Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Taraf kehidupan di dormitori lebih baik sejak COVID-19 namun lebih banyak penambahbaikan diperlukan

Anggaran Waktu Membaca:
Taraf kehidupan di dormitori lebih baik sejak COVID-19 namun lebih banyak penambahbaikan diperlukan

(Gambar: CNA/Kamrul Faraji)

Diterbitkan : 24 May 2023 08:58AM Dikemas Kini : 24 May 2023 08:59AM
SINGAPURA: Taraf kehidupan di dormitori-dormitori pekerja hijrahan kini lebih baik berbanding semasa pandemik.

Lebih banyak ruang di dalam bilik serta kemudahan-kemudahan yang lebih bersih disediakan, kata para pekerja hijrahan.

Namun,terdapat segelintir yang memberitahu Mediacop bahawa dapur dan tandas yang dikongsi antara mereka kotor, terutama pada hujung minggu.

Ketika pandemik, dormitori-dormitori menjadi tumpuan utama apabila COVID-19 merebak dengan pantas, dan banyak dormitori tersebut diisytiharkan sebagai tempat pengasingan. Terdapat laporan bahawa keadaan di dormitori-dormitori tersebut kotor dan sempit, serta serangga ditemui di dalam makanan yang disediakan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pemerintah mengumumkan pelan untuk membina dormitori-dormitori baru dengan taraf kehidupan lebih baik, termasuk bilik-bilik lebih luas dan khidmat Wi-Fi di setiap bilik.

Sejak 1 April, Akta Dormitori Pekerja Hijrahan (FEDA) diluaskan untuk merangkumi sekitar 1,500 dormitori, daripada 53. Ia bermaksud dormitori tersebut perlu memenuhi piawaian pihak berkuasa.

MENJAGA KEBERSIHAN DORMITORI

Westlite Mandai menyediakan penginapan buat lebih 6,000 pekerja hijrahan. Unit-unit di dormitori itu menyediakan tandas, bilik mandi dan dapur.

Centurion Corporation, yang mengendalikan dormitori Westlite, menyatakan bahawa para penghuni bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan unit masing-masing.

Unit tersebut akan diperiksa setiap dua minggu untuk memastikan kebersihan terjaga, menurut syarikat itu ketika menjawab soalan dari Mediacorp.

Encik Kong Chee Min, ketua pegawai eksekutif Centurion Corporation berkata bahawa tandas yang dikongsi dibersihkan dua kali sehari.

Stesen-stesen sanitasi juga ditempatkan di ruang yang dikongsi bersama, yang sering digunakan penghuni.

PIAWAIAN DIPERTINGKATKAN

Dr Benjamin Kuan, ketua pegawai eksekutif HealthServe, berkata bahawa pengendali dormitori memberi lebih banyak tumpuan kepada kebersihan yang dipertingkat dan mengurangkan jumlah penghuni selepas pandemik.

FEDA sudah diperluaskan untuk merangkumi semua dormitori yang mempunyai tujuh atau lebih katil. Sebelum ini, hanya dormitori yang mempunyai 1,000 atau lebih katil diberi lesen di bawah akta itu.

Kesemua dormitori yang dikawal di bawah akta tersebut perlu memenuhi syarat ditetapkan oleh pihak berkuasa, termasuk piawaian ruang minimum setiap penghuni, jumlah maksimum setiap bilik, kebersihan dan pengudaraan. Piawaian tersebut ditetapkan menurut saiz dormitori.

Dengan meluaskan FEDA, ia membolehkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) untuk meningkatkan piawaian dan bertindak lebih pantas kepada sebarang kecemasan pada masa hadapan, kata Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng pada Mac.

Dr Tan juga berkata MOM akan mengumumkan satu pelan pada tahun ini bagi dormitori sedia dan untuk berdepan piawaian baru yang dipertingkatkan.

RUANG BAGI PENAMBAHBAIKAN

Kebersihan dan kesesakan masih menjadi masalah bagi segelintir pekerja hijrahan. Seorang pekerja yang menetap di Penginapan Sungei Tengah menunjukkan tong sampah yang penuh, dapur kotor dan sinki tandas yang tersumbat.

Beliau menambah bahawa dormitori itu sesak, ruang yang dikongsi kotor dan pijat serta lipas dijumpai dalam biliknya.

Seorang lagi pekerja, Encik Faruk, yang menetap di Penginapan Sungei Tengah, berkata bahawa keadaan "sungguh baik" dan ruang yang dikongsi dibersihkan setiap hari kecuali Ahad.

Namun beliau berkata bahawa biliknya, yang mempunyai enam katil dua tingkat bagi 12 orang, tidak begitu besar dan "ruang tidak mencukupi".

Satu lagi aduan oleh para pekerja adalah makanan yang disediakan tidak memenuhi standard diharapkan. Seorang pekerja yang menetap di sebuah kilang yang diubah menjadi dormitori berkata bahawa makanan yang disediakan tidak sihat dan tidak sedap.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan