Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tapak semaian dengan spesies pokok terancam dilancar di Pulau Ubin

Satu tapak semaian bagi 500 pokok, dikenali sebagai arboretum, dilancarkan di Pulau Ubin pada Sabtu (11 Sep) untuk menyokong usaha kajian dan mendidik orang ramai tentang warisan semula jadi yang kaya dan kepelbagaian bio di kawasan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Tapak semaian dengan spesies pokok terancam dilancar di Pulau Ubin

Tapak semaian atau arboretum pesisir di Pulau Ubin (Gambar: NParks)

Diterbitkan : 11 Sep 2021 05:02PM Dikemas Kini : 11 Sep 2021 05:06PM

SINGAPURA: Satu tapak semaian bagi 500 pokok, dikenali sebagai arboretum, dilancarkan di Pulau Ubin pada Sabtu (11 Sep) untuk menyokong usaha kajian dan mendidik orang ramai tentang warisan semula jadi yang kaya dan kepelbagaian bio di kawasan itu.

Di acara yang diadakan sempena sambutan tahunan Hari Ubin, itu Lembaga Taman Negara (NParks) turut mengumumkan penemuan dua serangga baru.

ARBORETUM BARU

Arboretum pesisir pantai baru di Pulau Ubin itu akan menampilkan sekitar 500 pohon daripada sekitar 70 spesis yang sering ditemui dalam sekitaran pesisir pantai Singapura. Antaranya termasuk jenis 'Sea Tristania' yang amat terancam, serta Damak-damak Tahun, yang dianggap pupus di negara ini sehingga ditemui oleh NParks di Pulau Coney pada 2014. 

Arboretum itu juga akan menjadi tapak semaian bagi spesies-spesies tanaman pesisir asli itu, yang kemudiannya akan diperkenalkan kembali ke kawasan di pesisir pantai Pulau Ubin sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk membangunkan habitat semulajadi pulau berkenaan.

Terletak di Ubin Living Lab, kemudahan seluas 5.3 hektar untuk kajian lapangan, pendidikan alam sekitar dan pendampingan masyarakat, arboretum itu juga akan melengkapkan kemudahan semaian paya bakau yang sedia ada untuk menyokong aktiviti penyelidikan di pulau itu.

Ia misalnya akan berfungsi sebagai sumber rujukan bagi para pelajar dan penyelidik yang sedang mengkaji kerencaman kehidupan semula jadi di Pulau Ubin.

NParks juga akan bekerjasama dengan pelbagai sekolah atau kumpulan kepentingan untuk melaksanakan program pendidikan sekitaran agar orang ramai boleh belajar lebih lanjut tentang warisan semulajadi dan kepelbagaian bio di Ubin

PENEMUAN BARU

NParks dan masyarakat penyelidik juga menemui dua jenis serangga baru di Pulau Ubin pada 2018 dan 2019.

Penemuan itu adalah jenis baru lalat Sepsid dan spesies serangga baru, 'Long-Legged Fly' atau Lalat Kaki Panjang.

Ia ditemui semasa tinjauan dijalankan di hutan bakau Pulau Ubin dan dikenal pasti oleh Dr Patrick Grootaert, ketua jabatan entomologi Institut Sains Semula Jadi Diraja Belgium.

"Lalat Sepsid sebenarnya adalah jenis baka baru sama sekali dan ini menunjukkan bahawa setelah bertahun-tahun ini kita masih menemui kehidupan liar baru di pulau ini, menekankan peri pentingnya pemuliharaan biodiversiti," kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee semasa pelancaran arboretum dan pengumuman penemuan serangga-serangga itu.

USAHA TANAM SEMULA POKOK

NParks turut menyatakan pada Sabtu bahawa ia telah memperluaskan usaha penanaman semula hutan di Pulau Ubin, dari tiga tapak ketika projek itu dimulakan tahun lalu ke 12 lokasi yang berlainan di seluruh pulau.

Sebanyak 3,500 pokok akan ditanam di lokasi-lokasi tersebut tahun ini untuk meningkatkan kepelbagaian bio dan hubungan ekologi antara kawasan-kawasan itu dan hutan-hutan utama yang bersebelahan dengannya, tambah agensi itu.

Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam acara penanaman pokok di tapak-tapak itu sebagai sebahagian daripada gerakan masyarakat OneMillionTrees. 

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan