Skip to main content

Singapura

Tarif persulit usaha SG meterai perjanjian perdagangan berbilang hala: DPM Gan

Perjanjian perdagangan bebas (FTA) memberi manfaat kepada Singapura, tetapi ia semakin sukar untuk merundingkan perjanjian baharu di tengah-tengah persekitaran global kini, kata Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong pada Rabu (17 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Tarif persulit usaha SG meterai perjanjian perdagangan berbilang hala: DPM Gan

DPM Gan Kim Yong berucap dalam sesi dialog di acara Scale-Up Ignite 2025 di Parkroyal Collection Marina Bay pada 17 Sep 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

SINGAPURA: Perjanjian perdagangan bebas (FTA) memberi manfaat kepada Singapura, tetapi ia semakin sukar untuk merundingkan perjanjian baharu di tengah-tengah persekitaran global kini, kata Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong pada Rabu (17 Sep).

Sistem pelbagai hala pula berubah menjadi dua hala atau pun sehala, katanya.

"Kami tentukan berapa banyak tarif anda perlu bayar, dan tiada apa-apa yang boleh anda lakukan mengenainya. Anda boleh berunding, tetapi akhirnya setiap negara yang akan memutuskannya," kata Encik Gan, sambil menambah pemikiran sedemikian menyulitkan perdagangan.

Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura berkata demikian dalam sesi dialog di acara Scale-Up Ignite Enterprise Singapore.

Moderator sesi dialog itu mengajukan soalan kepada Encik Gan tentang bagaimana Singapura bekerjasama dengan negara-negara lain dan mengukuhkan kerjasama global di tengah-tengah peningkatan perpecahan dan dasar perlindungan.

"Semakin lama, ia akan menjadi sangat sukar untuk merundingkan FTA baharu," kata Encik Gan, sambil merujuk kepada tarif sebagai salah satu halangannya.

Singapura dikenakan tarif universal sebanyak 10 peratus ke atas barangan yang dibawa masuk ke Amerika Syarikat sejak April lalu.

Walaupun masih ada kemungkinan bagi setiap negara untuk bersatu, katanya, mungkin juga terdapat cabaran-cabaran unik.

Beliau menukil Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) sebagai contoh, di mana negara-negara anggota hampir memeterai peningkatan ketiga bagi Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN.

Perjanjian itu bertujuan memudahkan aliran bebas barangan di ASEAN bagi mewujudkan pasaran tunggal dan asas pengeluaran untuk rantau itu mempunyai integrasi ekonomi yang lebih mendalam.

"Hakikat bahawa kami boleh mempertingkatkan perjanjian perdagangan bebas kami menunjukkan bahawa kami komited kepada perdagangan bebas.

"Saya rasa ia adalah isyarat sangat penting kepada perusahaan kami dan seluruh dunia," kata Encik Gan.
Related article image
DPM Gan Kim Yong mengunjungi pameran Scale-Up Ignite 2025 selepas sesi dialognya di Parkroyal Collection Marina Bay pada 17 Sep 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Namun, katanya, untuk memuktamadkan perjanjian lain – seperti Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN – juga mencabar kerana negara-negara anggota berada pada tahap kesediaan digital yang berbeza-beza.

Perjanjian itu bertujuan menambah baik peraturan dalam bidang-bidang seperti kemudahan perdagangan digital, pembayaran, piawaian dan data serta menangani isu-isu baharu seperti kecerdasan buatan.

Justeru rancangannya adalah untuk mencapai "perjanjian dengan pelbagai tahap penyertaan", kata Encik Gan.

Ini bermakna walaupun semua anggota bersetuju dengan satu perjanjian asas, negara-negara lebih maju boleh menjadi sebahagian daripada "peringkat lanjutan".

Negara-negara lain boleh menyertai peringkat itu apabila mereka sudah bersedia, selagi mereka memenuhi syarat.

"Ini sebab mengapa ia mengambil masa lebih lama daripada dijangkakan untuk berunding, kerana ia adalah cara baharu yang kami sedang uji cuba ... kami tidak biasa dengannya dan kebanyakan negara juga tidak biasa dengannya, dan kami perlu memujuk mereka, membawa mereka bersama dan mendorong mereka bersama-sama," kata Encik Gan.

Beliau berkata demikian sehari selepas Singapura dan 13 lagi negara mengumumkan penubuhan Perkongsian Masa Depan Pelaburan dan Perdagangan, yang bertujuan menyokong perdagangan terbuka dan adil, walaupun pasaran global semakin berpecah belah.

SYARIKAT BERKEMBANG, LEBARKAN SAYAP KE LUAR NEGARA

Sebagai sebahagian daripada acara pada Rabu, agensi penggalakan perdagangan EnterpriseSG juga memberi kemas kini mengenai kesan program Scale-Up, yang diumumkan semasa Belanjawan 2019 dan dilancarkan pada lewat tahun itu.

Program itu bertujuan mempercepatkan pertumbuhan syarikat-syarikat berpotensi tinggi.

Tujuh kohort pertama peserta melaporkan tambahan hasil pendapatan sebanyak S$2.5 bilion - iaitu kenaikan 37 peratus - dalam tempoh tiga tahun selepas menyertai program tersebut.

Sebanyak 80 syarikat dalam kohort itu juga menyaksikan kenaikan 53 peratus dalam hasil pendapatan luar negara dalam tempoh yang sama, iaitu sebanyak S$1 bilion.

Sebanyak 70 peratus syarikat-syarikat itu menembusi pasaran baharu termasuk Indonesia, Filipina dan Thailand.

Lebih 800 pekerjaan diwujudkan di syarikat-syarikat itu sepanjang tempoh tiga tahun.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita