Skip to main content

Singapura

Tanjong Pagar berwajah baharu jelang 2030; perkenal lebih banyak ruang hijau, laluan pejalan kaki berbumbung

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Feb 2025 12:24PM Dikemas Kini : 03 Feb 2025 01:34PM
SINGAPURA: GRC Tanjong Pagar dan SMC Radin Mac dijangka berwajah baharu di bawah pelan penambahbaikan selama lima tahun.

Ia akan memperkenalkan lebih banyak ruang hijau, laluan yang berbumbung serta mesra pejalan kaki.

Rancangan tersebut didedahkan pada Ahad (2 Feb) di Pasar Redhill, di mana Pengerusi Majlis Bandaran Tanjong Pagar dan Anggota Parlimen (AP) Radin Mas Melvin Yong melancarkan satu pameran, yang menampilkan usaha naik taraf yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Rancangan lima tahun itu adalah sebahagian daripada Program Remaking Our Heartland (ROH).

Di bawah inisiatif tersebut, kesemua enam divisyen bandar Tanjong Pagar - Buona Vista, Tanjong Pagar-Tiong Bahru, Moulmein-Cairnhill, Queenstown, Henderson-Dawson and Radin Mas – akan dinaik taraf.

Rancangan penambahbaikan tersebut dilakarkan selepas mendampingi masyarakat selama beberapa bulan dan akan membimbing usaha naik taraf sehingga 2030, menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan majlis bandaran tersebut.

ANTARA USAHA NAIK TARAF UTAMA

Lebih banyak koridor hijau dan laluan mesra pejalan kaki akan diperkenalkan, sekali gus menjadikan persekitaran itu lebih mampan dan mudah bagi para penduduk berjalan kaki. Laluan berbumbung dan tanjakan tambahan juga akan memudahkan akses di sekitar bandar tersebut.

Pada masa yang sama, jalan raya yang dinaik taraf dan nod pengangkutan awam yang dipertingkat akan memperbaiki keterhubungan ke bahagian lain negara ini. Mereka yang memilih pengangkutan mampan akan meraih manfaat daripada tambahan stesen pengecasan kenderaan elektrik dan rak basikal.

Kesemua 156 tempat letak kereta Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di bandar Tanjong Pagar akan dilengkapi dengan pusat pengecasan EV menjelang akhir tahun ini.

Bandar tersebut juga akan mengurangkan penggunaan tenaga dengan beralih secara bertahap-tahap kepada lampu pintar LED yang menggunakan sehingga 60 peratus kurang tenaga, memasang Sistem Penjanaan Semula Tenaga Lif yang mengurangkan penggunaan tenaga lif sebanyak kira-kira 20 peratus, dan menggunakan data untuk mengoptimumkan penggunaan elektrik estet.

Sehingga 58,000 panel solar akan dipasang pada bumbung HDB di seluruh bandar Tanjong Pagar menjelang 2030, dengan lebihan tenaga disalurkan semula ke grid kuasa.

Kemudahan kitar semula yang lebih khusus akan dilancarkan di seluruh bandar, termasuk untuk 'e-waste' (atau sisa elektrik dan elektronik) serta minyak masak terpakai. Mesin pencerna makanan tersebut, yang mengubah sisa makanan kepada kompos, telahpun diuji di Pasar Redhill dan Plaza Tanjong Pagar, dengan rancangan untuk memperluaskan insiatif itu ke pusat penjaja lain.

PELIHARA WARISAN

Selain AP Radin Mas Encik Yong, antara yang menghadiri pelancaran pelan penambahbaikan bandar itu termasuk AP GRC Tanjong Pagar - Menteri Pendidikan Chan Chun Sing, Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan merangkap Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Alvin Tan, Setiausaha Parlimen Kanan bagi Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga Eric Chua, dan Cik Joan Pereira.

AP tersebut secara rasminya melancarkan rancangan selama lima tahun itu sambil meraikan tamatnya Program Pembaharuan Kejiranan Redhill.

Sebagai sebahagian daripada acara itu, AP tersebut turut disajikan dengan persembahan di Pasar Redhill, mengambil bahagian dalam segmen kaligrafi dan beramah mesra dengan para penduduk.
(Dari kiri) Mantan AP bagi Tanjong Pagar Koo Tsai Kee bersama AP GRC Tanjong Pagar dan SMC Radin Mas Eric Chua, Melvin Yong, Chan Chun Sing, Joan Pereira dan Alvin Tan, melancarkan pelan penambahbaikan selama lima tahun di Pasar Redhill pada 2 Feb 2025. (Gambar: CNA/Koh Wan Ting)
Encik Yong berkata dalam satu kenyataan media pada Ahad bahawa sedang bandar tersebut dimodenkan, usaha juga perlu dilaksanakan untuk memelihara warisan setiap kejiranan.

Dalam lima tahun seterusnya, program utama naik taraf - termasuk Program Pembaikan dan Hiasan Semula, Program Peningkatan Rumah (HIP) atau Program Peningkatan atau Penggantian Lif - akan terus dilancarkan, jelas majlis bandar tersebut.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita