Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tarikh siap projek BTO lebih lama mungkin pacu permintaan bagi unit SBF

Sebanyak 3,879 flat meliputi empat estet di Bukit Merah, Geylang, Tengah dan Woodlands dilancarkan dalam tawaran terbaru flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO) oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) hari ini (25 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebanyak 3,879 flat meliputi empat estet di Bukit Merah, Geylang, Tengah dan Woodlands dilancarkan dalam tawaran terbaru flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO) oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) hari ini (25 Mei).

Pengumuman itu pastinya satu berita baik bagi pemohon flat.

Namun tarikh siap projek- projek tersebut mungkin terlengah lagi kerana sekatan sempadan COVID-19 lebih ketat yang menjejas sektor binaan.

Justeru, para pengamat berkata keadaan itu mungkin merangsang permintaan bagi unit yang tidak terjual dalam pelancaran sebelumnya pada November lalu.

Ini disebabkan masa siap lebih singkat bagi flat-flat tersebut.

Sebanyak 2,494 unit sedemikian ditawarkan di bawah Jualan Baki Flat (SBF) buat pertama kalinya tahun ini.

Flat-flat itu terletak di di estet matang dan bukan matang seperti Jurong East, Yishun, Marine Parade, Queenstown dan Clementi.

Bagi yang tidak mampu menunggu lama, pengamat hartanah Syed Abdullah Alhamid, berkata tarikh siap lebih lama mungkin mendorong mereka membatalkan sahaja hasrat untuk membeli flat BTO.

Ini terutamanya bagi mereka yang perlu menyewa flat sementara menunggu flat BTO mereka siap.

Harga sewa kata Syed Abdullah kini melambung sehingga 35 peratus lebih mahal ekoran permintaan lebih tinggi waktu pandemik ini.

"Mereka, ada yang sudah bertunang, ada yang sudah kahwin, duduk dengan mak mertua, ada yang sudah hamil. Jadi mereka tak boleh tunggu sampai tujuh tahun. Itulah masalah sekarang. Jadi mereka batalkan BTO, masuk ke pasaran jualan semula. Bolehkah tahan sewa tujuh tahun? Bolehkah dapat rumah sewa pun dah melambung. Jadi menunggu dia sabar ke tak menunggu," kata Pengarah Divisyen Kumpulan Eksekutif ERA itu.

Dalam masa tiga bulan ini sahaja, Syed Abdullah sudah menerima empat klien baru yang membatalkan permohonan BTO mereka dan mahu mencari flat jualan semula.

Dengan trend ini, harga flat jualan semula sudah meningkat sehingga 15 peratus sejak pandemik tercetus tahun lalu.

"Itu menjadikan harga flat jualan semula itu melambung. Harga yang dijual tiga bilik di Bedok tak dapat lagi S$290,000. Tak ada lagi yang S$280,000. Sekurang-kurangnya, S$300,000 dan itu pun rumah yang perlu diubah elok," ujarnya.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan