Skip to main content

Singapura

Tapak di Pulau Tekong sebesar 40% saiz Sentosa mungkin dibangunkan sebagai hab tenaga

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Oct 2026 01:43PM Dikemas Kini : 06 Nov 2026 12:45AM
A site on Pulau Tekong about 40% the size of Sentosa may be developed as an energy hub
  • EMA is studying a 200-hectare area on reclaimed land on Pulau Tekong to be developed into an energy infrastructure cluster, including hydrogen-ready natural gas plants, an LNG terminal and low-carbon technologies.
  • A consultancy tender opened in early October, with the appointment expected in mid-2027 and the study set to take about two years, following a statement by Lawrence Wong on 500 hectares of land on Pulau Tekong.
  • The move is aimed at strengthening Singapore’s energy security as electricity demand is projected to rise by 2.4 to 4.8 per cent a year, driven by semiconductors and data centres.
  • EMA is also calling tenders for up to three new plants for 2031 and 2032, while Singapore assesses hydrogen and nuclear energy as future low-carbon energy options.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Sebuah kawasan seluas 200 hektar di tanah tambak Pulau Tekong sedang dikaji untuk dibangunkan sebagai kelompok prasarana tenaga.

Kawasan itu kira-kira 40 peratus saiz Pulau Sentosa atau bandar Toa Payoh.

Ia berpotensi menempatkan loji janakuasa gas asli yang bersedia menggunakan hidrogen, terminal gas asli cecair (LNG) serta teknologi tenaga rendah karbon lain.

Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) menyatakan pada Selasa (6 Okt) bahawa tender sudah dibuka sehari sebelumnya untuk melantik perunding bagi menjalankan kajian daya maju dan menghasilkan cadangan pelan induk bagi kawasan tersebut.

Perunding dijangka dilantik menjelang pertengahan 2027, manakala kajian itu dijangka mengambil masa sekitar dua tahun.

Semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ogos, Perdana Menteri Lawrence Wong berkata sekitar 500 hektar tanah di Pulau Tekong boleh digunakan untuk keperluan awam pada masa hadapan selepas keperluan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dipenuhi.

Kawasan seluas 500 hektar itu kira-kira sebesar bandar Toa Payoh, namun belum ada keputusan mengenai bagaimana tanah tersebut akan digunakan.

EMA menyatakan kajian terbaharu itu merupakan sebahagian usaha pemerintah untuk menilai potensi penggunaan tanah di Pulau Tekong, di samping memperkukuh jaminan tenaga Singapura dan menyokong peralihan kepada sumber tenaga lebih bersih.

Pada April, EMA membuka tender bagi sehingga tiga loji janakuasa gas asli baharu yang bersedia menggunakan hidrogen untuk memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat.

Satu unit dijangka siap pada 2031 dan sehingga dua lagi pada 2032. Setiap unit dijangka mempunyai kapasiti sekurang-kurangnya 600 megawatt (MW), cukup untuk membekalkan tenaga kepada lebih 864,000 flat empat bilik selama setahun.

Permintaan elektrik Singapura dijangka terus meningkat seiring pertumbuhan ekonomi, didorong antaranya oleh sektor yang menggunakan banyak tenaga seperti pengeluaran semikonduktor dan pusat data.

EMA menganggarkan permintaan elektrik pada waktu puncak akan meningkat antara 2.4 peratus hingga 4.8 peratus setahun sepanjang 10 tahun akan datang.

Menjelang 2031, permintaan puncak dijangka mencapai antara 9.6 gigawatt (GW) hingga 11.4GW.

Ketua Pegawai Eksekutif EMA Puah Kok Keong berkata tenaga merupakan sumber penting untuk menyokong pembangunan dan pertumbuhan Singapura.

“Penting untuk kita merancang keperluan prasarana tenaga masa hadapan. Jika direalisasikan, kelompok prasarana tenaga di Pulau Tekong akan memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan tenaga Singapura yang semakin meningkat,” katanya lagi.

Singapura juga sedang membuat persediaan untuk menggunakan hidrogen sebagai bahan api rendah karbon, termasuk mengkaji prasarana, peraturan dan piawai keselamatan yang diperlukan.

Menurut EMA, hidrogen berpotensi memenuhi sehingga separuh daripada permintaan elektrik Singapura menjelang 2050, bergantung kepada perkembangan teknologi dan sumber tenaga lain.

Singapura turut mengkaji tenaga nuklear sebagai satu lagi sumber tenaga rendah karbon.

 

Sumber : CNA/NK/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita