selain bidang reka bentuk, Nuha juga berminat dalam media dan komunikasi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.