Skip to main content

Singapura

TechTV Network gagal bayar gaji pekerja sehingga lebih 8 bulan

Sudah lebih lapan bulan Raymond (bukan nama sebenar) belum dibayar gaji penuh oleh majikannya, TechTV Network, sebuah syarikat media dan penganjuran acara.

Anggaran Waktu Membaca:
TechTV Network gagal bayar gaji pekerja sehingga lebih 8 bulan

Gambar fail seorang pekerja pejabat menggunakan komputer riba. (Gambar: iStock/June Ng)

Diterbitkan : 25 Jun 2025 10:45AM Dikemas Kini : 25 Jun 2025 10:47AM
SINGAPURA: Sudah lebih lapan bulan Raymond (bukan nama sebenar) belum dibayar gaji penuh oleh majikannya, TechTV Network, sebuah syarikat media dan penganjuran acara.

Lelaki itu yang berusia dalam lingkungan 50-an tahun, tidak dibayar gaji bulanannya iaitu S$9,000 sebulan sejak Oktober 2024.

Malah, caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) pula dihentikan lebih awal iaitu pada Jun tahun lalu.

Majikan beliau sebaliknya membayar gaji secara tidak tetap berjumlah sehingga S$1,000 pada satu ketika.

Tidak termasuk CPF, jumlah gajinya yang tertunggak kini sekitar S$55,000.

Sungguhpun demikian, Raymond masih bekerja di syarikat itu dan berpegang kepada jaminan yang diberikan oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TechTV Debbie Lee, yang mendakwa beliau sedang dalam proses mendapatkan pembiayaan daripada "pihak berkepentingan" untuk melunaskan gaji pekerja.

"Saya masih menaruh harapan majikan saya akan membayar gaji saya, syarikat ini akan mendapat jumlah dana yang banyak, kerana saya masih memperoleh perjanjian untuk syarikat ini, dan itulah harapan yang beliau berikan," katanya.

Dalam kiriman emel kepada para pekerja, Cik Lee berkata kelengahan membayar gaji disebabkan oleh kekurangan hasil penjualan oleh pasukan itu.

"Anda boleh mainkan peranan untuk menyokong aliran tunai jualan supaya anda dan pasukan anda boleh meraih manfaat dengan peruntukan yang disediakan," katanya.

Mediacorp berpeluang melihat kiriman teks yang dihantar oleh Cik Lee kepada Raymond dan beberapa pekerja lain, di mana beliau menukil kelengahan pada prosedur perbankan sebagai antara sebab mengapa syarikat itu tidak mempunyai dana untuk membayar gaji mereka.

"Ia selalunya alasan yang tidak masuk akal, sukar untuk mempercayainya," kata Raymond yang berkata pernah sekali Cik Lee memberi alasan bahawa seorang pelabur jatuh sakit dan atas sebab itu, bayaran gaji tertangguh.

Sungguhpun demikian, selama berbulan-bulan, Raymond tetap menaruh harapan gajinya yang tertunggak akan dilunaskan.

Namun selepas sekian waktu, Raymond mula menghadapi kesukaran melunaskan bil dan pinjaman.

Tekanan yang dialami menjejas kesihatan dan mutu tidurnya.

Beliau juga mula merasakan bahawa majikannya itu telah mengambil kesempatan daripada kesabarannya.

"Saya kini menyedari ia semua satu penipuan," kata Raymond yang merupakan bapa kepada seorang anak.

"Saya berasa sangat marah kerana saya kini menghadapi kesempitan wang."

Mediacorp juga bertemu dengan beberapa kakitangan TechTV lain yang berkongsi pengalaman serupa - tidak dibayar gaji, caruman CPF tidak dilunaskan dan alasan demi alasan diberikan.

TechTV kini disiasat oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) atas kesalahan di bawah Akta Pekerjaan.

Lima kakitangan termasuk Raymond, telah memfailkan tuntutan gaji dan mendapatkan bantuan daripada Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian (TADM).

TechTV masih beroperasi dan Raymond dan rakan-rakan sekerjanya masih bekerja di syarikat itu.

Apabila dihubungi mengenai isu gaji tertunggak, Cik Lee berkata TechTV sedang mengadakan "perbincangan aktif dan lanjut dengan beberapa pihak ketiga" untuk "menjana modal baharu dan aliran tunai" bagi perbelanjaan operasi dan pertumbuhan jangka panjang.

Di bawah Akta Pekerjaan, majikan mesti membayar gaji dalam tempoh tujuh hari selepas tamat setiap tempoh gaji. Kegagalan berbuat demikian adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

DAPATKAN SEMULA GAJI TERTUNGGAK

Menerusi usaha pengantara TADM, TechTV menandatangani perjanjian dengan lima kakitangan yang membuat tuntutan, di mana ia menetapkan gaji yang perlu dibayar oleh syarikat tersebut.

Perjanjian itu mengandungi jadual bayaran yang harus dipatuhi oleh TechTV.

Cik Lee bagaimanapun gagal membuat bayaran bagi sekurang-kurangnya seorang pekerja yang ditemui Mediacorp, yang enggan mendedahkan namanya.

Menurut MOM dan TADM, mereka menggalakkan para pekerja supaya membuat tuntutan awal supaya tunggakan gaji tidak terkumpul.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita