Skip to main content

Singapura

Tayangan filem anjuran Masjid Wak Tanjong, Bee Here Now berjaya kumpul S$4,600 untuk bantu mangsa perang di Gaza

Anggaran Waktu Membaca:
Tayangan filem anjuran Masjid Wak Tanjong, Bee Here Now berjaya kumpul S$4,600 untuk bantu mangsa perang di Gaza

Tayangan filem anjuran Masjid Wak Tanjong & Bee Here Now pada 26 Okt. (Gambar: Masjid Wak Tanjong & Bee Here Now)

SINGAPURA: Sekitar S$4,600 berjaya dikumpulkan bagi mangsa peperangan di Gaza menerusi satu projek tayangan filem hasil kerjasama antara Masjid Wak Tanjong dan badan inisiatif masyarakat Bee Here Now.

Lebih 90 peratus tiket terjual bagi tayangan filem tersebut di Golden Village x The Projector di Cineleisure pada Sabtu (26 Okt) dan berjaya menarik peserta dari pelbagai kaum dan agama.

Hasil penjualan 310 tiket itu akan disalurkan kepada Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).

Gambar: Masjid Wak Tanjong & Bee Here Now

Projek itu menayangkan filem "Where Olive Trees Weep" yang mengisahkan tentang keperitan hidup, cabaran dan juga daya tahan warga Palestin di bawah pendudukan Israel.

Filem itu antaranya meneroka tema-tema seperti kehilangan, trauma dan perjuangan bagi keadilan.

KAWAL EMOSI MENERUSI TEKNIK PERNAFASAN

Selepas tayangan filem itu, para hadirin juga dibimbing dalam satu sesi kesedaran dan refleksi yang memberi tumpuan kepada pembangunan emosi dan peribadi mereka.

Mereka dibimbing menerusi teknik pernafasan dan visualisasi yang mudah dan tidak berlandaskan agama agar dapat mengurangkan ledakan emosi daripada menonton filem tersebut.

Gambar: Masjid Wak Tanjong & Bee Here Now

Aktiviti itu dikendalikan oleh Cik Anastasia Tham dari Bee Here Now, yang merupakan pembimbing meditasi berpengalaman, pengendali kelab buku dan jurulatih pembangunan peribadi.

"Peranan Bee Here Now, iaitu satu badan 'ground-up' atau masyarakat ialah mereka bergabung sesama sendiri untuk memberi tumpuan terhadap meditasi dan juga menangani isu-isu (berkaitan) emosi.

Mereka inginkan masyarakat untuk memainkan lebih banyak peranan sendiri untuk menguasai emosi mereka sendiri dan tidak putus harapan dengan apa yang berlaku di dunia ini. Itu adalah peranan mereka dan untuk peranan Masjid Wak Tanjong pula, kami hadir untuk membantu mereka melibatkan kaum-kaum Muslimin dan juga masjid-masjid, dan juga memberikan mereka sokongan dari segi bahan-bahan pendidikan dan juga pemasaran dan publisiti," kongsi Pengurus Masjid Wak Tanjong, Encik Muhammad Ikram Mohd Ariff.

SAMBUTAN MENGGALAKKAN, RANCANGAN UNTUK ADAKAN LAGI TAYANGAN
 

Gambar: Masjid Wak Tanjong & Bee Here Now

Melangkah ke hadapan, Masjid Wak Tanjong juga sedang meneroka kerjasama dengan rakan-rakan kerja lain untuk tayangan filem itu.

Encik Ikram berkongsi bahawa pihaknya menerima maklum balas yang positif dan ada permintaan untuk menganjurkan lagi tayangan filem tersebut.

Antara yang mereka sasarkan termasuk para pelajar institusi pengajian tinggi.

"Kami sudah menerima maklum balas untuk adakan tayangan lagi. Kami masih dalam perbincangan untuk meneroka peluang ini dan kemungkinan akan mengeluarkannya pada tarikh lain," kongsi Encik Ikram dalam satu jawapan bertulis kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Kami sedang bekerjasama dengan persatuan Muslim di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Universiti Nasional Singapura (NUS) untuk inisiatif makanan. Kami menyediakan makanan percuma untuk janitor mereka dan pelajar berpendapatan rendah di asrama pada setiap Jumaat. Tayangan seterusnya besar kemungkinan adalah bersama badan-badan itu," kongsi Encik Ikram.
 

Gambar: Masjid Wak Tanjong & Bee Here Now

Acara itu merupakan salah satu daripada siri program yang dilakarkan oleh Masjid Wak Tanjong sempena menyambut ulang tahunnya yang ke-150 pada Disember ini.

Ia mahu memainkan peranan dinamik dalam memupuk impak dan perpaduan sosial serta kemampanan di Singapura dan terus menjadi rakan aktif dalam usaha menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Antara lain, masjid itu telah melancarkan program untuk mengagihkan 2,500 hidangan panas kepada keluarga di flat sewa di seluruh Singapura pada setiap Jumaat.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita