Skip to main content

Singapura

Tapak di Alexandra bakal dibangun semula; tawar 1,500 flat HDB

Sebuah tapak di Alexandra akan dibangunkan semula untuk menjadi sebuah projek perumahan awam dengan sekitar 1,500 flat HDB bakal dibina.

Anggaran Waktu Membaca:
Tapak di Alexandra bakal dibangun semula; tawar 1,500 flat HDB

Gambar fail kawasan perumahan HDB di Singapura.

Diterbitkan : 15 Dec 2021 03:54PM Dikemas Kini : 15 Dec 2021 04:02PM

SINGAPURA: Sebuah tapak di Alexandra akan dibangunkan semula untuk menjadi sebuah projek perumahan awam dengan sekitar 1,500 flat HDB bakal dibina.

Kawasan seluas 3.7 hektar itu termasuk bangunan Pejabat Pos Alexandra akan dibangunkan dalam masa tempoh terdekat untuk "memenuhi permintaan tinggi bagi perumahan awam."

Demikian menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA) dalam satu kenyataan media bersama pada Rabu (15 Dis). Tapak tanah yang terletak di Alexandra Road di kawasan Prince Charles Crescent dan Alexandra Canal itu sudah ditetapkan bagi projek perumahan sejak 1998 di bawah Pelan Induk Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Bagi memudahkan pembangunan tersebut, tapak seluas 0.23 hektar yang kini diduduki Pejabat Pos Alexandra dan penyewa SingPost akan diambil alih oleh Pemerintah.

SLA mewartakan pemerolehan tanah yang terjejas pada Rabu, dengan lembaga berkanun itu serta HDB akan bekerja rapat dengan SingPost dan penyewanya untuk membantu dalam proses pemerolehan.

Pemerolehan bangunan pejabat pos itu akan membolehkan lebih banyak unit kediaman dibina bagi memenuhi permintaan tinggi bagi perumahan. Ini selain perancangan lebih optimal berserta reka bentuk projek perumahan tersebut, kata SLA dan HDB.

Tapak tersebut sebelum ini menempatkan flat sewa, temasuk kedai dan sebuah pasar. Namun, ia dirobohkan pada tahun-tahun 1990-an untuk memudahkan perancangan pembangunan masa depan, tambah kenyataan media itu lagi.

Kawasan itu termasuk bangunan Pejabat Pos Alexandra yang sebelumnya dikenali sebagai Pejabat Pos Prince Philip Avenue yang telah beroperasi sejak awal 1960-an.

Projek perumahan baru di Alexandra itu satu lagi pilihan perumahan awam yang baik bagi memenuhi keperluaan warga Singapura yang berbeza-beza, kata agensi tersebut.

Ini termasuk keluarga muda yang ingin tinggal dekat dengan ibu bapa mereka bagi menyediakan "sokongan dan jagaan yang lebih baik" antara satu sama lain.

"Lokasi tapak ini di Rangkaian Penghubung Taman Alexandra memudahkan perjalanan ke kawasan bandar, selain menawarkan pelbagai ruang riadah di sepanjang laluan ini," kata pihak berkuasa berkenaan. Stesen MRT Redhill misalnya terletak hanya 400 meter dari kawasan tersebut.

HDB juga menyatakan ia sedang dalam proses melakarkan pelan terperinci bagi projek perumahan di Alexandra Road/Prince Charles Crescent dan akan mengongsi butiran lanjutnya apabila siap kelak.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita