Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tarikh berbeza sambut Aidilfitri boleh berlaku; cerapan anak bulan sah ikut konteks negara masing-masing

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pejabat Mufti mengeluarkan kenyataan pada lewat malam ini (1 Mei) bagi memberikan penjelasan yang terperinci tentang pengumuman awal Syawal tahun ini.

Ini menyusuli kekeliruan dan komen-komen negatif yang disuarakan di lelaman media sosial mengenai perbezaan tarikh 1 Syawal antara Singapura dengan negara-negara Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama (MABIMS) yang lain iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam.

Singapura akan menyambut Aidilfitri pada Selasa (3 Mei), manakala ketiga-tiga negara tersebut dilaporkan bakal meraikan 1 Syawal sehari lebih awal iaitu pada Isnin (2 Mei).

Dalam kenyataannya yang diterbitkan di Facebook Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir menjelaskan bahawa penentuan bagi permulaan dan pengakhiran bulan Ramadan adalah mengikut panduan oleh Nabi Muhammad s.a.w iaitu dengan menggunakan dua kriteria utama iaitu 'hisab' dan 'rukyah'.

KEADAAN CUACA SUKARKAN LIHAT ANAK BULAN

Kriteria 'hisab' merupakan perhitungan berdasarkan sains falak, manakala 'rukyah' pula ditentukan berdasarkan cerapan anak bulan.

Menurut Dr Nazirudin, adalah agak sukar untuk anak bulan kelihatan di Singapura disebabkan oleh keadaan cuaca yang selalunya mendung.

Oleh demikian, Singapura menggunakan pendekatan yang dipersetujui oleh negara-negara MABIMS bagi menentukan penampakan anak bulan iaitu 'imkan ar-rukya'.

Kriteria tersebut disemak dan diperhalusi oleh negara-negara MABIMS sejak 2017 dan dikemas kini pada 2021 berdasarkan lebih 700 titik data penampakan anak bulan dari seluruh dunia.

Pengemaskinian itu turut mengambil kira dua faktor semasa terbenamnya matahari pada hari ke-29 Ramadan iaitu

(a) sudut dongak anak bulan mesti melebihi tiga darjah dan

(b) kadar pemanjangan antara matahari dan bulan mesti melebihi 6.4 darjah.

Berdasarkan kriteria tersebut, anak bulan tidak dapat dilihat di Singapura semasa waktu Maghrib pada 29 Ramadan.

MUFTI SENDIRI CUBA CERAP ANAK BULAN

Bagi mengesahkan hal demikian, Pejabat Mufti bersama para pakar sains falak cuba mencerap anak bulan pada Ahad (1 Mei), namun ia tidak kelihatan.

Dr Nazirudin juga memuat naik gambar dan video ke laman Instagram beliau.

Mufti Negara cuba mencerap anak bulan

Dalam catatannya itu, Dr Nazirudin berkata: "Semoga Allah memberkati usaha ini yang membantu kita mengikut hadis Nabi kita s.a.w. yang menyuruh kita menyempurnakan puasa 30 hari jika anak bulan tidak kelihatan."

Sungguhpun demikian, penguasa agama negara-negara MABIMS yang lain melaporkan bahawa anak bulan dapat dilihat di bahagian-bahagian tertentu dalam sempadan negara mereka.

"Meskipun hasilnya berbeza, kesemua negara MABIMS menggunakan cara penentuan yang berdasarkan prinsip dan panduan Nabi Muhammad s.a.w. dan setiap daripada dapatan mereka itu adalah sah dalam konteks masing-masing dan semua mematuhi dasar di mana Ramadan tidak melebihi 30 hari di setiap negara," jelas Dr Nazirudin.

PERBEZAAN TARIKH MEMANG KERAP BERLAKU, BUKAN KALI PERTAMA

Dr Nazirudin juga menceritakan tentang kejadian zaman sahabat Rasulullah s.a.w. di mana terdapat juga perbezaan tarikh menyambut Ramadan di Madinah dan Syam.

Apabila pertanyaan dibangkitkan mengapa tidak diselaraskan saja tarikh berpuasa, mereka berkata ia bergantung kepada tempat di mana seseorang itu berada.

Dalam kenyataan yang sama, dijelaskan juga bahawa perbezaan pada awal kalendar Hijrah telah berlaku dengan sangat kerap di rantau ini iaitu pada 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2021.

Menurut Mufti Negara, ia boleh berlaku lagi pada masa akan datang.

Maka itu, tidak semua negara menyambut awal Ramadan dan Aidilfitri pada tarikh yang sama.

Malah, ada juga beberapa negara lain yang melaporkan belum kelihatan anak bulan dan meraikan Hari Raya pada tarikh yang sama dengan Singapura iaitu pada 3 Mei.

Menurut laporan Hindustan Times, anak bulan juga tidak kelihatan di India, Bangladesh, Pakistan dan Sri Lanka yang juga akan menyambut Aidilfitri pada 3 Mei.

Di akaun Instagram Dr Nazirudin, beliau berkata masyarakat Muslim di Singapura dapat bertarawih satu malam lagi dan ia merupakan satu rahmat dan nikmat.

Dr Nazirudin turut mengingatkan masyarakat Muslim Singapura bahawa mereka patut terus berpuasa pada 2 Mei 2022 untuk menggenapkan 30 hari bulan Ramadan.

Ini bermakna Hari Raya Aidilfitri di Singapura jatuh pada Selasa, 3 Mei 2022.

Sumber : BERITA Mediacorp/IZ
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan