Teater baharu 1,000 tempat duduk di Tanglin siap menjelang 2030
Arena seni Singapura bakal mendapat sebuah teater seni persembahan baharu dengan 1,000 tempat duduk di Tanglin, yang dijangka siap menjelang 2030.
Gambaran artis teater seni persembahan yang akan menjadi sebahagian daripada pembangunan semula Pusat Beli-Belah Tanglin, yang dijangka siap menjelang 2030. (Gambar: Pacific Eagle Real Estate)
- Pacific Eagle Real Estate akan membina teater seni persembahan baharu berkapasiti 1,000 tempat duduk di Tanglin, Singapura, dijangka siap menjelang 2030 dengan sokongan MCCY dan NAC.
- Teater ini akan menjadi sebahagian pembangunan bercampur yang turut merangkumi ruang runcit, pejabat, kesejahteraan, kebudayaan dan muzium seni kontemporari yang diuruskan Tanoto Art Foundation.
- Inisiatif ini bertujuan menambah ruang seni, menyokong pementasan berskala besar, serta membuka peluang kepada seniman tempatan dan penonton untuk akses lebih luas kepada pementasan tempatan dan antarabangsa.
- Dalam Anugerah Penaung Seni 2026, seramai 585 penaung individu dan korporat diiktiraf atas sumbangan S$89.5 juta kepada sektor seni Singapura bagi tempoh 2025.
Teater itu akan dibina khusus sebagai teater prosenium, iaitu ruang persembahan tradisional dengan pentas yang dibingkai gerbang seni bina.
Ia akan terletak dalam pembangunan bercampur di tapak bekas Pusat Beli-Belah Tanglin di 19 Tanglin Road.
Pembangunan baharu itu turut merangkumi ruang runcit, pejabat, kesejahteraan dan kebudayaan, selain sebuah muzium seni kontemporari.
Teater tersebut akan dibiayai dan dibina oleh pelabur dan pemaju hartanah berpangkalan di Singapura, Pacific Eagle Real Estate (PERE), dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) serta Majlis Seni Kebangsaan (NAC).
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Pendidikan, Encik David Neo, mengumumkannya semasa Majlis Penyampaian Anugerah Penaung Seni (POAA) 2026 pada Khamis (27 Ogos).
Menurut NAC, pembangunan semula itu adalah sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menambah ruang seni dengan pelbagai kapasiti di Singapura.
Dengan 1,000 tempat duduk, kapasiti teater baharu itu terletak antara beberapa tempat seni persembahan utama sedia ada di Singapura.
Panggung Victoria dan Dewan Konsert Victoria masing-masing mempunyai sekitar 600 tempat duduk, manakala panggung dan dewan konsert di Esplanade masing-masing mempunyai lebih 1,600 tempat duduk.
Teater baharu itu bertujuan menyokong pementasan berskala lebih besar merentasi pelbagai bentuk seni, termasuk teater, muzikal, tarian dan muzik.
Ia juga dijangka membuka lebih banyak peluang kepada seniman dan karyawan seni tempatan, termasuk dalam bidang teater teknikal dan pengurusan seni.
Pada masa sama, para penonton di Singapura akan mendapat akses lebih luas kepada pementasan tempatan dan antarabangsa.
NAC pula akan membuka permohonan bagi mencari pengendali teater itu.
Kumpulan seni tempatan boleh membida untuk mengendalikan teater tersebut atau bekerjasama dengan syarikat antarabangsa, manakala pemohon antarabangsa perlu mempunyai rakan kongsi seni tempatan.
PERE juga akan mengecualikan sewa asas teater itu bagi keseluruhan tempoh penyewaan selama 20 tahun.
SUMBANGAN S$89.5 JUTA KEPADA SEKTOR SENI
Dalam acara sama, rekod 585 penaung individu dan korporat diiktiraf atas sumbangan berjumlah S$89.5 juta kepada sektor seni Singapura.
Jumlah itu hampir dua kali ganda berbanding nilai sumbangan yang diiktiraf pada anugerah 2025.
Daripada 585 penaung tersebut, 480 atau 82 peratus merupakan individu.
Mereka menyumbang sekitar S$58 juta, atau hampir 65 peratus daripada jumlah keseluruhan yang diiktiraf tahun ini.
Anugerah Penaung Seni ditubuhkan pada 1983 bagi mengiktiraf pertubuhan dan individu yang menyumbang kepada kegiatan seni dan kebudayaan di Singapura.
Anugerah 2026 mengiktiraf sumbangan yang dibuat antara 1 Januari hingga 31 Disember 2025.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.