Skip to main content

Singapura

Tapak Farrer Park akan dibangun semula; tawar 1,600 flat baru HDB & kemudahan sukan bersepadu

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Apr 2022 01:43PM Dikemas Kini : 25 Apr 2022 09:25PM

SINGAPURA: Sebidang tanah di Farrer Park seluas 10 hektar akan dibangunkan semula sebagai sebuah estet perumahan awam yang baru, dengan sekitar 1,600 flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) serta kemudahan-kemudahan sukan dan riadah. 

Flat-flat HDB tersebut dijangka akan dilancarkan dalam tempoh tiga tahun akan datang, menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Sport Singapore (SportSG) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam satu kenyataan media bersama pada Isnin (25 Apr). 

Tapak berkenaan - yang terletak antara Dorset Road, Keng Lee Road, Hampshire Road dan Race Course Road adalah tapak lumba kuda yang pertama di Singapura semasa ia dibangunkan pada 1843.

Tapak yang terletak berdekatan Stesen MRT Little India dan Farrer Park itu telah diperuntukkan untuk kegunaan kediaman sejak 1998 di bawah Pelan Induk URA. 

"Pembangunan tapak itu seiring dengan komitmen Pemerintah untuk membangunkan semula tapak-tapak yang pada satu ketika dahulu sudah dibangunkan namun tidak digunakan buat masa ini," menurut agensi-agensi tersebut. 

"Selain itu, kedudukannya yang dekat dengan pusat bandar akan memberikan keluarga-keluarga muda lebih banyak pilihan untuk membeli flat berdekatan dengan ibu bapa mereka untuk saling menjaga dan menyokong satu sama lain, dengan perjalanan yang lebih dekat ke tempat kerja mereka di bandar." 

KEMUDAHAN SUKAN DAN RIADAH BERSEPADU

Semasa melakar pelan pembangunan semula itu, ketiga-tiga pihak berkuasa berkata mereka sudah mendampingi pelbagai pihak berkepentingan sejak 2018, termasuk masyarakat warisan dan sukan. 

"Projek-projek perumahan yang bakal dibina kelak akan dapat disepadukan dengan lancar, dengan adanya kemudahan-kemudahan sukan dan riadah yang  dibangunkan semula itu. Ia akan mengukuhkan identiti Farrer Park sebagai sebuah pusat sosial dan sukan yang unik," menurut agensi-agensi tersebut, sambil menambah bahawa kemudahan-kemudahan yang akan dibangunan semula itu akan dibuka kepada semua orang.

Sekitar 20 peratus daripada tapak itu akan diperuntukkan sebagai ruang-ruang terbuka bagi kegunaan sukan dan riadah. Ini termasuk ruang-ruang hijau seluas sekitar 1.2 hektar yang terdiri daripada sebuah padang dan taman. 

Gim tinju yang dahulu merupakan sebuah pusat latihan bagi Persatuan Tinju Amatur Singapura dan juga lokasi bagi pertarungan tinju akan dikekalkan. 

Malah, ia akan dijadikan sebagai ruang sukan masyarakat serba guna, dan agensi-agensi berkenaan menyatakan bahawa mereka akan memastikan kerja-kerja binaan yang dijalankan akan "mengabadikan seni bina bangunan dan mengekalkan ciri-ciri utama bangunan tersebut". 

Ia akan disepadukan dengan salah satu projek pembangunan perumahan bagi memudahkan akses para penduduk, tambah agensi-agensi tersebut. 

Sebuah trek lari anak juga akan melingkari estet perumahan tersebut bagi menghubungkannya dengan pelbagai kemudahan sukan dan riadah. 

PUSAT SUKAN BARU

Sebuah pusat sukan yang baru akan dibina di tapak Kompleks Renang Farrer Park sedia ada dan ia akan dilengkapi dengan kolam renang dan kemudahan-kemudahan sukan yang lain. 

Walaupun diumumkan semasa Pameran Draf Pelan Induk 2019 bahawa kolam renang itu akan dikekalkan, pihak berkuasa menilai bahawa ia tidak akan dapat dikekalkan disebabkan oleh pelbagai pertimbangan teknikal.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita