Tarikh mula bagi langkah pengurusan selamat disemak terpaksa ditunda dek lonjakan kes COVID-19
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (24 Feb) memutuskan untuk menangguhkan tarikh permulaan bagi pelaksanaan langkah-langkah pengurusan selamat yang disemak semula menyusuli lonjakan pada kes-kes COVID-19.
Pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) mengumumkan minggu lalu bahawa ia akan mempermudahkan dan memperhalusi pelonggaran langkah-langkah pengurusan selamat melalui dua fasa.
Fasa pertama dijadual akan bermula pada Jumaat (25 Feb).
Menurut MOH, satu tarikh baru akan diumumkan "tidak lama lagi" sambil menambah peraturan-peraturan sedia ada akan terus dikuatkuasakan.
BACA: S'pura permudah peraturan COVID-19; tidak perlu jarak selamat jika pakai pelitup
"Dengan lonjakan pada jumlah kes harian dan kerja-kerja meluas yang terlibat dalam melaksanakan peraturan terperinci bagi pelbagai situasi dan keadaan, MTF telah menyemak perkara itu dan memutuskan untuk menyatukan, menyelaraskan dan memperhalusi langkah-langkah pengurusan selamat sekali gus," menurut MOH.
Singapura kini sedang menyaksikan lonjakan pada jumlah kes COVID-19, dengan jumlah kes harian mencecah paras rekod, iaitu sebanyak 26,032 kes baru yang dilaporkan pada Selasa (22 Feb).
Jumlah kes baru COVID-19 pada Rabu (23 Feb) merosot kepada 20,312 kes.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.