Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tekad bantu masyarakat bakar semangat 2 pelajar madrasah ini raih keputusan cemerlang GCE ‘A’

Setiap kali terbaca tentang kes-kes keperihan mangsa penderaan keluarga di dada-dada akhbar, Nur Sajidah Abdul Aziz membulatkan azamnya untuk menjadi seorang wirawati yang boleh melindungi mereka kelak. 

Anggaran Waktu Membaca:
Tekad bantu masyarakat bakar semangat 2 pelajar madrasah ini raih keputusan cemerlang GCE ‘A’

Nur Sajidah Abdul Aziz (kiri) dan Nurul Diyanah Damanhuri. (Gambar: BERITAmediacorp)

SINGAPURA: Setiap kali terbaca tentang kes-kes keperihan mangsa penderaan keluarga di dada-dada akhbar, Nur Sajidah Abdul Aziz membulatkan azamnya untuk menjadi seorang wirawati yang boleh melindungi mereka kelak.

Cita-citanya adalah untuk menjadi seorang peguam syariah kelak. Hari ini (21 Februari), Nur Sajidah maju setapak lagi menuju azamnya itu apabila muncul sebagai antara pelajar cemerlang GCE ‘A’ tahun ini. Pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah itu meraih dua gred A dan lulus kesemua lima subjek di peringkat ‘A’, di samping 11 lagi subjek di bawah sistem pensijilan Syahadah iaitu bagi subjek-subjek aliran agama.

“Saya berharap dapat membantu dan memperjuangkan hak mangsa-mangsa penderaan ini satu hari nanti sebab ramai yang mungkin tidak ada kemampuan untuk mendapatkan khidmat peguam. Saya akan melakukannya secara pro bono,” kata Nur Sajidah.

NALURI BANTU MASYARAKAT

Dengan dua sijilnya itu, Nur Sajidah bercadang untuk melanjutkan pelajarannya ke Jordan dalam bidang syariah ataupun undang-undang Islam. Jika azamnya itu masih belum direalisasikannya sekarang, Sajidah tidak mahu mensia-siakan waktu mudanya dan tetap mahu menghulurkan bantuan kepada masyarakat dalam apa sahaja cara yang dimampuinya. Sementara menantikan keputusan permohonannya ke Universiti Jordan, Sajidah kini menghabiskan masanya sebagai seorang relawan bersama PPIS dan bekerja sambilan sebagai tenaga pengajar di pusat pembelajaran agama dan pegawai saringan kesihatan di sebuah hospital.

“Dengan krisis COVID-19 ini, saya cuba memainkan peranan sedaya boleh untuk membantu negara tangani krisis ini. Nak rawat saya tak tahu tapi tugas pegawai saringan kesihatan ini pun penting juga,” jelas Nur Sajidah.

Sajidah adalah antara 26 pelajar Madrasah Wak Tanjong yang menerima keputusan GCE ‘A’ mereka hari ini. 54% daripada mereka lulus sekurang-kurangnya dua subjek H2 dan dua subjek H1. Madrasah Wak Tanjong adalah antara tiga madrasah di sini yang menyediakan laluan kepada para pelajarnya untuk menduduki peperiksaan GCE ‘A’.

PELAJAR MADRASAH TERUS CATAT KEPUTUSAN CEMERLANG

Satu lagi madrasah ialah Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah yang menyaksikan 93% daripada 15 pelajarnya lulus sekurang-kurangnya dua subjek H2 dan dua subjek H1. Antara pelajar cemerlangnya kali ini ialah Nurul Diyanah Damanhuri yang meraih dua gred A. Menariknya bagi Nurul Diyanah, dia menduduki peperiksaan bagi tiga subjek iaitu Matematik, Kimia dan Biologi yang tidak ditawarkan dalam kurikulum GCE ‘A’ di sekolahnya itu.

(Gambar: Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah)

Nurul Diyanah (kanan) bersama rakan-rakannya. (Gambar: Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah)

“Dari sekolah menengah lagi saya sudah berminat untuk menceburi bidang jagaan kesihatan. Saya ingin melanjutkan pengajian saya dalam bidang tersebut dan untuk itu saya perlukan subjek-subjek seperti Biologi dan Matematik. Saya berterima kasih kepada pihak madrasah kerana menyokong aspirasi saya ini,” kata Nurul Diyanah.

Walaupun tidak menawarkan subjek-subjek tersebut, Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah tetap memberikan sokongan dari segi bimbingan tambahan oleh guru-gurunya di luar waktu sekolah. Guru-gurunya juga menyediakan bahan-bahan yang diperlukan di makmal sains madrasah untuk Nurul Diyanah berlatih dan mempersiapkan diri untuk komponen praktikal bagi peperiksaan subjek-subjek sainsnya.

Mudirah Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah, Cik Nafisah memberitahu: “Sebelum ke peringkat prauniversiti, bapanya datang ke sekolah untuk berbincang mengenai minat dan hasrat anaknya itu. Pihak madrasah amat mengalu-alukannya dan bersedia untuk membantunya sedaya mungkin dan kami tumpang bahagia dan berbangga dengan keputusan yang diraihnya hari ini.”

Dengan keputusannya itu, Nurul Diyanah berharap dapat melanjutkan pengajiannya ke Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam bidang perubatan dan sains hayat atau bidang terapi pekerjaan di Institut Teknologi Singapura (SIT).

Seramai 54 pelajar madrasah menduduki peperiksaan GCE ‘A’ bagi kohort 2019. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan