Tapak Cosford Road menghadap ke Lapangan Terbang Changi akan dibangun jadi taman kontena F&B

SINGAPURA: Sebuah taman kontena makanan dan minuman (F&B) yang baru akan dibangunkan di 30 Cosford Road.
Projek Taman Kontena Cosford, yang dijadual dibuka pada sekitar suku ketiga tahun ini, menelan belanja lebih S$3 juta, meliputi kawasan seluas lebih 38,000 kaki persegi.
Demikian menurut pemajunya, Tee Tree Investments, dalam satu kenyataan media pada Selasa (11 Apr).
Dengan 13 unit kontena dimanfaatkan bagi tujuan F&B, ia dijangka menjadi salah satu taman kontena F&B terbesar di Singapura.
Tapak Kontena Costford itu menghadap ke landasan satu Lapangan Terbang Changi dan mengambil masa 10 minit jika memandu dari Pasir Ris dan Tampines.
Penduduk di Loyang juga boleh berjalan kaki ke sana.
Taman F&B baru itu akan menyediakan tempat duduk dalam ruang terbuka dan tertutup yang boleh menampung lebih 340 orang.
Terdapat juga gelongsor untuk dewasa dan sebuah pentas persembahan di ruang luar yang dilengkapi dengan skrin digital besar.
Pengunjung akan dapat menjamu selera dengan berlatar belakangkan landasan pendaratan Lapangan Terbang Changi selain muzik secara langsung, pesta harian dan siaran sukan dan banyak lagi.
"Taman Kontena Cosford akan menjadi ruang bertenaga untuk menyuntik nafas segar ke kawasan kejiranan di sekitarnya," kata pengarah Tee Tree Investments, Ant Tee.
"Kami ingin menyediakan ruang yang bukan setakat menawarkan makanan, tetapi juga ruang gaya hidup dan sentuhan pengalaman seni serta hiburan dengan suasana festival", katanya lagi.
Apabila dibuka kelak, ia akan beroperasi setiap hari dari 11.00 pagi hingga 1.00 pagi pada hari-hari biasa dan dari pukul 8.00 pagi hingga 2.00 pagi pada hujung minggu.
Cosford Road pernah menempatkan meriam utama rangkaian pertahanan pantai British semasa Perang Dunia II dan telah diwartakan sebagai tapak bersejarah oleh Lembaga Warisan Negara.
Apabila Jepun menyerang Singapura dari Semenanjung Tanah Melayu pada tahun 1942, dua senapang meriam yang menghadap ke laut di Johore Battery dipusingkan untuk menembak ke arah darat, dan kemudiannya dimusnahkan untuk mengelakkannya daripada jatuh ke tangan musuh.



Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.