Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tarikh akhir bentuk syarikat usahasama kendali RTS JB-S'pura sudah berlalu, dedah Khaw

Menurut beliau, tarikh akhir untuk melakukannya adalah pada 30 Jun, tetapi ini tidak berlaku kerana Prasarana Malaysia menggantung perbincangan dengan SMRT menyusuli pilihan raya umum negara tersebut pada awal Mei tahun ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
Tarikh akhir bentuk syarikat usahasama kendali RTS JB-S'pura sudah berlalu, dedah Khaw

(Gambar: LTA)

Diterbitkan : 09 Jul 2018 03:26PM Dikemas Kini : 09 Jul 2018 03:34PM

SINGAPURA: Tarikh akhir bagi SMRT Corporation dan syarikat Prasarana Malaysia untuk membentuk sebuah syarikat usahasama sebagai pengendali Projek Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura (RTS) sudah berlalu. Demikian didedahkan Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan di Parlimen hari ini (9 Jul).

Menurut beliau, tarikh akhir untuk melakukannya adalah pada 30 Jun, tetapi ini tidak berlaku kerana Prasarana Malaysia menggantung perbincangan dengan SMRT menyusuli pilihan raya umum negara tersebut pada awal Mei tahun ini.

“Ini bermakna kedua-dua negara harus selanjutnya membuka tender terbuka dan antarabangsa untuk melantik pengendali RTS, melainkan jika kami bersama bersetuju untuk menangguhkan tarikh akhir itu,” tambah beliau.

Encik Khaw juga menarik perhatian kepada laporan Mediacorp pada 30 Mei yang menukil Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke sebagai berkata bahawa projek RTS akan diteruskan meskipun kerajaan akan “mengkaji semula projek itu dari segi kos dan sebagainya”.

“Saya difahamkan bahawa kos projek itu adalah RM4 bilion (S$1.35 bilion) bagi kerajaan Malaysia tetapi sudah tentu kami sedang melihat bagaimana untuk mengurangkan kos … kami baru saja membuat keputusan, kami harus memulakan rundingan dan perbincangan dengan Singapura,” kata Loke dalam wawancara 30 Mei itu.

Link RTS tersebut dijangka boleh mengurangkan kesesakan di pusat pemeriksaan darat dan memudahkan orang yang ingin melakukan perjalanan antara kedua-dua negara.

Encik Khaw pula berkata bahawa Singapura akan terus bekerjasama dengan Malaysia untuk mengurangkan kesesakan melalui cara yang lain sementara waktu ini.

Beliau menarik perhatian kepada pengurangan tol di luar waktu sibuk di Pusat Pemeriksaan Tuas awal tahun ini yang dibuat oleh kedua-dua negara untuk menggalak para pemandu melakukan perjalanan di luar waktu sibuk. Singapura juga sudah bersetuju dengan saranan Malaysia untuk menambah bilangan bas ulang alik KTMB Tebrau dari 26 kepada 31 setiap hari sejak pertengahan Februari lalu, tambah beliau.

“Langkah-langkah ini membantu mengurangkan kesesakan tetapi bukan merupakan huraian sempurna. Kami berharap untuk Link RTS diselesaikan dan beroperasi, lantas membolehkan 10,000 penumpang untuk melakukan perjalanan setiap jam dari Singapura ke JB atau sebaliknya,” kata Encik Khaw. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan