Skip to main content

Singapura

TechTV Network dibicarakan atas tuduhan gagal bayar gaji S$190,000

Anggaran Waktu Membaca:
TechTV Network dibicarakan atas tuduhan gagal bayar gaji S$190,000

TechTV Network dibicarakan atas dakwaan gagal membayar gaji lebih S$190,000 kepada empat pekerja. (Gambar: CNA/Ili Mansor)

Diterbitkan : 26 Aug 2026 05:42PM
  • TechTV Network di Singapura didakwa di Mahkamah Daerah atas 14 pertuduhan gagal membayar gaji lebih S$190,000 kepada empat bekas pekerja antara Julai 2024 hingga Mac 2025.
  • Bekas pengarah, Cik Debbie Lee, menandatangani perjanjian penyelesaian selepas pengantaraan TADM, namun tidak semua bayaran diselesaikan dan beliau tidak hadir ke mahkamah kerana sudah meletak jawatan serta bankrap.
  • Pekerja mendakwa hanya menerima sebahagian gaji, dengan alasan syarikat menunggu pelaburan dan menghadapi masalah kewangan akibat prestasi penjualan yang lemah serta krisis ekonomi.
  • Perbicaraan masih berjalan dan jika sabit kesalahan, TechTV boleh didenda antara S$3,000 hingga S$15,000 bagi setiap pertuduhan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sebuah firma media dan acara di Singapura dibicarakan pada Rabu (26 Ogos) atas dakwaan gagal membayar gaji lebih S$190,000 kepada empat pekerja.

TechTV Network berdepan 14 pertuduhan di bawah Akta Pekerjaan.

Mediacorp sebelum ini melaporkan pengalaman para pekerja TechTV yang mendorong mereka membuat tuntutan kepada Perikatan Tiga Pihak bagi Pengurusan Pertikaian (TADM).

Bekas pekerja memberi keterangan pada Rabu bahawa meskipun pengasas dan pengarah TechTV, Cik Debbie Lee, menandatangani perjanjian penyelesaian dengan mereka selepas proses pengantaraan TADM, tidak semua bayaran dibuat.

Perbicaraan bermula di Mahkamah Daerah tanpa kehadiran wakil TechTV atau peguam bela.

Seorang pegawai penyiasat Kementerian Tenaga Manusia (MOM) memberitahu mahkamah bahawa Cik Lee berkata beliau tidak dapat mewakili firma itu dalam prosiding tersebut kerana sudah meletak jawatan sebagai pengarah dan merupakan seorang bankrap yang belum dilepaskan.

Menurut pegawai MOM itu, Cik Lee dalam satu kenyataan yang diambil pada April 2025 berkata beliau merupakan satu-satunya pembuat keputusan bagi TechTV.

Beliau juga berkata TechTV menghadapi kekangan kewangan disebabkan "prestasi penjualan yang lemah" dan "krisis ekonomi", yang menjejas aliran tunai syarikat itu.

Mahkamah diberitahu bahawa TechTV mengendalikan saluran televisyen serantau yang menyiarkan kandungan mengenai K-pop, e-sukan, berita kewangan dan teknologi, selain menawarkan khidmat pemasaran acara.

Firma itu dituduh gagal membayar gaji dua pekerja, Encik Lim Chun Tat Kenneth dan Encik Basheer Mohamed Sultan, bagi kerja yang dilakukan dari lewat 2024 hingga Mac 2025.

Ia juga dituduh gagal membayar gaji yang terhutang kepada dua pekerja lain, Ho Yan Yi dan Lai Chink Eng, selepas mereka meninggalkan syarikat itu pada November 2024.

Ketika memberi keterangan, Encik Lim berkata "tanda amaran terbesar" sebelum gajinya mula ditahan adalah apabila beliau hanya menerima separuh daripada gajinya pada Julai 2024.

Encik Lim, yang merupakan penerbit kreatif di firma itu, berkata pengurus sumber manusia TechTV memberitahunya bahawa Cik Lee mengarahkan pembayaran separuh gaji tersebut.

Apabila ditanya mengenainya, Cik Lee memberitahu Encik Lim bahawa beliau sedang menunggu pelaburan masuk dan gajinya akan dibayar sepenuhnya selepas itu, namun tidak memberikan sebarang tarikh.

Menurut Encik Lim, Cik Lee terus memberikan alasan mengenai pelaburan setiap kali beliau menuntut pembayaran gajinya.

"Apabila difikirkan semula, beliau hanya cuba melengahkan masa supaya kami terus bekerja tanpa gaji," katanya.

Encik Lim turut berkata Cik Lee pernah mendakwa mempunyai slip pindahan telegraf bagi satu pelaburan yang sudah diterima, namun tidak dapat menunjukkannya apabila diminta pekerja.

Beliau juga mendakwa Cik Lee menghantar emel kepada kakitangan meminta mereka "bekerja lebih keras" untuk meningkatkan hasil penjualan supaya gaji mereka dapat dibayar.

Encik Lim berkata antara sebab pekerja terus kekal di syarikat itu begitu lama adalah kerana profesionalisme dan etika kerja.

Seorang lagi bekas pekerja, Encik Basheer, yang merupakan pengurus penjualan bersepadu, berkata beliau diberitahu bahawa gajinya akan dibayar selepas pelanggan yang diperolehnya membuat bayaran kepada syarikat.

Namun, pembayaran tersebut tidak dibuat, katanya.

Perbicaraan diteruskan.

Jika sabit kesalahan kerana gagal membayar gaji, firma itu boleh didenda antara S$3,000 dengan S$15,000 bagi setiap pertuduhan.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita