Skip to main content

Singapura

Tebus mata di aplikasi Healthy 365 HPB bagi peroleh diskaun premium MediShield Hayat

Mulai Khamis (18 Sep), penduduk Singapura berusia 40 tahun ke atas boleh menebus mata yang diperolehi menerusi aplikasi Healthy 365 untuk mendapatkan diskaun bagi premium MediShield Hayat.

Anggaran Waktu Membaca:
Tebus mata di aplikasi Healthy 365 HPB bagi peroleh diskaun premium MediShield Hayat

Program rintis itu ditawarkan kepada penduduk berusia 40 tahun dan ke atas. (Gambar: iStock/Khanchit Khirisutchalual)

Diterbitkan : 18 Sep 2025 06:11PM Dikemas Kini : 18 Sep 2025 06:12PM
SINGAPURA: Mulai Khamis (18 Sep), penduduk Singapura berusia 40 tahun ke atas boleh menebus mata yang diperolehi menerusi aplikasi Healthy 365 untuk mendapatkan diskaun bagi premium MediShield Hayat.

Para pengguna yang secara purata melakukan kegiatan fizikal yang sederhana hingga berintensiti tinggi selama kira-kira 150 minit seminggu selama setahun boleh mengumpul jumlah mata yang mencukupi bagi menebus diskaun bernilai kira-kira S$70 bagi premium MediShield Hayat mereka, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataan medianya pada Khamis.

MOH menambah pemegang polisi MediShield Hayat dengan Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu boleh menebus kadar 150 mata kesihatan bagi diskaun S$2.

Ini adalah lebih tinggi daripada kadar tukaran biasa sebanyak 150 mata kepada S$1, menurut MOH, ketika ia melancarkan program rintis tiga tahun itu.

Bagi memperoleh mata kesihatan, para pengguna boleh mengambil bahagian dalam program dan cabaran gaya hidup sihat dalam aplikasi Healthy 365 Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), atau berdaftar dengan klinik SG Lebih Sihat dan menjalani konsultasi Pelan Kesihatan yang pertama.

Setelah ditebus, diskaun akan diberikan secara automatik pada premium MediShield Hayat individu itu pada pembaharuan polisi seterusnya.

Dalam catatannya di laman Facebook pada Khamis, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata para penduduk boleh meraih diskaun maksimum "dengan berjalan kaki selama 20 minit setiap hari".

Matlamat inisiatif itu adalah untuk mengukuhkan ganjaran untuk kekal sihat, katanya.

"Mengambil langkah untuk mengamalkan gaya hidup sihat adalah sesuatu yang kita semua boleh pilih unutk lakukan. Apabila kita menjaga kesihatan kita, kita kurang berkemungkinan perlukan rawatan perubatan yang mahal kelak."

HEALTHY 365

Di aplikasi Healthy 365, mata yang terkumpul boleh digunakan untuk menebus pelbagai barangan dan diskaun, termasuk baucar FairPrice dan Kopitiam.

Para pengguna boleh menggunakan aplikasi itu untuk mencari dan menyelesaikan cabaran senaman bagi mengumpul mata. Setiap langkah yang diambil juga boleh ditukarkan kepada mata.

Aplikasi itu adalah sebahagian daripada inisiatif SG Lebih Sihat yang memberi tumpuan kepada jagaan kesihatan pencegahan.

Ia diumumkan tahun lalu bahawa premium MediShield Hayat akan meningkat secara purata 22 peratus bagi setiap pemegang polisi - secara berperingkat selama tiga tahun sehingga 2028.

Menyusuli semakan skim insurans oleh Majlis MediShield Hayat, ia menyarankan peningkatan had tuntutan untuk melindungi rakyat Singapura dengan lebih baik daripada bil perubatan yang besar dan memperluaskan perlindungan bagi membantu para pesakit mampu membuat bayaran bagi jenis jagaan dan rawatan baharu.

Disebabkan tuntutan yang lebih tinggi dan perlindungan yang diperluaskan, premium mungkin meningkat sebanyak 35 peratus.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita