Tawarkan khidmat penghantaran percuma ke kubur untuk pengunjung berbilang kaum
SINGAPURA: Melihat warga emas dan anak kecil berjalan kaki dari perhentian bas untuk ke pusara orang yang dicintai, di bawah terik matahari ataupun deras hujan - ini yang mendorong Encik Izat Rohaizat untuk memulakan khidmat van ulang-alik di sekitar Kompleks Perkuburan Chua Chu Kang termasuk Pusara Aman dan Pusara Abadi.
Pemilik R8 Services itu mula menawarkan khidmat percuma itu pada awal Februari 2026.
"Kami tidak ambil apa-apa bayaran, kami pun tidak ingin waris berikan bayaran tetapi kami akan sediakan tabung, kalau mereka ingin sumbang, mereka boleh sumbang tetapi kita tidak minta apa-apa," ujar Encik Izat.
ADAKAN KHIDMAT ULANG-ALIK BAGI MUDAHKAN PERGERAKAN WARIS KE KUBUR
Encik Izat akan mengambil penumpang dari luar Masjid Pusara Aman. Ia tidak jauh dari perhentian bas awam di Jalan Bahar.
Para penumpang kemudian akan dihantar ke kawasan perkuburan yang ingin diziarahi.
"Saya bukan sahaja akan hantar mereka ke kubur, saya akan tunjukkan di mana kubur itu. Saya akan kongsikan apa yang boleh buat, apa yang tidak boleh buat. Saya boleh berikan mereka perkakas seperti sarung tangan, pemotong rumput dan beg plastik juga untuk mereka buang rumput-rumput yang sudah dipotong," ujar Encik Izat.
Buat masa ini, beliau menawarkan khidmat itu pada setiap hari Rabu hingga Ahad, dari jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang.
Tiada sebarang tempahan yang diperlukan untuk menggunakan khidmat tersebut.
TERDORONG TAWARKAN KHIDMAT PENGHANTARAN KE KUBUR
Menurut Encik Izat, sudah ada khidmat sedemikian ditawarkan oleh seorang lagi individu pada setiap hari Ahad sahaja dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Encik Izat juga pernah menjalankan khidmat yang sama, namun dalam bentuk 'buggy' pada 2021. Namun khidmat itu telah dibatalkan.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Izat Tukang Kubur juga menawarkan khidmat membersihkan dan pemasangan dapur kubur.
Beliau berkata: "Saya sudah bekerja di sini lebih daripada 8 tahun. Saya dapat lihat ramai masyarakat kita yang tidak ada kenderaan untuk ziarah kubur. Kawasan kubur juga ramai yang tidak tahu cari, tidak tahu pergi. Di situ saya lihat ada peluang untuk buat khidmat ini untuk menyumbang kembali kepada masyarakat."
"Ada tempat masuk yang utama yang sudah ditutup untuk buat projek penggalian. Untuk masuk ke kubur ke kawasan Pusara Abadi agak rumit. Orang ramai tidak tahu sangat. Kita akan kongsikan cara jalan, kita juga boleh bawa mereka ke tempat lebih selesa untuk jalan."
"Sekarang, Pusara Abadi tempat masuk utama sudah dikepung. Untuk masuk dari jalan baharu, perlu tembus dari Pusara Aman. Daripada Pusara Aman ke Abadi, kalau berjalan, boleh sampai setengah jam. Kalau naik bas awam pun, bas itu akan berhenti di belakang. Orang ramai pun kalau nak masuk ke Pusara Abadi tetap perlu jalan 15 minit untuk ke Pusara Abadi. Dengan cuaca sebegini lagi, agak susah untuk orang ramai jalan. Di situ saya lihat ada peluang untuk memberikan khidmat ini untuk masyarakat."
Beliau juga tidak mengehadkan khidmat ini kepada pengunjung Muslim sahaja.
"Saya memang suka menolong dan suka bergaul dengan masyarakat lain. Saya ada nampak beberapa orang lain juga tiada kenderaan yang ingin ziarah kubur. NEA juga ada sediakan Garden Of Peace, di mana mereka tabur abu-abu. Dari perhentian bas nak ke sana, perlu jalan sekitar 1 kilometer. Jadi saya lihat ada peluang baik juga untuk berikan khidmat untuk mereka juga," ujar beliau.
KOS MENYELENGGARA KHIDMAT PERCUMA
Menerusi kempen mengumpul dana gogetfunding yang dijalankan Encik Izat, beliau telah meraih sumbangan lebih S$5,500 daripada masyarakat.
Ini dapat membiayai 50 peratus kos untuk membeli kenderaan dan selebihnya ditanggung oleh Encik Izat sendiri.
Beliau juga membiayai kos operasi dan penyelenggaraan kenderaan bagi jangka panjang.
Semasa BERITA Mediacorp menyertai Encik Izat semasa menjalankan khidmatnya pada hujung minggu terakhir sebelum menjelang Ramadan dari 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, ada tujuh penumpang yang menggunakan khidmatnya.
Antaranya, ialah Encik Muhammad Kamal Muhammad Yunos, 66 tahun.
Encik Izat membawanya ke tiga lokasi untuk menziarahi kubur.
Encik Kamal berkata: "Saya sangat bersyukur kerana ada khidmat van ini, bukan setakat dapat kita pergi ke tempat yang ingin kita tuju tetapi juga dapat cari kubur dengan bantuannya. Kalau tidak ada khidmat ini, kita perlu berjalan, pusing sana pusing sini. Dari masjid ke sini bukannya dekat, jalan pun jauh dengan cuaca panas. Kalau tak ada khidmat ini, memang susah."
"Kalau jalan mungkin, satu dua jam pun tidak selesai, jadi ia menjimatkan masa, tenaga dan memudahkan urusan," tambah beliau lagi.
Seorang lagi penumpang, Cik Suraya Othman berkata: "Memang banyak membantu terutama sekali untuk mereka yang tidak ada kereta. Dia pun boleh hantar ke berapa banyak kubur yang kita nak pergi. Kalau kita naik teksi, bayaran dah banyak, pemandu teksi nak tunggu berapa lama kan."
Beliau menambah: "Makan masa kalau nak berjalan, dua jam tiga jam setakat dua tiga kubur sahaja kerana semuanya jauh-jauh. Kalau yang dekat-dekat memang selamat tetapi kalau yang jauh memang susah."
Meskipun khidmat percuma itu baharu sahaja dimulakan, Encik Izat sudah memikirkan cara dan peluang untuk memperluaskan lagi khidmatnya.
Jika permintaannya baik, beliau merancang untuk mendapatkan van lebih besar yang boleh memuat lebih 20 penumpang.
Beliau juga mempertimbangkan untuk mengambil pengunjung dari stesen MRT Chua Chu Kang langsung untuk memudahkan perjalanan mereka.
Untuk dua minggu pertama Ramadan ini, beliau tidak dapat menawarkan khidmat sedemikian.
Menurut perkongsiannya di TikTok, beliau perlu melaksanakan tugas-tugas lain termasuk membersihkan kubur-kubur atas permintaan para waris sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti.
Beliau akan menyambung semula perkhidmatan itu pada minggu ketiga Ramadan, 4 Mac nanti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.