Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tarif elektrik untuk isi rumah naik 5.6% pada suku pertama 2022

Anggaran Waktu Membaca:
Tarif elektrik untuk isi rumah naik 5.6% pada suku pertama 2022

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 30 Dec 2021 04:37PM Dikemas Kini : 30 Dec 2021 04:38PM

SINGAPURA: Secara purata tarif elektrik bagi kegunaan keluarga di rumah akan meningkat 5.6 peratus bagi tempoh antara Januari hingga Mac tahun depan berbanding suku sebelumnya, menurut SP Group pada Khamis (30 Dis).

Kenaikan ini disebabkan oleh kos bahan api yang lebih tinggi, dedah SP Group.

Tidak termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), tarif elektrik untuk isi rumah akan meningkat dari 24.11 sen kepada 25.44 sen setiap kWh bagi suku yang bakal berakhir pada 31 Mac 2022.

Termasuk GST, kadarnya adalah 27.22 sen bagi setiap kWh.

Dengan kenaikan tersebut, ini bermakna purata bil elektrik bulanan bagi para keluarga yang menetap di flat 4 bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan naik S$4.70 sebelum GST, menurut SP Group.

Ini adalah kenaikan suku keempat berturut-turut
berikutan penurunan pada tempoh antara Januari hingga Mac tahun ini.

"Sekitar 95 peratus tenaga elektrik Singapura dijana menggunakan gas asli yang diimport pada harga yang ditambat dengan harga minyak," menurut SP Group.

"Sepanjang beberapa bulan yang lalu, gabungan kegiatan ekonomi yang bangkit semula, insiden cuaca buruk dan gangguan pada penghasilan gas telah menyebabkan harga pasaran tenaga global meningkat dengan lebih ketara. Faktor-faktor itu menyebabkan harga elektrik meningkat di banyak pasaran."

SP Group menyemak tarif elektrik setiap tiga bulan berdasarkan garis pandu yang ditetapkan oleh Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).

Tarif elektrik dibahagikan kepada empat komponen iaitu kos tenaga yang dibayar kepada syarikat penjana elektrik, kos rangkaian dan yuran khidmat sokongan pasaran yang dibayar kepada SP Group serta pentadbiran pasaran dan yuran operasi sistem tenaga yang dibayar kepada syarikat pasaran tenaga dan pengendali sistem tenaga.

Menurut SP Group, komponen kos tenaga disemak setiap tiga bulan bagi mencerminkan perubahan pada kos bahan api dan penjanaan tenaga.

Kos bahan api adalah kos gas asli yang diimport, yang terikat dengan harga minyak oleh kontrak-kontrak komersial.

Sebahagian besar kos penjanaan tenaga merangkumi kos mengendalikan stesen janakuasa seperti tenaga manusia dan kos penyenggaraan serta kos modal stesen-stesen janakuasa, dedah SP Group selanjutnya.

City Energy turut mengumumkan pada Khamis (30 Dis) bahawa tarif gas bagi isi rumah akan naik 1.17 sen bagi setiap kWh kepada 20.21 sen setiap kWh sebelum GST bagi tempoh antara Januari hingga Mac.

Kenaikan itu disebabkan oleh kos bahan api dan bukan bahan api yang lebih tinggi berbanding dengan suku sebelumnya, menurut City Energy.

City Energy menyemak tarif gas berdasarkan garis pandu yang ditetapkan oleh EMA. Tarif yang disemak itu sudah diluluskan oleh pihak berkuasa.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan