Skip to main content

Singapura

Tapak perkhemahan Pulau St John ditutup hingga pertengahan 2019 untuk hapuskan asbestos

Kawasan-kawasan riadah di Pulau St John akan ditutup sehingga pertengahan tahun depan, selepas asbestos ditemui di situ. Asbestos adalah sejenis bahan berbahaya yang boleh menyebabkan barah paru-paru dan penyakit lain jika terhidu bagi tempoh yang lama.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Apr 2018 04:33PM Dikemas Kini : 24 Apr 2018 12:09AM

SINGAPURA: Kawasan-kawasan riadah di Pulau St John akan ditutup sehingga pertengahan tahun depan, selepas asbestos ditemui di situ. Asbestos adalah sejenis bahan berbahaya yang boleh menyebabkan barah paru-paru dan penyakit lain jika terhidu bagi tempoh yang lama.

Penguasa Tanah Singapura (SLA) yang mengumumkan penutupan tersebut hari ini (23 Apr) turut mendedahkan bahawa langkah itu diambil atas sebab keselamatan. Orang ramai tidak dibenarkan memasuki tapak perkhemahan, kawasan lagun dan banglo di pulau yang terletak 6.5 kilometer dari tanah besar Singapura.

Sekitar dua belas tempahan bagi tapak perkhemahan itu sudah dibatalkan. Jejak tinjau alam yang dianjurkan setiap bulan oleh Lembaga Taman Negara (NParks) turut dibatalkan sehingga tapak tersebut dibuka semula.

Sungguhpun demikian, orang ramai masih boleh mengunjungi Pulau Lazarus (Pulau Sekijang Pelepah) melalui Pulau St John dan khidmat feri dari Marina South tidak akan terjejas.

Baki separuh pulau itu yang menempatkan kemudahan penyelidikan seperti Makmal Marin Negara Pulau St John, akan terus dibuka.

SLA menyatakan bahawa para kontraktornya yang menjalankan kerja-kerja naik taraf dan penyenggaraan di tapak perkhemahan berkenaan menemui serpihan asbestos pada 19 Mac lalu.

Agensi tersebut kemudian bekerjasama dengan juruukurnya untuk menjalankan ujian ke atas serpihan itu dan mengesahkan bahawa ia adalah asbestos.

Pada 17 April pula, ia membatalkan kesemua tempahan bagi tapak perkhemahan dan banglo percutian di pulau itu.

Keesokan harinya, dua penduduk yang menetap di pulau itu dimaklumkan tentang penemuan asbestos dan mereka dipindahkan ke tanah besar Singapura.

SLA akan mula menghapuskan asbestos berkenaan pada Jumaat (27 Apr) dan ia dijangka selesai pada hujung tahun ini. Tapak perkhemahan akan dibuka semula pada pertengahan 2019 selepas kerja-kerja naik taraf dan penyenggaraan sudah selesai kelak.  

Sumber : Today/SM/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita