Tarif elektrik dan gas isi rumah kekal tidak berubah antara April-Jun
Tarif elektrik dan gas isi rumah kekal tidak berubah bagi tempoh antara April dan Jun selepas turun dua suku berturut-turut.

Flat-flat HDB pada waktu malam di Toa Payoh. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Tarif elektrik isi rumah sebelum Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan kekal 28.12 sen setiap kWj, menurut pengendali grid negara SP Group pada Jumaat (28 Mac).
Tarif gas isi rumah akan kekal pada 22.72 sen setiap kWj.
Pada suku sebelumnya, tarif elektrik dan gas masing-masing turun sebanyak 0.98 sen setiap kWj dan 0.25 sen setiap kWj.
SP Group, yang memiliki dan mengendalikan rangkaian elektrik Singapura, menyemak tarif elektrik setiap tiga bulan berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh pengawal selia industri, Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).
"Tarif elektrik mungkin naik turun dari suku ke suku disebabkan oleh harga bahan api global yang tidak menentu," kata SP Group.
Tarif elektrik terdiri daripada empat komponen, termasuk kos tenaga yang dibayar kepada syarikat penjanaan kuasa dan kos rangkaian yang dibayar kepada SG Group untuk mendapatkan semula kos pengangkutan elektrik melalui grid tenaga.
Terdapat juga yuran perkhidmatan sokongan pasaran yang dibayar kepada SP Group yang mendapatkan semula kos bil dan bacaan meter, serta yuran yang dibayar kepada syarikat pasaran tenaga yang mendapatkan semula kos pengendalian pasaran borong elektrik dan sistem tenaga.
City Energy juga menyemak tarif gas setiap suku tahun berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh EMA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.