Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Taufik Batisah menang besar di APM 2015, Anggun penerima pertama Anugerah Rentas Planet

Anugerah Planet Muzik 2015 melabuhkan tirainya dengan artis tempatan Taufik Batisah merangkul empat anugerah, sekaligus menjadikannya selebriti yang ‘menang besar’ bagi acara anugerah berprestij itu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Anugerah Planet Muzik 2015 melabuhkan tirainya dengan artis tempatan Taufik Batisah merangkul empat anugerah, sekaligus menjadikannya pemenang besar bagi acara anugerah berprestij itu.

Artis yang memenangi paling banyak anugerah buat kali kedua berturut-turut itu, mendahului senarai dengan sebanyak tujuh pencalonan, diikuti oleh penyanyi tersohor dari Malaysia, Dato’ Siti Nurhaliza, dengan enam pencalonan.

Lagu #AwakKatMana ternyata membawa tuah kepada dirinya setelah ia berjaya memenangi dua kategori iaitu Lagu Paling Popular Singapura dan Lagu Paling Popular APM.

Dua lagi anugerah yang dimenanginya ialah Artis Paling Popular Singapura dan Ikon Media Sosial.

Beliau menyifatkan APM sebagai satu wadah yang amat baik bagi artis-artis dari negara yang lebih kecil seperti Singapura dan Brunei, untuk menunjukkan bakat mereka di pentas yang gilang-gemilang. Itu

"Bagi saya platform APM ini adalah satu platform yang sangat-sangat baik terutama sekali untuk artis-artis dari Singapura dan juga bagi saya, Brunei, sebab kami dari negara yang kecil. Jadi ini adalah peluang baik untuk kami menunjukkan bakat kami di pentas yang sangat gemilang," jelas Taufik.

Penyanyi kesayangan ramai di rantau ini, Dato’ Siti Nurhaliza dan penyanyi bersuara gemersik Chakra Khan dari Indonesia pula meraih Anugerah Kolaborasi Terbaik Artis, bagi lagu Seluruh Cinta.

Gabungan mantap kedua-dua penyanyi itu sewaktu persembahan malam semalam disambut meriah dengan sorakan dan tepukan gemuruh para penonton.

Mengulas tentang pengalaman ketika pertama kali menerima tawaran untuk berduet dengan Dato’ Siti Nurhaliza, Chakra Khan tidak dapat menggambarkan perasaannya yang mengagumi artis Malaysia itu, yang kemudiannya turut memuji bakat Chakra Khan.

Buat julung-julung kalinya, APM mengiktiraf seorang artis yang berjaya meninggalkan kesan yang mendalam di persada muzik antarabangsa, meraih pengiktirafan dan menjadi sumber inspirasi kepada ramai artis lain di rantau ini.

Penerima Anugerah Rentas Planet itu ialah penyanyi Indonesia yang telah meraih penjualan lebih 1 juta album di Eropah, Anggun Cipta Sasmi.

Anggun berkata, penting bagi setiap orang yang berkarya dalam bidang muzik, untuk terus teguh dan berjuang walaupun industri itu kini lebih mencabar kerana mungkin nasib mereka akan berubah ke arah yang lebih baik pada masa akan datang.

"Tugasnya para musisi dan seniman adalah tetap tegar dan aku tahu betapa beratnya di zaman sekarang yang piracy, muzik sudah susah sekali untuk bisa hidup. Tetapi mereka harus memberi contoh kerana mungkin satu hari lagi akan ada ikal baliknya, kembali lagi kayak, rotasi dalam hidup," ujar Anggun. 

Sebelum tirai APM 2015 dilabuhkan, Anugerah Khas Rentas Planet tahun ini disampaikan kepada kumpulan A.Ramlie And The Rhythm Boys.

Anugerah Planet Muzik 2015 yang telah menyampaikan sebanyak 19 anugerah diakhiri dengan dendangan lagu-lagu malar segar dari zaman pop yeh yeh oleh Taufik Batisah, Ryan Sufiyan, Chakra Khan dan Hazama.

Sumber : BERITA Mediacorp/ag

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa