Skip to main content

Singapura

Tapak 38 Oxley Road tawarkan 'hubungan tulen' dengan peristiwa penting dalam kemerdekaan SG, tidak mampu ditiru Taman Tugu Pengasas

Anggaran Waktu Membaca:
Tapak 38 Oxley Road tawarkan 'hubungan tulen' dengan peristiwa penting dalam kemerdekaan SG, tidak mampu ditiru Taman Tugu Pengasas
Ruang legar di 38 Oxley Road, kediaman Perdana Menteri pertama SG Lee Kuan Yew, pada 3 November 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
Diterbitkan : 06 Nov 2025 08:48PM Dikemas Kini : 06 Nov 2025 08:49PM
SINGAPURA: Pemeliharaan tapak di 38 Oxley Road akan melengkapi Taman Tugu Pengasas dengan menawarkan kepada para pengunjung "hubungan tulen" dengan peristiwa penting yang menyumbang kepada kemerdekaan Singapura, kata Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia David Neo pada Khamis (6 Nov).

Encik Neo menjawab soalan di parlimen selepas menyampaikan kenyataan menteri mengenai rancangan pemerintah untuk mewartakan tapak rumah keluarga perdana menteri pengasas Lee Kuan Yew sebagai monumen negara.

Seramai 11 Anggota Parlimen dan seorang Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) berucap semasa sesi tersebut.

"Tapak-tapak bersejarah dipelihara kerana ia menawarkan hubungan tulen kepada peristiwa penting dan individu pada masa silam," kata Encik Neo.

"Apa yang unik adalah ia memberikan kita peluang untuk berdiri di tapak yang sama dan di ruang yang sama di mana peristiwa penting berlaku dalam sejarah negara, dan kami mengikut jejak langkah generasi sebelum kita."

Menjawab soalan penjelasan yang dikemukakan oleh AP Liang Eng Hwa (PAP-Bukit Panjang), Encik Neo berkata memelihara tapak-tapak seperti tapak lama City Hall, Padang dan tapak lama Hospital Kandang Kerbau membantu generasi masa hadapan menjalin hubungan dengan peristiwa penting dalam sejarah negara.

"Suasana di tempat ini, berada di ruang yang sama dengan mereka yang wujud sebelum kita, bukanlah sesuatu yang boleh dirakam menerusi peniruan di tapak lain.

"Taman Tugu Pengasas adalah tapak yang dibina semula. Ia tidak berkongsi suasana yang sama, tempat sama di mana peristiwa penting itu berlaku," kata Encik Neo.

Tapak 38 Oxley Road akan membantu para pengunjung memahami apa yang berlaku di sana, menyediakan konteks sejarah dan latar belakang kepada nilai dan cita-cita bersama yang diperingati di Taman Tugu Pengasas, katanya.

Taman Tugu Pengasas yang sedang dibangunkan dengan anggaran kos S$335 juta, dijadual dibuka di Bay East Garden di Taman di Pesisiran pada hujung tahun 2028.

Dalam respons kepada AP Alex Yam (PAP-Marsiling-Yew Tee), pemangku menteri itu berkata monumen 38 Oxley Road akan memberi tumpuan kepada peristiwa sejarah yang berlaku di Singapura - membawa Singapura daripada pemerintahan kolonial kepada kemerdekaan - daripada kehidupan peribadi penghuninya.

Mendiang Encik Lee tinggal di rumah itu dari tahun 1940an sehingga kematiannya pada Mac 2015, manakala tiga orang anaknya - Menteri Kanan Lee Hsien Loong, Encik Lee Hsien Yang dan mendiang Dr Lee Wei Ling - juga membesar di rumah itu.

Jika tapak itu menjadi monumen negara, pelbagai usaha akan dijalankan untuk mengingatkan rakyat Singapura mengenai kepentingannya, kata Encik Neo dalam respons kepada AP Lee Hui Ying (PAP-Nee Soon).

Ini akan menjadi sesuatu yang boleh diterokai oleh Lembaga Warisan Negara (NHB) dan Kementerian Pendidikan (MOE), katanya.

MENGHORMATI PRIVASI KELUARGA LEE

Beberapa Anggota Parlimen juga membangkitkan soalan mengenai privasi keluarga Encik Lee.

Ini khususnya apa yang dianggap sebagai ruang kediaman peribadi tapak tersebut, dengan pihak berkuasa menyatakan semua jejak ruang itu akan dikeluarkan.

Menjawab pertanyaan oleh AP Ang Wei Neng (PAP-West Coast-Jurong West), Encik Neo berkata sesetengah ruang dalam bangunan di 38 Oxley Road itu dianggap kurang peribadi, kerana ia sudah pun "dirakam secara meluas dalam pelbagai bentuk media sebelum ini, dan semua itu dilakukan sebelum kematian Encik Lee".

Beliau menukil ruang makan di tingkat bawah rumah itu sebagai salah satu contoh.

Bilik itu di mana bapa pengasas Singapura seperti Dr Goh Keng Swee dan Dr Toh Chin Chye mengadakan mesyuarat pada tahun-tahun 1950an yang membawa kepada pembentukan Parti Tindakan Rakyat (PAP).

"Tetapi terdapat beberapa ruang lain, seperti bilik tidur, yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan peristiwa-peristiwa bersejarah penting yang berlaku di tapak itu," kata Encik Neo.

"Bagi menghormati permintaan Encik Lee, ruang-ruang peribadi itu akan dikonfigurasikan semula atau dihapuskan, dan ia akan merangkumi pengeluaran perabot, kelengkapan atau sebarang objek yang masih ada, yang mungkin melibatkan ruang-ruang itu dirobohkan, sambil mengambil kira isu-isu seperti integriti struktur dan keselamatan bangunan."


TANGANI KEBIMBANGAN PENDUDUK


AP Joan Pereira (PAP-GRC Tanjong Pagar), yang merupakan anggota parlimen bagi kawasan di mana terletaknya 38 Oxley Road, bertanya sama ada para penduduk di sekitar kawasan itu akan dirujuk berhubung pembangunan monumen negara itu.

Beliau mengetengahkan kebimbangan penduduk mengenai kesesakan lalu lintas dan isu meletak kereta secara haram, yang mungkin bertambah buruk jika tapak itu dijadikan sebagai monumen negara.

Para penduduk memberitahu Mediacorp pada Isnin (3 Nov) bahawa mereka bimbang tentang peningkatan lalu lintas dan jumlah pelawat, walaupun ada yang berharap pembangunan itu dapat memperkenalkan penambahbaikan yang sangat diperlukan di estet yang semakin meningkat usia itu.

Dalam responsnya, Encik Neo berkata jika tapak itu dipelihara dan diperolehi, agensi-agensi pemerintah akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan secara menyeluruh mengenai pilihan berpotensi dan kegunaan di masa edpan.

"Ini bukan bagi penggunaan tapak itu sahaja, tetapi ia juga melibatkan agensi-agensi lain seperti Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) yang akan mengkaji perkara-perkara seperti kesan trafik, kesan tempat letak kereta, akses orang awam supaya ia lebih holistik," katanya.

"Kemudian kita boleh meneroka cara melakukannya yang sesuai dengan kepentingan dan signifikannya, dan dengan cara yang membolehkan orang awam menghargai tapak itu dan pada masa yang sama, tidak mencetuskan sebarang ketidakmudahan."

Encik Neo menambah pihak berkuasa akan mendampingi para penduduk dan menimbangkan maklum balas mereka, serta bekerjasama dengan Cik Pereira dalam proses membangunkan monumen negara itu.

RESPONS PARTI PEKERJA MENGENAI PROSES PENILAIAN

Para Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) juga mengemukakan soalan tentang bagaimana faedah awam dibandingkan dengan kecenderungan peribadi, serta penilaian tapak tersebut.

AP Jamus Lim (WP-Sengkang) mendedahkan bahawa parti itu menerima sumbangan kewangan daripada "anggota keluarga Lee tertentu yang dikaitkan dengan hartanah Oxley", sambil menambah sumbangan dana itu sudah diisytiharkan di bawah peraturan yang berkaitan.

"Kami tidak menerima permintaan mahupun bimbingan untuk bercakap mengenai perkara ini, dan kenyataan dan soalan yang berikut adalah sepenuhnya milik kami," katanya.

Tapak itu dimiliki oleh syarikat bernama 38 Oxley Road Pte Ltd.

Anak lelaki bongsu mendiang Lee Kuan Yew, Lee Hsien yang adalah pemegang saham tunggal syarikat itu, menurut rekod Penguasa Pengawalan Perakauan dan Korporat (ACRA).

Anak lelaki Lee Hsien Yang, Li Huanwu didaftarkan sebagai pengarah.

Profesor Madya Lim berkata 38 Oxley Road mempunyai erti sejarah yang signifikan bagi Singapura.

"Dari segi erti kata ini, ia adalah sebuah hartanah peribadi dan secara metafora ia milik kita semua," katanya.

Beliau kemudian bertanya bagaimana NHB mengambil kira ketegangan ini dalam pertimbangannya.

Dalam jawapannya, Encik Neo berkata Lembaga Penasihat Pemeliharaan Tapak dan Monumen terdiri daripada pakar-pakar daripada pelbagai bidang yang menilai setiap kes secara bebas.

"Tiada sebarang ketegangan dasar di pihak mereka. Mereka tidak menimbangkan perkara lain seperti keinginan individu. Mereka hanya memberi penilaian berdasarkan merit teknikal," katanya.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita